fbpx

Di Manakah Tempat Yang Paling Aman?

Pada pendapat anda, di manakah tempat yang paling aman?

New Zealand?

United Kingdom?

Balkan?

Turki?

Korea?

Jepun?

Rumah Anda?

Kampung Anda?

Sila jawab dengan jujur.

Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi menjawab persoalan saya.

Jawapan anda mungkin betul dan mungkin salah kerana definisi aman itu berbeza-beza mengikut selera kita.

Cuma saya nak kongsikan tempat yang paling aman menurut al-Quran.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَهَٰذَا ٱلْبَلَدِ ٱلْأَمِينِ

Serta negeri (Makkah) yang aman ini.

[Surah at-Tiin 95:3]

Menurut Ustaz Abd Muein, ulama sepakat mengatakan negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Mekah.

Dan Allah kata negeri ini aman.

Kalau kita perhatikan, Mekah ini sebuah padang pasir yang luas, kering-kontang, tidak ada apa apa tumbuhan dan penuh dengan gunung-ganang.

Jadi, mengapa Allah kata negeri ini aman?

Bukankah aman itu banyak tumbuh-tumbuhan yang menjalar hijau, bunyi sungai yang mengalir dan air terjun yang menjadi tempat anak-anak kecil bermandi-manda?

Malah di dalam ayat ini, Allah bukan hanya buat kenyataan semata-mata.

Tetapi Allah bersumpah!

Manusia bersumpah pun kita percaya, inikan pula Allah?

Lagilah percaya kerana Allah tidak akan bersumpah kecuali perkara itu besar dan penting.

Jadi Mekah ini, walaupun pada asalnya tidak ada nilai, hanya padang pasir, kering kontang, tidak ada tumbuhan dan tidak ada apa-apa pun, tapi akhirnya menjadi tempat yang paling aman dan tempat yang paling Allah dan Nabi cinta.

Persoalannya kenapa?

hakimdarno - di manakah tempat yang paling aman 1

Adakah disebabkan ada Kaabah?

Mungkinlah.

Tapi kalau begitu, kenapa Abu Jahal, Abu Lahab dan kuncu-kuncunya tidak rasa aman?

Bukankah mereka juga berada di Mekah dan sudah tentu setiap hari mereka melihat Kaabah.

Sebab Utama Mekah Adalah Tempat Yang Paling Aman

Jawapannya ialah kerana di sinilah lahirnya seorang Nabi yang paling hebat, Nabi akhir zaman dan penutup kepada para Nabi.

Tidak cukup setakat itu, di sinilah juga tempat turunnya wahyu atau mukjizat Allah yang paling agung iaitu al-Quran.

Menurut ustaz, pengajaran yang boleh kita ambil di sini ialah Allah nak beritahu kepada kita bahawa yang menjadikan kita tenang, aman dan selamat itu sebenarnya bukan tempat tetapi berkait rapat hubungan kita dengan Allah subhanahu wa ta’ala.

Kalau hubungan kita dengan Allah baik, duduklah di dalam gua ke, padang pasir ke atau di mana sahaja tetap akan aman.

Sebab itulah Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam, walaupun duduk di rumah yang kecil, dan hanya berbumbungkan pelepah tamar, Nabi tetap mampu bangun solat malam sehingga kakinya bengkak.

Subhanallah!

Nabi juga mampu bertahan, berdakwah selama 13 tahun di Mekah walaupun tidak ada kemudahan, walaupun dimaki dan dicaci, sebab jiwa Nabi tenang.

Nabi mampu berjalan kaki ke Taif yang jauhnya 100 kilometer, ditambah pula dengan cuaca yang panas, tup tup bila sampai di sana Nabi dibaling batu.

Tetapi Nabi tetap tenang kerana hubungannya dengan Allah.

hakimdarno - di manakah tempat yang paling aman 2

Contoh lain seperti Hajar yang tinggal di Mekah berbelas-belas tahun dengan bayi yang masih kecil, tanpa pokok dan sungai, tetapi dia masih boleh tenang sebab hubungannya dengan Allah.

Nabi Yunus alaihissalam yang duduk di dalam perut ikan pun, masih boleh bertenang dan berzikir kerana hubungannya dengan Allah.

Jemput baca:

Nabi Yusuf alaihissalam juga pernah berkata,

“Penjara yang sempit sekangkang kera itu lebih aku cinta daripada duduk di luar dalam keadaan derhaka dan melakukan maksiat”.

Ashabul Kahfi pun boleh tidur nyenyak selama 309 tahun, sebab apa?

Sebab hubungan yang erat dengan Allah subhanahu wa ta’ala walaupun mereka berada di dalam gua, tidak ada kipas, air cond, tilam, peti ais, tandas dan sebarang kemudahan lain.

Jadi Allah nak beritahu bahawa Mekah ini menjadi aman sebab apa?

Sebab tempat ini adalah tempat turunnya wahyu, dan siapa sahaja yang mengikut wahyu dia akan aman walaupun dia tidak pernah pergi ke Mekah.

Jadi tenang bukan bergantung pada tempat, rumah ataupun apa sahaja kemudahan, ketenangan bergantung setakat mana hubungan kita dengan Allah.

Berapa ramai yang pergi ke Mekah, sampai di sana tidak aman.

Bergaduh sahaja.  

Merungut cuaca panas, makan lambat, ramai orang di masjid menjadikan jiwanya dia tidak tenang.

Begitu juga sebaliknya, berapa ramai yang tidak pernah pergi ke Mekah, tetapi jiwanya tenang.

Sebab apa?

Sebab dia beriman kepada Allah.

Oleh itu, pengajaran yang paling besar untuk kita ialah kalau nak aman, jangan cari tempat.

Contohnya bila stres dengan masalah kerja, keluarga dan sebagainya, tidak perlu pergi ke pantai, tetapi pergilah cari Allah.

Carilah al-Quran walaupun kita tinggal di dalam bilik yang sempit insha-Allah, Allah akan berikan keamanan kepada kita.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment