Ustaz Amir adalah seorang pendakwah yang dihormati di kampungnya.
Ilmunya luas dan kata-katanya penuh dengan hikmah.
Setiap hari Isnin waktu Maghrib, pasti Masjid Tebuk Murfad penuh dengan jemaah yang hadir untuk mendengar kuliahnya.
Namun beliau lebih selesa menyampaikan dakwahnya secara tradisional (di meja-meja kuliah).
Jadi teknologi digital bukanlah sesuatu yang menarik perhatiannya.
Beliau langsung tak kisah.
Suatu malam selepas kuliah, ada seorang pemuda bernama Zaki yang rajin hadir ke majlis ilmunya menegur beliau di anjung masjid.
Wajah Zaki kelihatan penuh dengan keinginan untuk bertanya sesuatu.
“Ustaz, saya nak tanya sikit boleh?”
Zaki memulakan perbualan.
Ustaz Amir tersenyum, “Apa dia Zaki? Tanyalah.”
Zaki menghela nafas sebelum meneruskan, “Saya perasan ustaz banyak menyampaikan kuliah di masjid dan surau. Tapi saya tertanya-tanya, kenapa ustaz tak kongsikan ilmu ustaz di media sosial? Sebab sekarang ini, ramai orang terutamanya anak muda, lebih banyak menghabiskan masa di media sosial.”
Ustaz Amir tersenyum, tapi kali ini senyumannya sedikit sinis.
“Zaki, dakwah ini satu amanah. Saya lebih selesa menyampaikan kepada mereka yang hadir di hadapan saya, yang saya boleh lihat dan sentuh hatinya. Media sosial? Biarlah orang lain yang buat. Lagipun saya tak pandai.”
Zaki terdiam, dalam fikirannya ligat mencari idea untuk membalas kata-kata ustaz.
“Tapi ustaz, bukan ke ustaz kata kalau tak pandai, boleh belajar?”
“Ya betul, tapi biarlah orang lain pula yang belajar. Takkan semua saya kena belajar?”
- Jemput baca: 15 Sebab Kenapa Ilmu Lebih Baik Daripada Harta
“Apa salahnya kalau ustaz belajar semua? Hihi. Taklah ustaz. Saya gurau je. Maksud saya, ustaz fokus sahaja menyampaikan ilmu seperti biasa. Cuma saya nak mintak izin ustaz, boleh tak kalau saya nak rakam setiap kali kuliah ustaz?”
“Hurm … saya ini bukan apa, saya pun manusia. Takut-takut, jatuh riak pulak nanti.”
“Ustaz, ustaz mengajar di masjid pun boleh datang riak kan? Jadi macam mana ustaz kawal perkara itu?”
“Saya betulkan niat. Sampaikan ilmu kerana Allah.”
“Ha, samalah ustaz. Di media sosial ini pun ustaz kena jaga hati, niat untuk sampaikan ilmu sahaja bukan nak viral dan sebagainya.”
Ustaz Amir mengangkat keningnya, terkejut dengan pandangan Zaki yang membuka fikiran.
“Aduh, aku rasa macam kena lempang je dengan budak ini”.
Kata Ustaz Amir dalam hati.
“Jadi kamu rasa, kuliah saya ini perlu di online kan ke?”
Zaki mengangguk dengan penuh yakin.
“Ustaz, sekarang ini ramai orang muda tak datang ke masjid, mereka tak dengar ceramah di sini. Tapi mereka ada di telefon mereka, ada di media sosial, di YouTube, Tiktok, Instagram dan sebagainya. Kalau ustaz tak ada di sana, siapa yang akan menyampaikan ilmu yang sahih kepada mereka? Saya risau, mereka akan dapat ilmu yang salah. Bukankah ini tanggungjawab kita ustaz?”
Kata-kata Zaki mula meresap ke dalam fikiran Ustaz Amir.
Beliau terdiam sejenak, merenung.
Fikiran beliau bergelut dengan perasaan bercampur-baur.
Selama ini, beliau berdakwah dengan cara berhadapan terus dengan jemaah, berinteraksi secara langsung.
Beliau tak pernah terfikir pun tentang potensi dunia digital yang disebut oleh Zaki.
“Media sosial?”
Bisiknya dalam hati.
Teknologi bukanlah bidangnya, dan perasaan ragu-ragu mula menyesakkan dada.
Namun, kata-kata Zaki tadi masih berlegar di fikirannya.
“Kalau ustaz tak ada di sana, siapa yang akan menyampaikan ilmu yang sahih kepada mereka?”
Tiba-tiba, satu perasaan berat menyelubungi hati Ustaz Amir.
Beliau mula teringatkan anak-anak muda di kampungnya yang semakin hari, semakin jarang hadir ke masjid.
Seolah-olah ada tembok besar dan tinggi yang menyebabkan mereka tak boleh masuk ke masjid.
Dan kini, Zaki menawarkan satu jalan baru ataupun satu tanggungjawab yang belum pernah difikirkan.
“Aku riak nanti macam mana?”
Soalnya dalam hati, cuba mencari alasan.
Kemudian, pandangan Zaki yang penuh keyakinan kembali menghantui.
“Ustaz mengajar di masjid pun boleh datang riak, kan?”
Ini satu teguran yang menusuk ke jantung hati.
Bukan teguran dari orang yang luar biasa, tetapi teguran daripada anak muda yang seolah-olah melempang hatinya.
Ustaz Amir menarik nafas panjang, matanya sedikit berkaca.
Perasaan malu menyelinap ke dalam hati – malu pada dirinya sendiri.
Beliau merenung Zaki yang masih menantinya dengan sabar.
Seorang anak muda yang berilmu tentang teknologi, menawarkan bantuan.
Bukan untuk dirinya sendiri, tapi demi dakwah dan juga agama.
Akhirnya Ustaz Amir mengangguk perlahan, “Baiklah Zaki, kita cuba. Tapi Zaki, saya tak pandai dalam semua teknologi itu. Saya tak tahu bagaimana nak buat konten video atau tulis di blog?”
Zaki tersenyum.
“Ustaz, ilmu ustaz ini mahal. Media sosial ini hanya alat untuk menyampaikan. Saya dan kawan-kawan boleh bantu ustaz dalam hal teknikal ini. Yang penting, kita kena pastikan bahawa ilmu yang disampaikan di media sosial adalah ilmu yang betul dan bermanfaat.”
Ustaz Amir mula tersedar.
Selama ini dia tak pernah terfikir pun.
Dia hanya memandang media sosial dari sudut yang negatif sahaja iaitu untuk menonjolkan diri.
Tapi sebenarnya berapa ramai orang yang memerlukan bimbingan di sana?
“Betul juga Zaki, ini tanggungjawab kita. Saya tak boleh biarkan teknologi menjadi halangan.”
Ustaz Amir mengakui dengan nada lembut.
Zaki tersenyum lebar, gembira sebab Ustaz Amir dah sedar tentang potensi dakwah di media sosial.
“Ustaz, seperti yang selalu ustaz kata, kalau kita sampaikan ilmu, kita pun akan dapat pahalanya. Jadi bila setiap orang yang menonton atau membaca konten ustaz, mereka akan mendapat ilmu. Dan setiap kali mereka amalkan ilmu itulah, pahalanya akan terus mengalir kepada ustaz.”
Semenjak hari itu, Ustaz Amir mengambil keputusan untuk memulakan dakwahnya di media sosial.
Dengan bantuan Zaki dan anak muda yang lain, ceramah-ceramah Ustaz Amir kini boleh ditonton oleh berjuta-juta orang, bukan hanya di kampungnya tetapi di seluruh dunia.
Ilmunya tersebar luas, menjadi amal jariah yang berterusan, seperti sungai yang mengalir tanpa henti.
Kadang-kadang orang berilmu tidak menyedari tentang potensi teknologi dalam menyebarkan ilmu.
Jadi pentingnya orang yang berilmu berganding bahu dengan orang muda yang berpengetahuan tentang teknologi, dalam menyebarkan ilmu.
Bangun, berilah peringatan!
❓Anda nak buat konten dakwah di MEDIA SOSIAL, tapi tak pandai? Jom kita sama-sama belajar.
KLIK SINI kalau serius nak belajar buat konten dakwah di media sosial.