fbpx

Pentingnya Tanggungjawab Bapa Terhadap Anak

Kenapa tanggungjawab bapa terhadap anak begitu penting?

Kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, beliau mula menulis buku terbarunya Diari Abah setelah dijemput oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Singapura lebih kurang 10 tahun yang lalu bagi mengadakan program bertemakan kebapaan. 

Pada masa itu, dapatan kajian di Singapura menunjukkan punca berlakunya masalah sosial, masalah akademik dan masalah keluarga adalah disebabkan kurangnya pembabitan seorang bapa dalam tumbesaran anak.

Isi Kandungan

    Kisah Teladan

    hakimdarno - pentingnya tanggungjawab bapa terhadap anak 1

    Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.

    Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata,

    “Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

    Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu.

    Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula,

    “Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”

    Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya.

    Kemudian orang ramai pula berkata lagi,

    “Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu.”

    Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,

    “Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

    Dalam perjalanan pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,

    “Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah subhanahu wata’ala sahaja. Barang siapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”

    Kemudian Luqman Hakim pesan lagi kepada anaknya.

    Katanya,

    “Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdaya orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.”

    Sumber: Wasiat Luqman al-Hakim. Ahmad Hasan Mohd. Nazam.

    Peranan Bapa

    hakimdarno - pentingnya tanggungjawab bapa terhadap anak 2

    Saya kaitkan dengan nota yang saya dapat daripada Ustaz Abd Muein dalam mensyarahkan Surah Luqman.

    Menurut ustaz, bagi melahirkan manusia yang baik, anak yang soleh dan masyarakat  yang bertakwa berpandukan Surah Luqman ialah bapa kena bertanggungjawab.

    Luqman adalah seorang bapa.

    Jadi bapa perlu mengambil peranan.

    Bapa perlu mendidik anaknya sendiri.

    Cuba kita perhatikan diri dan orang yang berdekatan kita, berapa ramai bapa yang lepas tangan?

    Berapa ramai bapa yang menyerahkan urusan anak-anak kepada ibu?

    Anak sakit, ibu.

    Anak bermasalah, ibu.

    Nak susu, pastilah ibu.

    Nak makan, ibu.

    Nak belajar ngaji, ibu.

    Semuanya ibu.

    Ini tidak betul sebab Allah beritahu bahawa Luqman sendiri yang mendidik anaknya.

    Ataupun kalau bergandingan antara ibu dan bapa lebih bagus.

    Sebab apa?

    Sebab anak-anak mudah terikut dengan perbuatan ibu bapa.

    Hari ini kita sering menyalahkan anak-anak zaman sekarang degil.

    Sedangkan anak-anak mencontohi perangai ibu bapa.

    Siapa yang terlebih dahulu degil sebenarnya?

    Contoh tauladan daripada ibu bapa kepada anak-anak umpama pegangan akidah. Anak-anak akan mengikut secara automatik.

    Apabila anak-anak ini diperintahkan, “Berimanlah apa yang Allah turunkan.”

    Mereka akan jawab, “Kami buat apa  yang ibu bapa kami buat.”

    Sebab itulah ibu bapa kena main peranan yang penting.

    Pandu anak ke jalan yang betul dan ikut sunnah yang betul sebab anak-anak sangat mudah terikut dengan ibu bapa.

    hakimdarno - pentingnya tanggungjawab bapa terhadap anak 3

    Watak Penting Dalam Hidup Anak-anak

    Bahkan Nabi sebut dalam satu hadis,

    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

    Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi.

    [Hadis riwayat Bukhari 1385]

    Siapa yang akan membentuk atau mengubah anak anak?

    Saudara, jiran, cikgu?

    Bukan, tetapi ibu dan bapanya.

    Nabi kata ibu bapalah yang akan menjadikan anaknya majusi, nasrani ataupun yahudi.

    Dan Allah juga perintahkan di dalam al-Quran, Allah perintah pada siapa supaya jaga anak-anak daripada api neraka?

    Allah perintah cikgu? Pemimpin? Tok guru?

    Semua bukan.

    Allah perintahkan ibu bapa.

    Peliharalah Ahli Keluarga Kamu!

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

    Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

    [Surah at-Tahrim 66: 6]

    Jadi ibu bapa yang paling tidak bertanggungjawab dan yang paling khianat amanah yang Allah berikan ialah ibu bapa yang menyerahkan anaknya di sekolah seratus peratus.

    Inilah ibu bapa yang paling tidak amanah dan paling khianat.

    Tanggungjawab ibu bapa adalah menjaga anak daripada api neraka.

    Tetapi ibu bapa hantar anak ke sekolah.

    Bukan salah hantar anak ke sekolah, yang salah ialah bila ibu bapa menyerahkan urusan pendidikan anak pada sekolah seratus peratus.

    Sedangkan ibu bapa tidak ambil tahu langsung tentang anaknya.

    Kata Ibnu Abbas,

    “Beramalah dengan mentaati Allah, dan bertakwalah dengan meninggalkan larangan Allah, dan suruhlah ahli keluarga kamu, berzikir mengingati Allah.”

    “Suruhlah ahli keluarga kamu.” Ha, itu tanggungjawab ibu bapa.

    Maka kata Ibnu Abbas,

    “Kalau kamu buat tiga perkara itu, suruh anak kamu taat kepada Allah, tinggalkan larangan-Nya dan suruh anak kamu sentiasa berzikir kepada Allah, maka Allah akan selamatkan anak kamu daripada neraka”.

    Cuba lihat fahaman sahabat Nabi, matlamat utama mereka mendidik anak bukan untuk kerja, bukan untuk jawatan besar atau bukan setakat nak selamat hidup di dunia, tetapi nak selamat daripada api neraka Allah.

    Kalau Singapura dah tahu 10 tahun lalu tentang isu bapa, al-Quran terlebih tahu semenjak 1400 tahun dahulu.

    Ayuh kaum bapa sekalian, luaskan kuasamu!

    Leave a Comment