Kata Ustaz Abd Muein, rezeki ini ada dua jenis.
Yang pertama, rezeki berbentuk duniawi, iaitu lebih kepada dunia.
Rezeki duniawi ini, semua makhluk dapat – orang kafir dapat, binatang pun dapat.
Yang kedua, rezeki dalam bentuk ukhrawi.
Rezeki ini khas untuk orang yang beriman sahaja.
Apa itu rezeki ukhrawi?
Contohnya ialah hati kita lapang dan mudah untuk menuntut ilmu.
Mudah sahaja nak pergi kelas agama walaupun jauh.
Sebab ada orang yang malas nak pergi kelas agama walaupun dekat.
Ataupun hati kita lapang untuk buat apa sahaja amal yang fardu dan yang sunat.
Hati kita lapang sahaja untuk pergi solat berjemaah lima waktu.
Hati kita lapang sahaja untuk sedekah.
Ada duit lebih sahaja, terus sedekah.
Ini rezeki ukhrawi.
Okey jom kita renungkan bersama-sama.
Punca Manusia Tidak Beribadat Kepada Allah
Apakah punca manusia tidak beribadat kepada Allah?
Salah satunya adalah sibuk mencari rezeki.
Kalau kita tanya pada orang yang tidak solat, kenapa tidak solat?
Ada yang jawab sibuk kerja di pejabat, jumpa orang dan sebagainya.
Jadi antara penghalang manusia beribadah kepada Allah ialah cari rezeki.
Fahaman kita, nak dapat rezeki ini kena kerja.
Sedangkan al-Quran mengajar kita, nak dapat rezeki ini kena beriman dan beramal soleh.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍ فَضْلَهُۥ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).
Allah kata (ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَٰعًا حَسَنًا) – kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu.
Kalau kita beribadat kepada Allah, pasti kita akan dapat rezeki.
Nak tahu atau tidak, sebenarnya kita semua (manusia) ini pelik.
Sebab apa?
Sebab masa dalam kandungan sembilan bulan, kita risau atau tidak tentang rezeki?
Tidak.
Bila lahir?
Tidak.
Bila sekolah rendah, sekolah menengah?
Tidak.
Bila masuk universiti?
Dah mula risau sikit.
Lepas konvo dan dapat sijil?
Lagi bertambah risau.
Soalnya kenapa?
Kenapa ketika kita membesar – tabika, sekolah rendah dan sekolah menengah kita tidak fikir langsung tentang rezeki?
Kita rasa gembira sahaja.
Tiba-tiba, bila kita dah besar, kuat, boleh berfikir, ada sijil dan sebagainya, kita risau tentang rezeki?
…..
Sebab kita rasa, masa kecil itu emak ayah yang bagi rezeki.
(Habis rosak akidah kita).
Masa kita kecil, yang bagi rezeki bukan emak ayah kita, tetapi Allah subhanahu wa ta’ala.
Contoh, kita duduk dalam perut emak kita, kalau Allah tidak bagi rezeki, kita boleh mati atau tidak?
Boleh.
Bila kita lahir, kalau Allah tidak izinkan emak kita keluarkan susu, boleh atau tidak kita bagi susu pada anak?
Tidak boleh.
Jadi, semenjak daripada kecil lagi memang Allah yang bagi rezeki pada kita.
Kenapa bila kita dah besar, kuat, boleh berfikir, ada sijil, kita risau tentang rezeki sehingga kita tinggal solat?
Pelik kan?
Pelik tapi benar.
Sekarang mari kita fikirkan sama-sama, kenapa?
Kenapa boleh jadi macam ini?
Habis sahaja belajar, ada sijil, nak kahwin, hidup kita mula huru-hara.
Hutang sana, hutang sini.
Jom kita lihat bagaimana Nabi dan para sahabat berhadapan dengan soal rezeki.
Mereka risau atau tidak tentang rezeki?
Tidak.
Bila mereka masuk Islam, hati mereka sama seperti zaman kanak-kanak.
Tidak risau langsung tentang rezeki.
Sebab itu, bila Allah kata, “Tinggal Mekah”.
Mereka tinggalkan sahaja.
Allah kata, “Berhijrah”.
Mereka berhijrah sahaja.
Mereka pergi ke Habsyah, negeri orang kafir, bangsa dan bahasa berbeza, malah tidak ada sesiapa pun yang mereka kenal, mereka risau atau tidak tentang rezeki?
Tidak.
Kalau mereka risau tentang rezeki, mereka akan kata apa pada Rasulullah?
Ya Rasulullah, nak makan apa di sana?
Bukan ada kerja pun, tambah-tambah lagi di negeri orang kafir.
Langsung mereka tidak komplen.
Kenapa mereka tidak risau, sedangkan kita risau?
Malah kadang-kadang, dah ada kerja pun kita masih risau, dah ada simpanan KWSP pun masih lagi kita berfikir cukup ke tak cukup ni, kan?
Tapi kenapa Nabi dan sahabat boleh yakin kepada Allah sehingga mereka tidak risau langsung tentang rezeki?
Jawapannya sebab para sahabat buat kerja Allah.
Bila mereka buat kerja Allah, mereka yakin dan tidak risau sebab mereka ikut arahan Pemberi Rezeki.
Kita?
Buat kerja Allah ke kerja kita?
Sama-samalah kita muhasabah diri.
Bangun, berilah peringatan!