fbpx

Urwah & Abdurahman Usahawan Berjaya

Urwah al-Bariqi ialah seorang sahabat Nabi dan layak menjadi model usahawan berjaya bagi umat Islam.

Beliau pandai menggunakan modal yang tidak seberapa untuk meraih keuntungan yang berganda.

Suatu hari Rasulullah menyerahkan wang satu dinar kepada Urwah bin al-Jaad al-Bariqi.

Baginda menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli seekor kambing korban.

Satu dinar biasanya hanya cukup untuk membeli seekor kambing.

Namun kerana kepakarannya dalam berjual beli, Urwah mampu mendapat dua ekor kambing dengan satu dinar tersebut.

Semasa perjalanan pulang, beliau berjumpa dengan seseorang yang berminat membeli salah seekor kambing yang dibawanya.

Urwah lalu menjualnya dengan harga satu dinar.

Apabila berjumpa Baginda Nabi, Urwah berkata, “Wahai Rasulullah, ini wang dinar milik tuan. Dan ini kambing milik tuan.”

Rasulullah terkesan dengan kepandaian Urwah.

Baginda mendoakan Urwah dengan sabdanya,

“Ya Allah, berkatilah Urwah dalam setiap transaksi yang beliau lakukan.”

(Riwayat Ahmad)

Selepas doa Nabi ini, Urwah menjadi seorang peniaga yang sangat berjaya.

Sehingga dikatakan, andai dia menjual debu sekalipun, dia pasti akan mendapatkan untung.

Pada akhir hayatnya Urwah menetap di Kufah dan menjadi salah seorang yang paling kaya di negeri tersebut.

Menurut Dr. Umar dalam bukunya 47 Superstar Syurga, berdasarkan doa Nabi di atas, menunjukkan keredaan Baginda terhadap apa yang Urwah lakukan.

hakimdarno - urwah dan abdurahman usahawan berjaya 2

Maksudnya menceburi bidang perniagaan, memang sangat digalakkan dalam Islam.

Rasulullah pernah ditanya,

“Pekerjaan apakah yang terbaik?” Baginda menjawab, “Seseorang yang menggunakan kemahiran tangannya dan setiap jual beli yang halal.”

(Riwayat Ahmad)

Dr. Umar menerangkan lagi bahawa para ulama menyebut perniagaan sebagai salah satu kaedah mencari rezeki yang paling mulia.

Tentu sahaja syaratnya apabila perniagaan tersebut bersih daripada penipuan, monopoli, riba dan perkara haram lainnya.

Melihat kepada lembaran sejarah hidup para ulama, kita akan mendapati ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan dunia Islam juga merupakan peniaga yang berjaya.

Antaranya ialah Imam Abu Hanifah, Imam Laith bin Saad, Imam Abdullah bin al-Mubarak, dan lain-lain.

Para ulama ini membuktikan bahawa jalan kejayaan boleh diraih tanpa menempuh jalan yang haram di sisi syarak.

Mereka bukan hanya pakar dalam teori halal dan haram, namun juga praktis dalam bidang tersebut.

Motivasi mereka dalam perniagaan juga sangat mulia.

Motivasi itu bukan untuk memperkaya diri, tetapi mempertingkatkan diri agar lebih dekat kepada Ilahi.

Ibn al-Mubarak pernah ditanya tentang motif perniagaan beliau.

Ulama dan usahawan besar ini menjawab, “Aku melakukannya untuk menjaga air muka, memelihara kehormatan dan membantu diriku dalam ketaatan.”

Jika semangat dan motivasi keusahawanan ini dimiliki setiap Muslim, sudah pasti umat Islam akan menjadi bangsa yang disegani.

Mereka kuat dalam ekenominya sebagaimana kuat dalam iman dan akidahnya.

Abdurahman Bin Auf

hakimdarno - urwah dan abdurahman usahawan berjaya 3

Kita tengok pula kisah seorang lagi sahabat Nabi iaitu Abdurahman bin Auf.

Menurut Dr. Umar, Ibn Syihab al-Zuhri berkata,

“Abdurahman bin Auf pernah menyedekahkan setengah hartanya pada zaman Nabi iaitu sebanyak 4 ribu dinar. Setelah itu, beliau juga bersedekah sebanyak 40 ribu dinar, membiayai 500 ekor kuda dan 500 ekor unta di jalan Allah. Kebanyakan hartanya diperoleh menerusi perniagaan.”

Pada hari beliau meninggal dunia, harta pusaka yang ditinggalkannya sangat banyak.

Harta tersebut berbentuk hartanah, wang emas, barang kemas, haiwan ternak dan sebagainya.

Diriwayatkan bahawa seorang isteri beliau mendapat 80 ribu dinar, iaitu 1/8 bahagian yang menjadi haknya dalam faraid.

Al-Hafiz Ibn Abdil Bar dalam kitab al-Isti’ab berkata,

“Beliau seorang peniaga yang berjaya dan memiliki harta yang sangat banyak. Apabila meninggal dunia, beliau mewariskan 1000 ekor unta, 300 ribu ekor kambing dan 100 ekor kuda yang digembalakan di Baqi’.”

Meskipun beliau sangat kaya, namun kekayaan itu tidak pernah melalaikan dirinya.

Beliau malah merasa bimbang kelebihan ini merupakan satu ujian dan fitnah bagi dirinya.

Kata Dr. Umar,

“Semakin banyak harta seseorang, semakin besar tanggungjawab yang mesti dia laksanakan, dan semakin berat hisab yang akan dilaluinya di akhirat nanti.”

Sedar dengan perkara ini, Abdurahman selalu berwaspada.

Menjadi jutawan terkaya tidak membuatnya angkuh dan sombong.

Gaya hidup beliau pun sangat jauh daripada sikap riyak dan menunjuk-nunjuk.

Penampilan beliau selalu sederhana.

Saad bin Abdurahman berkata, “Abdurahman bin Auf tidak dapat dibezakan dengan hamba-hamba-Nya.”

Maknanya penampilan beliau seperti orang biasa.

Tiada kemewahan dalam pakaian dan kenderaannya.

Demikianlah hasil tarbiah Nabi yang sangat berkesan dalam diri para sahabatnya.

Beliaulah jutawan yang dijamin masuk syurga!

Kesimpulan Untuk Menjadi Usahawan Berjaya

Niat untuk menjadi usahawan yang berjaya itu sangat bagus dan dipandang tinggi di dalam agama kita berdasarkan kisah dua orang sahabat yang anda baru baca tadi.

Dan kata Dr. Umar, sebenarnya ramai lagi sahabat Nabi yang aktif dengan profesion ini antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Usman bin Affan, Zainab isteri Nabi dan ramai lagi.

Cuma peringatan kita bersama, marilah kita mengambil contoh keseluruhan hidup para sahabat, bukannya sebahagian sahaja.

Memang kita tidak mampu mencontohi para sahabat semuanya, tapi maksud saya ialah para sahabat kaya dan berjaya tapi dalam masa yang sama mereka juga sangat tawaduk dan tidak lupa pada hari akhirat.

Jadi, jangan kita mengejar menjadi usahawan yang berjaya sehingga kita tidak sempat untuk melakukan ibadah, tidak sempat belajar tadabbur al-Quran atau mendalami ilmu agama dan sebagainya.

Begitu juga dengan kita yang mahu meniru sifat tawaduk para sahabat, jangan kita salah ertikan maksud tawaduk sehingga kita malas berusaha untuk mencari rezeki, tidak bagi nafkah anak dan isteri, malas bekerja, tidak produktif ataupun kerja lebih kurang sahaja.

Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meniru semangat, akhlak dan adab para sahabat Nabi dan semoga Allah meredai kita semua.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment