fbpx

Penulis

Assalamualaikum.

Terima kasih kepada semua sahabat yang berkunjung ke blog saya.

Saya Hakim Darno, seorang guru al-Quran dan juga penulis.

Sejak tahun 2012 lagi saya telah mengajar al-Quran secara persendirian.

hakim darno 5

 

Dan sepanjang tempoh mengajar itu terlintas di fikiran saya, “Lepas pelajar-pelajar ini pandai baca al-Quran, nak belajar apa lagi?”

Pemerhatian saya pada masa itu, lepas pelajar pandai baca al-Quran, kebanyakan ustaz akan menawarkan kelas fardu ain seperti wuduk dan solat.

Okey, tidak ada masalah pun.

Boleh sahaja belajar.

Cuma saya berpendapat, alangkah bagusnya kalau lepas pandai baca al-Quran, kita teruskan pula untuk faham al-Quran (tadabbur).

Jadi, bermula pada tahun 2016 saya mula menghadiri seminar yang berkaitan dengan tadabbur al-Quran.

Bermula daripada situ saya terus konsisten mendalami ayat-ayat Allah melalui seminar, kuliah tafsir dan juga tadabbur.

hakim darno 7

Saya juga mula berkongsi hasil daripada tadabbur al-Quran yang saya lakukan kepada pelajar-pelajar saya.

Saya juga mula kongsi nota-nota saya di Facebook dengan harapan lebih ramai orang yang akan mendapat manfaatnya dan lebih ramai orang yang akan berminat untuk faham al-Quran dan bukan sekadar bahan bacaan untuk mendapatkan pahala.

Kini, saya kongsikan pula di dalam blog yang anda semua sedang baca.

Berkongsi tentang tadabbur al-Quran membuatkan saya seronok kerana selain saya dapat kongsikan kepada pelajar-pelajar, saya juga dapat meningkatkan kefahaman saya terhadap al-Quran.

Oleh itu, saya mahu mengajak diri saya dan juga para pembaca untuk mendekati al-Quran.

Mendekati al-Quran dengan cara memahami ayat demi ayat.

Jadi, apa yang saya kongsikan di dalam blog ini merupakan hasil nota-nota yang saya kumpulkan melalui kuliah dan seminar yang telah saya hadiri sebelum ini.

Serta hasil tadabbur saya daripada beberapa buah kitab tafsir dan buku-buku rujukan yang lain.

Saya bukanlah seorang pakar, namun saya cuba berusaha menjadi manusia yang terbaik iaitu belajar dan menyampaikan al-Quran.

Saya menulis dengan semangat yang dibekalkan oleh guru-guru tadabbur saya seperti Ustaz Syaari Ab. Rahman, PU Yusof Arbain, Ustaz Noh Fareeq Omar, Ustaz Syahmie Syazeril Azmi, Dr. Azrul Azlan, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Harfiz Hamzah, Ustaz Abd Muein Abd Rahman, Ustaz Rosli Mokhtar dan guru-guru saya yang lain untuk berkongsi ayat-ayat al-Quran yang saya fahami.

Mengapa Saya Menulis?

hakim darno 8

Saya menulis kerana mahu terus hidup.

Saya mengambil inspirasi daripada buku Ustaz Syihabudin Ahmad Yatim yang bertajuk Panduan Menjadi Penulis Super bahawa kualiti manusia tidak dapat dinilai dengan ukuran umur.

Tidak juga dapat dinilai dengan kuantiti usaha yang dikerjakan.

Tetapi kualiti manusia dilihat dari amalannya yang memberi manfaat berterusan.

Ada orang yang berumur panjang, tetapi umurnya tidak membawa sebarang manfaat.

Disebut juga tiada berkat.

Ada pula orang yang berumur pendek, tetapi ia sarat dengan kebaikan dan kebajikan sepanjang hayatnya.

Beliau mengajak kepada para penulis supaya membayangkan diri seperti Imam As-Syafi’i yang mengarang kitab al-Uum.

Kitab itu masih digunakan sehingga ke hari ini. Ia menjadi rujukan utama dalam dunia Islam.

As-Syafi’i masih hidup sekalipun tidak seorang pun sahabat-sahabat kita yang pernah menemuinya.

Bayangkan diri kita sebagai Imam al-Ghazali yang mengarang Kitab Ihya ‘Ulumuddin di penjuru Masjid al-Aqsa.

Sekalipun sudah luput umur al-Ghazali, tetapi kitabnya terus dijadikan panduan bagi mereka yang mahu menyucikan hati.

Mudah mudahan saya dapat mencontohi mereka.

Kekalkan umur kita yang pendek ini dengan menulis.

Kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar pula, menulis melatih minda kita menjadi fasih.

Bila kita menulis, kita dapat belajar menyusun fikiran ataupun idea kita dengan baik.

Maka, orang lain akan mudah faham dengan idea ataupun mesej yang kita cuba sampaikan.

Apabila kita menulis setiap hari, proses berfikir akan menjadi lebih mudah.
 
Kita tidak perlu lagi bersusah payah untuk berfikir tentang apa yang perlu kita tulis  kerana minda bawah sedar kita telah melakukan tugasnya secara automatik.
 
Minda itu melahirkan penulisan yang baik.
 
Sebagai Muslim, kita perlu fikir dan tulis perkara yang luar biasa untuk solusi diri kita, keluarga kita dan juga ummah.
 

Hakim Darno ~ Belajar & Sampaikan al-Quran