Ada hari yang saya akan hilang fokus.
“Argh … serabutnya!”
“Kenapa tak boleh nak fokus ni?”
“Tolonglah … aku kena siapkan artikel ni.”
Itulah antara dailog yang akan keluar di fikiran saya ketika saya tidak boleh fokus untuk menyiapkan kerja.
Sebenarnya bukan saya sahaja yang mengalami masalah ini.
Ramai di antara kita yang menghadapi masalah yang sama.
Tidak Boleh Fokus Adalah Satu Penyakit
Kata Dr. Umar Muhammad Noor di dalam bukunya Ikon Syabab 2, orang yang tidak boleh fokus ialah orang yang menghidap satu penyakit yang disebut sebagai attention deficit disorder akibat penggunaan gajet yang berlebihan hingga tahap ketagih.
Orang yang memiliki penyakit ini, sukar memberi tumpuan.
Mindanya tidak mampu kekal ketika memberi tumpuan dalam satu perkara untuk jangka masa yang lama.
Dia merasakan seolah-olah terdapat tarikan kuat untuk selalu memeriksa telefon pintarnya sepanjang masa – memeriksa emel, mesej yang masuk, whatsapp ataupun status Facebook.
Ini antara salah satu sebab di antara banyak sebab lain yang menyebabkan kita tidak boleh nak fokus.
Bukan Pelajar Sahaja Yang Ada Masalah Ini, Golongan Profesional Pun Ada

Menurut Daniel Goleman, seorang pakar psikologi dalam bukunya, Focus: The Hidden Driver of Excellence, ternyata penyakit mental ini bukan hanya menimpa golongan pelajar.
Penyakit mental ini turut menjadi isu besar yang dialami oleh ramai golongan profesional.
Seorang peguam mengaku memerlukan ubat tertentu untuk membantunya berkonsentrasi.
Tanpa ubat tersebut, dia tidak dapat membaca draf kontrak.
Keluhan yang sama turut dikongsikan oleh ramai golongan usahawan dan profesional.
- Jemput baca: Kenapa Saya Perlu Belajar?
Tip Fokus Daripada Ulama Hadis Abad Ke-7
Menurut Dr. Umar lagi, pada abad ke-7 Hijrah, terdapat seorang ahli hadis yang sangat terkemuka di Damsyik.
Beliau ialah Muhammad Bin Abdul Wahid al-Jama’ili.
Beliau lebih dikenali dengan gelaran Diya al-Maqdisi.
Ahli hadis ini sangat pakar dalam menilai hadis dan perawi.
Hafalannya sangat bagus dan hadis-hadis yang diriwayatkannya pun sangat banyak.
Ibnu Abdil Iz berkata, “Selepas Imam al-Daraqutni, tiada ahli hadis yang setanding Diya al-Maqdisi.”
Diya al-Maqdisi wafat pada tahun 643H.
Buku-buku karangannya sangat banyak.
Sebahagiannya kekal menjadi rujukan hingga hari ini.
Kejayaan Diya al-Maqdisi tidak lepas daripada bimbingan guru-gurunya.
Salah seorang daripadanya ialah Ibrahim bin Abdul Wahid al-Maqdisi.
Selama berada di Damsyik, Diya selalu menghadiri majlis gurunya untuk menimba ilmu beliau yang sangat luas.
Apabila hendak keluar negeri untuk mencari hadis, Diya meminta nasihat daripada beliau.
Ibrahim al-Maqdisi berpesan,
“Banyakkanlah membaca al-Quran. Jangan engkau tinggalkan al-Quran kerana ilmu yang akan engkau dapatkan adalah sebanyak ayat yang engkau baca.”
Diya berkata,
“Saya membuktikan ucapan ini berkali-kali. Setiap kali saya membaca al-Quran dengan banyak, semakin banyak hadis yang saya dengar dan saya tulis. Apabila saya tidak membaca al-Quran, tidak ada hadis yang saya dapatkan.”
[Ibnu Rajab, Dzail Thabaqat al-Hanabilah]
Wah menarik ya!
Baru saya tahu, kita kena kembali membaca al-Quran.
Walau sibuk macam mana pun aktiviti harian kita, jangan tinggalkan amalan membaca al-Quarn walau hanya beberapa ayat.
Dr. Umar memberikan nasihat lagi bahawa pada masa yang sama kawal penggunaan gajet secara bijak.
Jangan biarkan gajet menguasai minda dan kesedaran kita sehingga melemahkan tumpuan ketika belajar atau bekerja.
Jika ingin berinteraksi dengan ilmu, putuskanlah interaksi dengan gajet.
Tapi Kenapa Membaca Al-Quran Boleh Melatih Kita Fokus?

Kata Dr. Umar, al-Quran dan kita sepatutnya tidak boleh terpisah.
Membaca al-Quran mesti menjadi salah satu aktiviti rutin yang terdapat dalam diari harian kita.
Menurut para ulama, membaca al-Quran daripada mashaf lebih baik daripada membaca daripada hafalan kerana mashaf itu sendiri merupakan satu ibadah.
Jadi, apabila seseorang membaca al-Quran dengan memandang kepada mashaf, maka dia telah melakukan dua ibadah sekali gus.
Itulah pendapat al-Qadi Husein, al-Ghazali dan ramai ulama salaf yang lain.
Imam al-Ghazali turut bercerita, ramai dalam kalangan sahabat Nabi yang selalu membaca al-Quran daripada mashaf.
Mereka tidak suka membiarkan satu hari berlalu tanpa memandang mashaf al-Quran.
Membaca al-Quran daripada mashaf memberi kita banyak manfaat.
Terutama apabila kita membaca dengan mempraktikkan hukum-hakam tajwidnya dan mentadabbur maknanya.
Salah satu manfaat yang lain ialah kemampuan untuk berkonsentrasi.
Jadi, membaca al-Quran adalah salah satu cara untuk memulihara kemampuan dalam memberi fokus dan tumpuan.
Alhamdulillah saya pun dah cuba tip ini, memang berkesan.
Bangun, berilah peringatan!
Jangan lupa kongsikan pengalaman anda di ruang komen bila melakukan tip ini!
Saya tunggu.