fbpx

Tidak Sebarkan Ilmu Adalah Satu Jenayah

Tidak tahulah sama ada sesuai atau tidak menggunakan perkataan jenayah.

Apa maksud jenayah?

Jenayah adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

Ada jenayah yang berat dan ada jenayah yang ringan.

Jadi, tidak sebarkan ilmu ini termasuk jenayah berat atau ringan?

Kalau nak tahu, jom kita teruskan bacaan.

Sebelum kita bercerita tentang ayat yang dimaksudkan, saya mahu kongsi perumpamaan yang diberikan oleh Ustaz Abd Muein.

Kesan Menyembunyikan Ilmu

hakimdarno - tidak sebarkan ilmu adalah satu jenayah 1

Katakanlah Pakcik Mail ini ada penyakit kencing manis.

Dia pun pergi berjumpa doktor.

Lepas jumpa doktor, doktor kata yang dia tidak ada apa-apa penyakit.

Doktor hanya bagi ubat panadol sahaja.

Kali pertama datang, bagi panadol.

Kali kedua datang, pun bagi panadol.

Tidak lama kemudian, Pakcik Mail pun meninggal dunia.

Puncanya sebab apa?

Sebab doktor tidak beritahu tentang ilmu kedoktoran (kebenaran) yang dia ada, akhirnya membawa kepada kematian.

Maksudnya apabila kita menyembunyikan ilmu, kesan dia bukan biasa-biasa, tetapi boleh membawa maut.

Itu adalah contoh kesan menyembunyikan ilmu dari segi fizikal.

Bagaimana pula kesan menyembunyikan ilmu dari segi rohani?

Kalau kita sembunyikan ilmu kebenaran (agama), orang itu bukan mati secara fizikal, tetapi mati dari segi rohaninya – hatinya mati.

Bila hatinya mati, menyebabkan dia banyak melakukan dosa.

Bila banyak dosa, dia akan masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Sekali lagi, apabila kita menyembunyikan ilmu, kesannya bukan biasa-biasa, tetapi boleh bawa ke neraka.

Jadi, sembunyikan ilmu adalah satu jenayah yang sangat besar.

Jemput baca:

Tadabbur Ayat 175 Surah al-Baqarah

Allah buat perumpamaan orang yang menyembunyikan ilmu di dalam al-Quran.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

أُولٰٓئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدٰى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ  ۚ فَمَآ أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

[Surah al-Baqarah 2: 175]

Maksudnya siapa yang menyembunyikan ilmu, mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan.

Asalnya ayat ini turun kepada Orang Yahudi, tapi pengajarannya untuk kita semua.

Tadabbur perkataan الضَّلٰلَةَ

أُولٰٓئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدٰى وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ  ۚ فَمَآ أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Ada 3 isi penting yang kita boleh keluarkan daripada sini:

hakimdarno - tidak sebarkan ilmu adalah satu jenayah 2

1. Membeli kesesatan (اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ) dengan (بِالْهُدٰى).

Maksudnya ialah kesan kita menyembunyikan ilmu, kita akan sesat.

Macam mana dengan menyembunyikan ilmu kita akan sesat?

Seperti mana dua contoh yang telah saya berikan di atas.

Jadi, bagaimana kita nak keluar daripada kesesatan ini?

Kita kena menyebarkan ilmu.

Bila kita menyebarkan ilmu, kita akan mendapat hidayat (بِالْهُدٰى).  

Sesiapa yang nak dapat hidayat, kena menyebarkan ilmu.

2. Membeli kesesatan (اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ) dengan (وَالْعَذَابَ).

Maksudnya ialah kalau kita menyembunyikan ilmu, kita akan mendapat azab Allah.

Dan ayat sebelum ini (174 Surah al-Baqarah), Allah kata (وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ) – dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Jadi, menyembunyikan ilmu ini bukan perkara main-main.

Tanpa disedari, kita sebenarnya sedang menempah azab Allah.

Setiap sen yang kita gunakan hasil menyembunyikan ilmu, akan bertukar menjadi api.

3. Membeli kesesatan (اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ) dengan (بِالْمَغْفِرَةِ).

Subhanallah!

Ini berita gembira buat kita.

Kenapa?

Sebab siapa yang menyebarkan ilmu, dia akan mendapat keampunan Allah.

Contoh, kita mengajar alif, ba, ta.

Kita akan mendapat keampunan Allah.

Kadang-kadang ada orang  yang solat sunat taubat setiap malam, belajar agama setiap hari, tetapi apabila dia tidak menyampaikan ilmu, dia tidak akan mendapat keampunan Allah.

Apabila  dia tidak menyampaikan ilmu, dia telah melakukan dosa yang besar.

Jadi solat sunat taubat dan belajar agamanya setiap hari tidak ke mana kerana tidak mendapat keampunan Allah.

Di sini kita belajar bahawa salah satu cara untuk mendapat keampunan Allah dengan kita menyebarkan ilmu.

Sematkan di dalam kepala kita, kenapa kita nak sebarkan ilmu?

Bukan nak dapat follower, bukan nak jual produk tetapi sebab kita nak dapat hidayat, nak elak azab dan mendapat keampunan Allah subhanahu wa ta’ala.

Bangun, berilah peringatan!

2 thoughts on “Tidak Sebarkan Ilmu Adalah Satu Jenayah”

Leave a Comment