“Ustaz, semalam saya tertidur sampai tertinggal Solat Zuhur. Dah masuk waktu Asar baru saya tersedar. Jadi, saya nak qada Solat Zuhur atau Solat Asar dulu?”
Dahulu masa zaman sekolah, selalu saya hadapi situasi ini.
Saya cuba ingat balik apa yang saya buat pada masa tu.
Kalau tak silap saya, saya akan Solat Asar dahulu, kemudian barulah Solat Zuhur.
Jadi, masa itu saya main rasa-rasa je.
Kali ini, mari kita tengok jawapannya berdasarkan dalil.
Saya petik daripada buku Persoalan Dalam Solat Jilid 1 karangan Ustaz Mohd Dzul Khairi Mohd Noor.
2 Pendapat Ulama Tentang Qada Solat
1. Kebanyakan ulama seperti dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengatakan, “Wajib qada solat menurut tertib solat”.
2. Imam al-Shafi’i pula berpendapat tidak wajib mengikut tertib seperti puasa. Namun, harus kita fahami bahawa apabila Imam Shafi’i menyatakan “Tidak wajib”, bukanlah bermakna beliau menyokong dikerjakan Solat Asar dahulu sebelum zuhur.
Hukum qada menurut tertib ialah sunat menurut Imam al-Shafi’i.
Al-Shirazi, ulama Mazhab al-Shafi’i berkata, “Sekiranya seseorang itu terlepas solat, maka disukai untuk menggantikannya menurut tertib.
Sebab menurut beliau, Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam pernah terlepas 4 solat dalam perang Khandaq, lalu Baginda menggantikannya mengikut tertib.
Sekiranya Baginda menggantikannya tidak mengikut tertib, hukumnya harus kerana tertib berdasarkan waktu, lalu kewajipannya gugur dengan terlepasnya waktu, sebagaimana qada puasa.
Menurut Imam al-Nawawi, “Menurut mazhab kami, tidak wajib mengikut tertib namun disukai”.
Ini bermakna, meskipun tidak wajib, namun ia disukai.
Bagi Hanafi dan Maliki, tidak wajib mengikut tertib sekiranya solat yang tertinggal itu banyak.
Meskipun jumhur mewajibkannya, tetapi ada pengecualian:
Kes Pertama – Orang yang terlupa.
Contoh: Anas terlupa mengerjakan Solat Zuhur.
Dia hanya teringat setelah atau semasa dia mengerjakan Solat Asar.
Maka dia bolehlah mengerjakan Solat Zuhur selepas itu tanpa perlu mengulangi semula Solat Asar.
Kes Kedua – Tidak tahu hukum hakam.
Diberikan kemaafan dengan syarat dia sentiasa berusaha menambahkan ilmu.
Kes Ketiga – Bimbang Solat Maghrib akan terlepas.
Contoh: Anas terlalu kepenatan.
Dia tertidur pada jam 5 petang sebelum mengerjakan Solat Asar.
Dia tersedar pada jam 8.10 malam.
Sudah pasti dia perlu membersihkan diri terlebih dahulu sebelum solat beberapa minit.
Jika dia qada Solat Asar dahulu, ada kemungkinan dia akan terlepas Solat Maghrib.
Bermakna, dia telah qada dua solat.
Solat Asar pada waktu Maghrib dan Solat Maghrib pada waktu Isyak.
Ini bukan satu perkara yang baik.
Sehubungan itu, Anas perlu Solat Maghrib terlebih dahulu.
Sekiranya ada masa, dia terus mengerjakan Solat Asar.
Jika tidak sempat, dia perlu qada Solat Asar terlebih dahulu sebelum Solat Isyak.
Kes Keempat – Jika bimbang terlepas jemaah.
Berbalik pada contoh sebelum ini.
Selepas Anas mengerjakan Solat Maghrib, azan Isyak berkumandang.
Anas terus bergegas ke masjid atau surau untuk solat di sana.
Sebaik-baiknya dia qada solat Asar antara azan dengan iqamah Isyak.
Namun pada hari tersebut, pihak surau terus iqamah selepas azan.
Jika Anas Solat Asar, dia akan terlepas jemaah yang sedang Solat Isyak.
Maka, Anas perlu menunaikan Solat Isyak berjemaah terlebih dahulu, kemudian barulah qada Solat Asar.
Dalam bab ini, Ibn ‘Uthaymin memberikan cadangan langkah yang lain iaitu Anas mengerjakan Solat Isyak bersama imam dengan niat Solat Asar.
Tidak mengapa berbeza niat dengan imam.
Selepas itu, bolehlah Anas mengerjakan Solat Isyak bersama dengan mana-mana orang yang masbuq atau mana-mana orang yang Solat Ba’diyah Isyak.
Jemput baca tulisan lain Ustaz Dzul Khairi: Kesilapan Dalam Menyebutkan Perkataan Jazakallah
Rumusan
Kita perlu solat mengikut tertib.
Namun dalam masa yang sama, kita boleh menggunakan keluasan yang ada menurut Mazhab Shafi’i dan sebahagian ulama lain.
Alhamdulillah lega rasanya dapat jawapan berpandukan ilmu dan bukan rasa-rasa.
Walaupun kita yang dah dewasa ini kemungkinan untuk qada itu rendah, tapi kita boleh sebarkan panduan ini untuk orang lain terutamanya kepada anak-anak kita bila dah besar nanti, sebab ada kemungkinan mereka juga akan menghadapi situasi seperti ini.
Macam saya kecik-kecik dahulu.
Bangun, berilah peringatan!