Siapa yang tak nak rezeki lebih?
Mestilah semua orang nak, kalau ada orang yang tak nak rezeki lebih, mesti ada yang tak kena pada dirinya.
Sebab Allah pun beritahu di dalam al-Quran, memang secara fitrahnya kita mencintai harta.
Dan ramai orang yang salah faham, ingat cinta harta itu salah.
Tidak!
Selagi mana harta itu kita dapatkan dengan cara yang halal, dibelanjakan dengan cara yang halal dan harta itu dizakatkan dengan sempurna – Allahuakbar, ini adalah satu nikmat yang sangat besar.
Cuma ramai yang gagal di sini, sebab kita mencari harta sehingga tinggalkan al-Quran, tinggalkan tadabbur al-Quran dan tinggalkan belajar agama.
Sebab macam mana nak cari harta dengan cara yang halal dan belanjakan dengan cara yang halal kalau kita pun tak faham apa yang Allah perintahkan?
Red flag!
Jadi insha-Allah hari ini, kita akan belajar satu cara yang diajar sendiri oleh Rasulullah salla Allahu alaih wa sallam untuk menambah rezeki.
Doa Tambah Rezeki
Kata Ustaz Mohamad Bajoour, Rasulullah sallau Alaih wa sallam pernah berdoa dan doa ini telah pun dimakbulkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Sahabat Nabi yang bernama Sakhr al-Ghamidi meriwayatkan satu-satunya hadis yang dinukil daripadanya:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu paginya.
[Diriwayatkan oleh Tirmidhi, no. 1212]
Perkataan barakah ini sangat unik.
Ia bukan sekadar “berkat” seperti dalam terjemahan biasa.
Barakah bermaksud rahmat Tuhan yang menjadikan sesuatu itu bertambah baik dari segi kuantiti mahupun kualiti secara tersembunyi, tanpa kita sedari bagaimana ianya terjadi.
Dan menariknya, doa ini khusus untuk umat yang memulakan hari mereka pada awal pagi.
Malah, Sakhr sendiri mengamalkan doa ini.
Beliau berniaga pada awal pagi dan akhirnya Allah jadikan beliau sangat kaya.
Beliau juga menyatakan bahawa Rasulullah sallau alaih wa sallam sering menghantar pasukan tentera pada waktu pagi, supaya mereka meraih keberkatan tersebut.
Jadi, doa itu sudah ada dan sudah dimakbulkan.
Tinggal kita sahaja, sama ada mahu ambil peluang itu ataupun tidak?
Keberkatan yang disebut ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk, contohnya keberkatan dalam pembedahan bagi doktor, keberkatan dalam pemikiran bagi penulis, keberkatan keputusan peperiksaan bagi pelajar dan keberkatan dari segi kerja harian bagi sesiapa sahaja.
Semuanya bermula jika kita memulakan hari lebih awal.
Abi Zar radiyallahu anhu pernah berkata:
يَوْمُكَ كَجَمَلِكَ إِنْ أَمْسَكْتَ أَوَّلَهُ
Harianmu ibarat seekor unta. Jika kamu pegang kepalanya (permulaan hari), yang lain akan ikut.
Tanyalah sesiapa yang bangun awal, mereka akan beritahu, menjelang jam 9 pagi mereka sudah capai banyak perkara.
Bandingkan dengan mereka yang baru mula jam 10 atau 11 pagi, masih terkial-kial, malah mungkin hanya capai separuh daripada apa yang dicapai oleh orang yang bangun awal tadi.
Jadi kuncinya ialah Rasulullah salla Allahu alaihi wa sallam sudah mendoakan kita.
Doa … untuk mereka yang mulakan hari lebih awal.
Jemput baca: Kekayaan Hati Itulah Kekayaan Yang Sebenar
Solat Subuh Berjemaah: Permulaan Terbaik
Dan apakah cara yang terbaik untuk memulakan hari?
Dengan solat Subuh berjemaah di masjid.
Bayangkan, permulaan hari kita di rumah Allah subhanahu wa ta’ala?
Jadi siapa yang sudah biasa dengan Subuh berjemaah akan faham bila tertinggal Subuh berjemaah, hari itu terasa sangat berbeza.
Cuba cari dalam Google dari sudut sains sekular sekalipun, banyak manfaat bangun awal pagi sebenarnya, contohnya; tingkatkan produktiviti, otak lebih fokus dan kurangkan tekanan perasaan.
Semua ini hasil kajian orang bukan Islam.
Dan kita semua tahu, bila ditanya orang berjaya atau tokoh perniagaan besar, salah satu perkara utama yang mereka kongsi ialah – “Kami mulakan hari kami lebih awal.”
Malaikat Menyaksikan Orang Yang Solat Subuh Berjemaah
Cuba kita sama-sama fikir tentang ayat ini, Allah subhanahu wa ta’ala menyatakan dalam Surah al-Israa’:
إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا
Sesungguhnya bacaan al-Quran waktu Subuh itu disaksikan oleh para malaikat.
[Surah al-Israa’ 17: 78]
Bayangkan, malaikat dari langit ketujuh turun semata-mata untuk menyaksikan kita solat Subuh berjemaah.
Tiba-tiba, kita yang hanya duduk 70 meter daripada masjid, tak datang?
Cuba jawab soalan ini.
Kalau esok pagi, pihak masjid umumkan siapa yang datang Subuh berjemaah akan dapat RM2,000 tunai, siapa yang tak datang tanpa uzur kena pulangkan semula semua duit itu – agak-agak ramai tak yang akan datang?
Pasti, semua orang akan datang.
Malah bukan kita sahaja yang datang, kita akan ajak sepupu di negeri lain, telefon kawan satu negara atau mungkin siap tidur di masjid pada malam itu, sebab takut terlepas!
Tapi ingat, semua duit itu – semua kekayaan dunia, akan kita tinggalkan dalam kubur nanti.
Sekarang dengar ini.
Bukan RM2,000, bukan RM10,000 dan bukan RM5 juta.
Tapi hanya dua rakaat sunat Subuh sahaja, ganjarannya lebih baik daripada seluruh dunia dan segala isinya.
Gunung, emas, berlian, wang tunai – semua tidak setanding dengan dua rakaat sunat Subuh.
Jadi bayangkan nilai solat fardu itu bagaimana pula?
Bila dengar pesanan ini, sepatutnya menyebabkan hati kita bergetar dan merasa sayang sekali untuk meninggalkan solat sunat Subuh dan fardu Subuh (terutamanya hari Jumaat) yang paling dicintai oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Bangun, berilah peringatan!