fbpx

Menulis Adalah Satu Hiburan ~ Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar

Saya menulis kerana mahu beribadah melalui medsos, kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam salah satu hantarannya di Facebook baru-baru ini.

Tidak ada alasan lagi untuk kita tidak menulis, berhenti menulis ataupun putus asa dalam menulis.

Sebab apa?

Sebab ada orang yang berkali-kali ganda sibuk daripada kita mampu menulis sebuah buku dalam tempoh dua ke tiga bulan, sedangkan kita yang hanya memegang dua tiga jawatan sahaja tidak mampu menulis walaupun satu buku dalam tempoh setahun.

“Ini sungguh memalukan!” hati saya menjerit geram.

Isi Kandungan

    Bayangkan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang mempunyai tanggungjawab terhadap 70 organisasi di seluruh dunia termasuk Malaysia, mampu menulis buku dengan banyak sekali.

    Setakat yang saya tahu, beliau telah menulis lebih kurang 32 buah buku pelbagai genre.

    Jadi, apakah rahsia beliau?

    Menulis Hiburan Hati

    Kata beliau, menulis buku merupakan satu bentuk hiburan hati, menyembuhkan kepenatan, kelesuan dan membunuh kemalasan.

    Waktu malam selepas pulang daripada mesyuarat, beliau akan masuk pejabat untuk melihat sekejap manuskrip ataupun menulis dalam 100 ke 200 patah perkataan.

    Aktiviti ini menjadi hiburan malam beliau kerana mampu menjadikan dirinya segar semula setelah penat bekerja seharian.

    Malah kata beliau, kalau ikutkan hati, beliau boleh menulis lagi dalam tempoh satu ke dua jam lagi.

    Fuh, sungguh dahsyat semangat Tan Sri!

    Jadi kata beliau, menulis ini adalah satu ubat penyembuh kepada penyakit kelesuan, kemalasan, keletihan dan sebagainya.

    Dalam bahasa Inggeris disebut healing, manakala dalam bahasa Arab pula disebut syifaun.

    Sebab itu kalau kita dah biasa menulis, kita akan kata, “Tak ada hal punya”.

    Ada masa lapang sahaja, kita akan ambil peluang untuk menulis walaupun badan kita letih travel daripada Malaysia sampai ke London.

    Sementara menunggu mesyuarat, nak tidur, menunggu kapal terbang sama ada nak pergi atau nak balik, kita tulis buku atau baca manuskrip terlebih dahulu.

    Ini menjadikan kita rasa tidak sabar-sabar untuk menulis sekiranya ada masa.

    Malah kita juga akan menjadi orang baru, iaitu orang yang tidak ada keluhan.

    Kalau ada pengumuman bahawa penerbangan ditangguhkan sahaja, kita akan jawab okey sebab ada masa untuk menulis.

    Jadi menyebabkan penulisan ini menjadi sahabat yang menemani kita di mana sahaja dan bila-bila masa.

    Kata beliau lagi, secara tidak langsung masa juga menjadi kawan, sahabat dan tawanan kita.

    Kita boleh kawal dan susun masa di mana-mana sahaja dan bila-bila masa.

    Ketika sibuk menguruskan lebih kurang 70 buah organisasi, dua perkara yang saya suka buat iaitu main bola dan menulis. Main bola untuk kesihatan badan, tulis buku untuk kesihatan akal fikiran.

    ~Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

    Menulis Menjadikan Ucapan Kita Menarik

    hakimdarno - Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar 2

    Selain itu juga, beliau kongsikan bahawa menulis buku melatih kita untuk mempunyai gaya bahasa yang menarik, bercakap atau berucap dengan lebih menarik.

    Allah tidak berhenti-henti mengalirkan idea ke dalam akal fikiran kita.

    Idea kita menjadi lebih cair dan fasih.

    Sebab itu, kesukaran menulis buku itu pada buku yang pertama sahaja.

    Bila kita berjaya menulis buku yang pertama, lepas itu  idea mengalir macam air.

    Ketika beliau menulis buku Syariah Mind, pada masa yang sama beliau juga menulis buku 25 jam sehari.

    Lepas itu beliau kembangkan satu bab daripada situ untuk menulis pula buku Maqasid Syariah dan Emirates Airline Sukuk serentak.

    Maksudnya lepas buku pertama, setiap tiga bulan beliau akan keluar satu buku sebab dah ada konsistensi.

    Menjadi Orang Yang Multitasking

    hakimdarno - Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar 3

    Satu perkara lagi yang beliau ingatkan ialah kita kena jadi orang yang multitasking.

    Kita diajar oleh masyarakat Melayu supaya buat kerja satu demi satu dan jangan ada angan-angan.

    Jadi, kita kena ubah.

    Angan-angan biar beribu, impian biar beratus-ratus, kerja biar multitasking, perwatakan kita biar lebih daripada satu watak – watak bapa, ibu, suami, isteri, sahabat, ngo, masjid, aktivis dan sebagainya.

    Itulah perwatakan orang Islam sebenarnya.

    Bukan satu wajah, bukan satu pakaian, bukan satu suara, tetapi pelbagai wajah, watak dan suara kita dalam masyarakat.

    Pengalaman Menulis Novel Pertama

    Pada pandangan kita, mungkin kita rasa berat nak menulis tapi yakin dan percayalah bahawa kita semua boleh menulis.

    Dengan syarat kita kena banyak membaca.

    Kata beliau, PKP yang melanda kita suatu masa dahulu merupakan satu rahmat.

    Kerana beliau dapat membaca banyak novel untuk melatih dirinya.

    Beliau tidak pernah menulis novel, jadi beliau telah menghubungi akauntan beliau yang merupakan penggemar novel.

    “Lin, boleh tak kurierkan buku novel-novel yang Lin ada untuk saya baca?”

    Lin jawab, “Dr nak buat apa?”

    “Saya nak baca novel. Nak faham cara tulis novel”.

    Selepas itu setiap hari ada sahaja kurier yang datang menghantar novel kepadanya.

    Beliau pun baca bertubi-tubi sehingga akhirnya, “I think I can write a novel”.

    Beliau pun tulis novel pertama iaitu Covid 25, kemudian serahkan kepada Abong yang merupakan staf beliau.

    Abong tolak buku beliau sebab keraih (keras) sangat katanya.

    Tidak ada sastera dan bunga langsung.

    Beliau hantar pula kepada Ezlyn (akauntan beliau), “Tak ada standartlah bos”.

    Mendengar staf-staf beliau berkata begitu, beliau tidak marah.

    Beliau sahut cabaran untuk tulis dan ubah lagi, longgarkan dan bungakan bahasa.

    Siap versi yang kedua, barulah on the right track.

    Jadi dengan terhasilnya novel pertama ini memberikan kekuatan kepada beliau untuk tulis banyak lagi novel dan alhamdulillah hari ini beliau boleh menulis daripada novel fiksyen kepada novel al-Quranul karim.

    Jadi begitulah dalam hidup kita, kena ada peningkatan.

    Kata beliau di hujung-hujung perkongsian, kalau kita ada mindset yang betul bahawa masa itu sahabat kita, kita boleh buat apa sahaja.

    Contohnya ketika kita memasak ataupun gosok pakaian, kita boleh berfikir.

    Kita kena buat tiga ke empat kerja dalam satu masa.

    Ketika di dalam kereta, kita boleh baca email, balas sms dan boleh ambil tindakan dalam perjalanan.

    Inilah perwatakan yang perlu kita bawa dalam kehidupan kita.

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment