Bagaimana mahu ubah hidup dengan al-Quran?
Dalam Surah asy-Syams, Allah bersumpah dengan matahari dan bulan.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا
Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang.
وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلَىٰهَا
Dan bulan apabila ia mengiringinya.
وَٱلنَّهَارِ إِذَا جَلَّىٰهَا
Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata.
وَٱلَّيْلِ إِذَا يَغْشَىٰهَا
Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita).
[Surah asy-Syams 91: 1-4]
Matahari itu tanda waktu siang, manakala bulan pula tanda waktu malam.
Antara tujuan Allah bersumpah dengan makhluknya ialah supaya kita berfikir.
Jadi sekarang, kita nak fikir apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada kejadian matahari-bulan dan siang-malam.
Jemput baca:
Apa Yang Kita Sedang Hadapi Sekarang Tidak Kekal
Menurut Ustaz Abdul Muein, antara pengajarannya ialah Allah nak beritahu bahawa keadaan manusia ini tidak ada yang kekal. Sebagaimana keadaan siang dan malam yang tidak kekal dan saling silih berganti.
Kalau kita rasa dada kita sempit ataupun kita rasa hidup ini gelap sahaja, maka yakinlah esok pagi akan ada waktu fajar yang akan melapangkan kehidupan kita.
Kerana tidak ada satu masa pun – waktu malam itu tidak berakhir dengan siang hari. Begitu juga dengan siang hari, tidak akan kekal sampai bila-bila kerana akan datang waktu malam.
Jadi ini menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah yang boleh menukar keadaan setiap waktu, setiap hari selama berbulan bulan, bertahun tahun, malah beribu tahun tanpa ada sebarang kecacatan, kelemahan ataupun kekurangan.
Berdasarkan kejadian ini juga, Allah nak beritahu supaya kita sentiasa bersedia untuk kehidupan yang kekal dan kehidupan yang tidak akan berubah iaitu di akhirat besok.
Maksudnya kalau gembira, kita akan sentiasa gembira. Kalau muda, kita akan sentiasa muda dan kalau sihat, kita akan sentiasa sihat.
Jangan kita dilalaikan dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.
Selepas kejadian siang dan malam, Allah bersumpah pula dengan ciptaannya yang hebat iaitu langit,
وَٱلسَّمَآءِ وَمَا بَنَىٰهَا
Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh – yang melambangkan kekuasaanNya).
[Surah asy-Syams 91: 5]
Lihatlah atau perhatilah bagaimana Allah membina langit sebanyak tujuh lapis, besar, tinggi, kuat dan sudah wujud semenjak beribu ribu tahun dahulu tetapi tidak runtuh sebagaimana bangunan yang dibina oleh manusia – biasanya dalam tempoh 100 atau 200 tahun akan retak ataupun runtuh.
Setelah langit, Allah perintahkan pula kita melihat kebesarannya di bumi,
وَٱلْأَرْضِ وَمَا طَحَىٰهَا
Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya).
[Surah asy-Syams 91: 6]
Di bumi inilah Allah keluarkan tumbuh-tumbuhan dan juga bahan galian sebagai sumber rezeki manusia.
Okey, menariknya antara ciptaan Allah yang hebat tadi – matahari, bulan, siang, malam, langit dan bumi, ada ciptaan Allah yang lagi hebat dan penting.
Yang kerana ciptaan inilah Allah mencipta makhluk-makhluknya tadi iaitu,
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).
[Surah asy-Syams 91: 7]
Ubah Hidup Dengan Mengubah Jiwa Kita
Maksudnya Allah tidak akan cipta matahari, bulan, langit dan bumi kalau bukan kerana jiwa ini. Allah juga tidak akan mengutuskan Nabi Muhammad dan menurunkan al-Quran kalau bukan kerana jiwa ini.
Sebab itulah jiwa ini sangat penting. Kerana jiwa inilah yang akan dihisab dan dihitung bukannya langit, bumi ataupun tumbuh-tumbuhan.
Maka sebab itulah Nabi sebut dalam satu hadis yang sahih dan masyhur iaitu dalam badan manusia ada seketul daging, sekiranya baik seketul daging ini, maka baiklah seluruh anggota badan manusia. Dan sekiranya seketul daging ini rosak, rosaklah seluruh anggota badan dan akhlaq manusia.
Itulah hati.
Hati dengan nafsu adalah lebih kurang sama. Jadi fokus utama tanggungjawab manusia ialah hati. Kalau hati dah dibersihkan, hati sentiasa mentauhidkan dan beribadah kepada Allah, semua akan jadi baik.
Jadi, ini juga sebagaimana yang Allah sebut di dalam Surah asy-Syu’araa’ ayat 193-194,
نَزَلَ بِهِ ٱلرُّوحُ ٱلْأَمِينُ
Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.
عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ
Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).
[Surah asy-Syuara’ 26: 193-194]
Allah menurunkan al-Quran itu melalui ٱلرُّوحُ ٱلْأَمِينُ – malaikat yang bersifat amanah. Dialah yang bawa al-Quran. Bawa ke mana ni? Mulut? Telinga? Atau mata Nabi Muhammad? Bukan.
عَلَىٰ قَلْبِكَ – kepada hati engkau.
Tengok al-Quran yang paling asas, yang paling utama bercakap dengan hati manusia. Sebab dengan hati inilah manusia akan jadi baik dan akan membawa kebaikan kepada orang lain.
Maka sekiranya al-Quran hanya dibaca di bibir, hanya di dengar di telinga, maka dia tidak akan mengubah apa apa.