Kata Ustaz Abdullah Zaen, antara kaedah dalam memahami hati ialah “Kekayaan Sejati Adalah Kekayaan Hati”.
Kaedah ini dipetik daripada kitab Qawa‘id fi Fiqh al-Qulub (Kaedah-kaedah dalam Memahami Hati) yang ditulis oleh asy-Syeikh Prof. Dr. Salih as-Sindhi hafizahullah.
Sebelum kita pergi lebih jauh dalam membahaskan makna kaedah ini serta dalil-dalilnya, kita perlu faham terlebih dahulu bahawa apabila kita bercakap tentang kekayaan, siapakah yang benar-benar kaya sebenarnya?
Sudah pasti jawapannya Allah subhanahu wa ta’ala.
Siapakah yang layak menyandang gelaran al-Ghani – Yang Maha Kaya?
Hanya Allah subhanahu wa ta’ala.
Kenapa?
Kerana salah satu daripada nama-nama Allah yang mulia ialah al-Ghani – Yang Maha Kaya.
Sebagaimana firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 26:
لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah, Dia-lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
Jadi, hanya Allah yang layak menggunakan gelaran Maha Kaya.
Apa maksud Maha Kaya?
Ia bermaksud bahawa kekayaan Allah itu sempurna dan tidak terbatas.
Ia juga bermakna kekayaan Allah tidak bergantung kepada sesiapa atau apa-apa pun.
Allah tidak perlukan makhluk untuk menambah atau menjaga kekayaan-Nya.
Kekayaan-Nya tidak berkurang walaupun seluruh makhluk memohon dan Allah memakbulkan semua permintaan mereka.
Maknanya, walaupun semua makhluk memohon rezeki, bantuan dan sebagainya daripada Allah, kekayaan Allah langsung tidak berkurang walau sedikit pun.
Sebab Allah memang benar-benar Maha Kaya.
Manusia: Miskin atau Kaya?
Persoalannya, manusia kaya atau miskin?
Realitinya, memang ada manusia yang digelar sebagai “orang kaya”.
Tapi sebelum itu, kita kena faham satu perkara: manusia pada asalnya adalah miskin.
Dalam al-Qur’an, Allah menyatakan:
أَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ
Kalian adalah orang-orang fakir.
[Surah Faatir 35; 15]
Maksudnya, kita semua secara fitrahnya adalah miskin.
Walau bagaimanapun, memang ada sebahagian manusia yang mendapat gelaran “orang kaya”.
Jadi apa beza kekayaan manusia dengan kekayaan Allah?
Jawapannya, kekayaan manusia tidak bersifat mutlak.
Ia terhad, bersifat relatif (berubah-ubah) dan sementara.
Kenapa kekayaan manusia terhad?
Kerana ia diperolehi dari luar, contohnya:
- Warisan.
- Pekerjaan.
- Menang loteri.
Manusia ketika lahir tidak membawa apa-apa pun.
Semua kekayaan yang dia miliki, datang daripada luar dirinya.
Kenapa kekayaan manusia itu terhad?
Kerana ia ada jumlah.
Contohnya, orang paling kaya di dunia sekalipun masih memiliki jumlah tertentu – ada batasan.
Tidak seperti kekayaan Allah yang tidak terbatas.
Kenapa kekayaan manusia itu relatif (berubah-ubah)?
Kerana ia bergantung pada tempat dan perbandingan.
Mungkin seseorang itu dianggap kaya di sebuah kampung, tetapi bila berada di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Jakarta, dia kelihatan biasa sahaja.
Kenapa kekayaan manusia itu sementara?
Sebab boleh berkurang dan habis sewaktu manusia hidup lagi.
Contohnya; Bila perniagaan sedang maju, duit banyak.
Tapi bila bisnes jatuh, duit pun merosot.
Maka, kekayaan manusia boleh berubah-ubah.
Jemput baca: Dua Bentuk Rezeki
Mungkinkah Manusia Memiliki Kekayaan Sejati?
Jawapannya mungkin.
Bila?
Apabila dia memiliki kekayaan hati.
Sabda Nabi salla Allahu alaihi wa sallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i dalam Sunanul Kubra, dan hadis ini dinilai sahih oleh Ibn Hibban, al-Zahabi dan Syaikh al-Albani:
“Kekayaan yang sejati adalah kekayaan hati.”
Manakala kemiskinan yang sejati adalah kemiskinan hati.
Jadi semua ini kembali kepada apa?
Kepada hati.
Apa Itu Kekayaan Hati?
Kekayaan hati ialah kebergantungan hati hanya kepada Allah.
Apa maksudnya?
Maksudnya, seseorang itu hanya menggantungkan harapannya kepada Allah, hanya menggantungkan nasibnya kepada Allah, hanya berdoa kepada Allah.
Jadi orang yang kaya, hatinya tidak bergantung kepada:
- Banyaknya akaun simpanan.
- Banyaknya bisnes.
- Banyaknya kenalan.
- Naik turun ekonomi negara.
Sebab apa?
Sebab dia yakin dengan sebenar-benar yakin (haqqul yaqin) bahawa rezekinya berada dalam genggaman Allah, keselamatannya dijaga Allah dan pertolongan hanya datang dari Allah.
Apabila seseorang hamba sudah berjaya menggantungkan seluruh hatinya kepada Allah, maka ketika itulah dia menjadi orang yang benar-benar kaya.
Bagaimana Nak Dapat Kekayaan Hati?
Ada dua langkah:
- Mengenal Allah (Ma‘rifatullah).
- Beribadah kepada Allah.
1. Mengenal Allah
Apa maksud mengenal Allah?
Maksudnya kita perlu mengetahui kekayaan Allah, menyedari kemurahan dan kasih sayang Allah, serta memahami bahawa seluruh alam semesta ini berada di bawah kekuasaan-Nya.
Seperti yang kita baca dalam ayat tadi:
“Hanya milik Allah segala yang ada di langit dan di bumi.”
Apa sahaja yang ada di muka bumi ini – rumah, tanah, emas, perak, harta dan segala-galanya adalah milik Allah.
Maka jika kita benar-benar kenal Allah, kita tidak akan takut kepada makhluk secara berlebihan.
Kenapa?
Kerana rezeki kita bukan di tangan makhluk, bukan di tangan bos, bukan di tangan IMF (International Monetary Fund – Tabung Kewangan Antarabangsa).
Tapi di tangan siapa?
Di tangan Allah.
Jadi, bila seseorang ditimpa kesusahan ekonomi, dia yakin bahawa yang akan menolongnya adalah Allah.
Ketika dia benar-benar terdesak dan sangat memerlukan rezeki, dia akan berdoa kepada ar-Razzaq (Yang Maha Memberi Rezeki) ataupun al-Jawwad (Yang Maha Pemurah).
Tapi malangnya, kalau kita tidak kenal Allah, apa yang biasanya manusia akan buat bila terdesak?
Cari hutang, lepas itu riba pulak itu.
Sedangkan, kita ada Allah Yang Maha Kaya, Maha Pemurah.
Tetapi kita minta kepada manusia yang sebenarnya miskin dan kedekut.
Kenapa begitu?
Kerana kita tidak kenal Allah.
2. Beribadah Kepada Allah
Kenapa perlu beribadah kepada Allah?
Kerana ibadah itu mendekatkan hati kita kepada Allah.
Bila hati dekat dengan Allah, hati akan tenang.
Bila hati tenang, walau ditimpa masalah ekonomi yang besar sekalipun, insha-Allah kita tetap akan kuat menghadapinya.
Kita tidak akan jadi gelisah, panik atau terlalu risau tentang “esok makan apa?”.
Kenapa?
Kalau orang kafir pun Allah bagi makan, takkanlah Allah nak abaikan orang yang beriman?
Tidak mungkin.
Tetapi keyakinan ini hanya muncul bila kita dekat dengan Allah.
Bagaimana nak dekat dengan Allah?
Dengan ibadah.
Jadi, dua langkah ini tidak boleh dipisahkan:
- Mengenal Allah.
- Beribadah kepada Allah.
Kalau hanya kenal tapi tak beribadah, itu seperti tahu teori tapi tidak beramal.
Kalau hanya beribadah tapi tidak kenal Allah, ibadah itu akan kosong, tiada makna.
Dia tidak tahu dia solat untuk siapa, puasa untuk siapa atau sedekah untuk siapa.
Maka, dua-dua perlu ada.
Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekayaan hati.
Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Bangun, berilah peringatan!
—