fbpx

Tukang Sihir Firaun Yang Merdeka

Sebelum ini, saya telah kongsikan maksud merdeka menurut al-Quran iaitu manusia yang boleh menundukkan semua kehendak dia mengikut kehendak Allah.

Boleh baca di sini:

Merdeka Dengan Menjadi Hamba Allah

Artikel kali ini pula, saya berikan contoh manusia yang merdeka iaitu kisah Tukang Sihir Firaun.

Sebelum ini, mereka (Tukang Sihir) telah diberikan kedudukan yang tinggi oleh Raja Firaun sebab peranannya yang cukup besar di dalam kerajaan.

Apakah peranan mereka kepada kerajaan Firaun?

Menjadi Tukang Sihir bagi menentang Nabi Musa alaihissalam.

Sebelum mereka berjumpa dengan Nabi Musa, mereka tanya kepada Raja Firaun, “Sekiranya kami menang berlawan dengan Musa, adakah kami akan mendapat pangkat?”

Jawab Raja Firaun:

“Kamu bukan setakat dapat jawatan, tapi kamu akan dapat jawatan orang kanan (istilah sekarang ialah Menteri Kanan).”

Betapa tingginya kedudukan yang ditawarkan oleh Raja Firaun kepada Tukang Sihir.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَجَآءَ ٱلسَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوٓا۟ إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِن كُنَّا نَحْنُ ٱلْغَٰلِبِينَ

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”

قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ

Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku).”

[Surah al-A’raaf 7: 113-114]

Tukang Sihir pun melemparkan tongkat dan tali masing-masing.

Memandangkan mereka merupakan Tukang Sihir yang profesional, mereka telah dapat menyihir pandangan mata manusia yang berada di situ.

Apa yang mereka lakukan itu sebenarnya sihir ataupun silap mata sahaja, tidak betul-betul bertukar menjadi ular.

Ianya hanya penipuan pada pandangan mata manusia.

Walaupun begitu, sihir mereka telah menyebabkan orang ramai takut, kerana mereka seolah-olah melihat ular yang banyak.

Dalam surah yang lain, ada disebut tentang Nabi Musa juga takut melihat kejadian itu.

Malah Allah sendiri yang kata mereka telah mempamerkan sihir yang hebat dan menakjubkan.

Maksudnya mereka bukan Tukang Sihir biasa-biasa, mereka adalah Tukang Sihir yang hebat dan ada kelas tersendiri.

Namun mukjizat itu tidak sama dengan sihir.

Tongkat Nabi Musa itu benar-benar menjadi seekor ular yang besar.

Lalu ular itu memakan semua ular-ular Tukang Sihir dengan cepat sekali.

Jadi, setelah mereka melihat mukjizat Nabi Musa, mereka terus tunduk dan sujud kepada Allah.

Ketika itu Raja Firaun pun memberikan amaran kepada mereka, “Kalau kamu terus beriman dengan Tuhan Musa, aku akan potong kaki dan tangan kamu secara bersilang dan selepas itu aku akan salibkan kamu.”

Daripada hendak memberikan tawaran dan jawatan yang lumayan kepada Tukang Sihir, tiba-tiba peluang itu ditarik balik, malah kaki dan tangan mereka akan dipotong dan nyawa mereka akan ditarik.

Adakah mereka takut dengan ugutan Raja Firaun?

Sesekali tidak.

Setelah diancam dan diugut oleh Raja Firaun, mereka pun jawab,

قَالُوٓاْ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا مُنقَلِبُونَ

Ahli-ahli sihir itu menjawab: “Sesungguhnya kepada Tuhanlah kami kembali.”

[Surah al-A’raaf 7: 125]

Kata Ustaz Abd Muein, inilah erti kemerdekaan yang sebenar, bebas daripada kehendak manusia, daripada tuntutan duniawi dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah subhanahu wa ta’ala walaupun sehingga tahap hilang nyawa.

Tukang Sihir jawab pada ayat yang seterusnya,

وَمَا تَنقِمُ مِنَّآ إِلَّآ أَنۡ ءَامَنَّا بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّنَا لَمَّا جَآءَتۡنَاۚ رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرٗا وَتَوَفَّنَا مُسۡلِمِينَ

“Dan kamu tidak menyalahkan kami, melainkan karena kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami.” (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (kepada-Mu).”

[Surah al-A’raaf 7: 126]

Kamu ini Raja Firaun, bukan marah dan berdendam kepada kami sebab kami ambil rasuah atau mengambil hak orang lain, tetapi semata-mata kerana kami telah mula merdeka.

Apakah merdeka yang dimaksudkan oleh Tukang Sihir?

hakimdarno - tukang sihir firaun yang merdeka 2

Iaitulah kami merdeka dengan ayat-ayat Tuhan kami, bergantung dan berserah kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Daripada pandangan mata kasar, mungkin mereka sudah hilang jawatan, hilang anggota badan, malah mereka hilang terus nyawa mereka, tetapi mereka menjadi orang yang benar-benar menghambakan diri kepada Allah.

Jadi, maksud merdeka yang lebih luas ialah bukan sekadar memiliki negara, harta ataupun pangkat, tetapi merdeka ialah memiliki hati yang menyerahkan sepenuhnya kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment