fbpx

Tidak Yakin Dengan Janji Allah

Mengapa manusia tidak yakin dengan janji Allah?

Kata Ustaz Abd Muein, kerana kita semua menghadapi krisis keyakinan terhadap janji Allah subhanahu wa ta’ala.

Puncanya ialah kita tidak nampak apa yang Allah janjikan.

Kalau kita bekerja, kita dapat duit.

Duit itu nampak di depan mata kita.

Tapi bila kita buat kebaikan, Allah janji untuk berikan pahala.

Tetapi yang menjadi masalah ialah kita tidak nampak pahala itu.

Kita akan nampak pahala setelah kita mati nanti.

Pada masa itu, barulah kita nampak nilai pahala itu sama dengan nilai duit yang kita guna pada hari ini.

Kalau hari ini kita anggap tidak ada duit, susah nak hidup.

Begitulah di akhirat nanti, tidak ada pahala lagilah susah kehidupan kita.

Sekaligus kita boleh simpulkan di sini ialah kerja untuk mendapatkan pahala lebih utama berbanding dengan kerja untuk mendapat duit.

Sebab apa?

Sebab duit yang kita cari, hanya untuk kehidupan yang sementara sahaja iaitu 63 tahun (secara umumnya).

Berbeza dengan pahala, kita perlukan bekalan pahala yang banyak kerana kita akan menjalani kehidupan di akhirat nanti bukan 100, 1000, 10000, 100000 tahun, tetapi kehidupan yang kekal abadi.

Kalau di dunia, walaupun kita tidak ada duit, masih ada orang lain yang boleh membantu kita, contohnya kawan-kawan, saudara-mara, jiran ataupun pertubuhan kebajikan.

Tetapi di akhirat nanti, duit, harta, anak-anak, saudara mara tidak ada nilai kecuali pahala.

Sebab itulah pentingnya untuk kita mencari pahala sendiri.

Kebaikan Yang Kita Lakukan Bukan Untuk Orang Lain, Tetapi Untuk Kita

hakimdarno - tidak yakin dengan janji Allah 1

Kata ustaz lagi, sebenarnya kebaikan yang kita lakukan bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri kita sendiri.

Kata Allah di dalam Surah al-Israa’ 17:7,

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu.

Dalam ayat ini, Allah beritahu bahawa bila kita buat baik, jangan rasa kebaikan yang kita buat itu adalah untuk orang lain, tetapi untuk diri kita.

Bila kita rasa buat untuk orang lain, kita akan rasa tidak semangat dan tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kebaikan yang telah kita mulakan.

Jadi, tukar pemikiran kita bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri.

Ustaz berikan contoh situasi kami yang sedang menyalin rakaman video kuliah tadabbur Ustaz Abd Muein untuk dijadikan buku.

Bila kita buat tugasan menyalin ini, jangan kita anggap kita lakukan untuk Ustaz Abd Muein, untuk Ghulam al-Dakwah atau untuk sesiapa sahaja.

Tetapi untuk diri kita sendiri.

Semakin banyak yang kita salin, semakin ramai yang akan membaca buku ini dan semakin banyak akaun kita di akhirat nanti.

Bila kita salin rakaman video ini, akhirnya rakaman tersebut akan menjadi sebuah buku.

Dan buku ini akan dimanfaatkan oleh orang lain.

Semakin ramai orang dapat membaca buku ini, semakin ramailah yang akan faham tentang tadabbur al-Quran.

Jadi, kita sebagai orang yang berada di barisan hadapan ini, akan mendapat pahala yang paling banyak kerana kita menjadi pencetus lahirnya buku ini. Kalau tidak ada orang yang menyalin, tidak akan keluar buku.

Ustaz berikan gambaran kepada kami, bayangkan apa yang kita salin selama berjam-jam, berhari-hari dan berbulan-bulan, akhirnya dapat dibaca oleh orang ramai.

Kemudian, mereka baca buku itu pula, bukan setakat setahun, mungkin berpuluh-puluh tahun buku itu akan dimanfaatkan.

Pada masa itu, kita yang mungkin sudah berada di dalam kubur akan mendapat pahala yang berterusan.

Jemput baca:

Abu Hurairah Adalah Penyalin Hadis

Nabi Yang Paling Banyak

hakimdarno - tidak yakin dengan janji Allah 2

Lihat contoh Abu Hurairah radhiyallahu anh.

Beliau seorang yang miskin dan tidak ada harta.

Dan beliau sempat bersama Nabi Muhammad salla Allah alaih wasallam selama 4 tahun sahaja.

Namun, beliaulah antara sahabat yang paling banyak mendapat pahala yang mengalir dan berterusan.

Sebab apa?

Adakah beliau menulis buku? Tidak.

Adakah beliau ulama? Tidak.

Tapi sebab beliau salin hadis Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam.

Beliaulah penyalin hadis Nabi yang paling banyak.

Iaitu sebanyak 5 ribu hadis lebih (mohon betulkan kalau salah).

Sehingga ke hari ini, ramai yang mendapat ilmu Nabi berpunca daripada Abu Hurairah.

Jadi, kadang-kadang perkara yang macam ini kita tidak nampak.

Contoh kita kata:

“Alah bukan dapat duit pun.”

“Bukan bertambah kaya pun dan bukan bertambah sihat pun.”

Ini adalah cara pemikiran orang yang tidak beriman dengan benda ghaib ataupun dengan Hari Akhirat.

Sebab itu Nabi sebut dalam satu hadis,

Dari ‘Adi bin Hatim radhiyallahu anh kata bahawa Rasulullah salla Allah alaih wa sallam bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera).

[Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV]

Kata ustaz, kadang-kadang kita derma, infaq atau ambik sebiji kurma bahagi dua (bukan sebiji), boleh menyelamatkan kita daripada neraka.

hakimdarno - tidak yakin dengan janji Allah 3

Itu baru sepotong atau secebis kurma.

Apatah lagi kalau kita buat kebaikan yang lebih besar daripada itu.

Ustaz mengakhiri kata-kata semangat dengan satu hadis yang biasa kita dengar tapi biasa lupa iaitu bila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga sahaja.

Kadang-kadang anak kita tidak soleh untuk mendoakan kita.

Kadang-kadang kita tak ada harta nak buat sedekah jariah, tinggal satu sahaja peluang iaitu ilmu yang bermanfaat.

Kita tidak ada ilmu, tapi dengan sebab kita membuat tugasan menyalin ini, orang lain dapat ilmu tadabbur al-Quran. Maka itu dikira sebagai ilmu yang bermanfaat.

Terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Abd Muein yang membuka peluang ini kepada kami semua.

Leave a Comment