Alhamdulillah pagi ini bermulanya saya dan sembilan orang sahabat yang lain, memulakan perjalanan membaca, memahami dan mendalami Kitab Lubab al-Tafsir Min Ibn Katsir edisi Telaga Biru yang dibimbing oleh Ustaz Hazizi Abd Rahman.
Bagaimana saya boleh menyertai kelas ini?
Saya kenal Ustaz Hazizi daripada Facebook.
Terbaca hantaran-hantaran ustaz tentang isu semasa yang membuka fikiran saya.
Jadi saya pun terus mintak add friends dengan ustaz dan alhamdulillah ustaz accept.
Semenjak itulah saya follow penulisan ustaz.
Kemudian beberapa hari lepas, rezeki saya ternampak posting ustaz membuka kelas tafsir, saya pun apa lagi, cepat-cepat daftar dan alhamdulillah masih ada tempat.
Begitulah kisahnya dan pagi ini saya dapat berjumpa dengan sahabat-sahabat baru yang sama-sama ingin mendalami al-Quran.
Antaranya Ustaz Hazizi sendiri daripada Seremban, Kak Azizah daripada Johor, Zulfakar (sahabat lama saya) daripada Nilai, Khaziq, Kak Imah daripada Seremban, Nasarah daripada Batang Kali, Nur Anisah daripada Terengganu dan Amirul daripada Putrajaya.
Zulfakar ini adalah sahabat saya ketika menyertai satu program dakwah bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika zaman belajar dahulu.
Tak sangka hari ini dapat bertemu lagi dalam kelas yang sama.
Jadi insha-Allah, artikel ini adalah hasil nota saya sepanjang kelas pagi tadi.
Kaedah yang saya gunakan dalam menulis nota ini:
1. Saya akan tulis kembali poin-poin penting yang ada dalam kitab ini.
Sama ada tulis sebijik-sebijik ataupun saya olah menggunakan ayat saya.
2. Saya akan kongsikan huraian ustaz dalam menerangkan sesuatu poin.
Bukan semua, tapi sebahagian yang saya ingat.
Manhaj
Ustaz mulakan tadi dengan menerangkan maksud manhaj.
Kata ustaz, manhaj adalah perkara yang paling penting.
Sebab kalau kita tak ikut manhaj, kita akan ikut hawa nafsu.
Jadi apa maksud manhaj?
Manhaj ialah metodologi atau kaedah atau cara atau cara fikir tentang sesuatu.
Jadi, manhaj Ibnu Katsir Dalam Tafsir Al-Quran al-‘Adzim bermaksud metodologi ataupun cara Ibnu Katsir dalam menafsirkan al-Quran.
Maksud Al-Quran
Al-Quran dari sudut bahasa adalah bacaan atau yang dibaca.
Menurut istilah syarak pula al-Quran adalah nama bagi kalam Allah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Penafsir Al-Quran Yang Pertama Di Dunia
Nabi selalu memberikan penjelasan dan penafsiran terhadap ayat-ayat al-Quran, dan bagindalah merupakan penafsir al-Quran yang pertama.
Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam telah menerangkan maksud-maksud wahyu yang diturunkan pada baginda.
Lalu para sahabat pun dapat memahami betapa indahnya gaya bahasa al-Quran dan memahami ayat-ayat yang diterangkan kepada mereka.
Jika Para Sahabat Ada Kemusykilan, Terus Tanya Pada Nabi
Dan jika ada sebarang kemusykilan, para sahabat terus tanya kepada Nabi.
Contohnya ketika turun ayat ke-82 Surah al-An’aam,
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَٰنَهُم بِظُلْمٍ
Mereka yang tidak memakaikan keimanan mereka dengan kezaliman …
[Surah al-An’aam 6: 82]
Perkataan (بِظُلْمٍ) menimbulkan keresahan di kalangan para sahabat.
Mereka saling bertanya di antara satu sama lain, “Siapakah antara kita yang tidak menzalimi diri mereka sendiri?”
Maka Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam pun menjawab bahawa perkataan (بِظُلْمٍ) dalam ayat ini bermaksud syirik.
- Jemput baca: Perbezaan Tafsir & Tadabbur
Para Sahabat Tidak Memerlukan Ilmu Tafsir
Sebab itulah para sahabat tidak memerlukan kitab tafsir, bagi mereka ilmu tafsir ini mudah, sebab:
1. Al-Quran turun dalam bahasa mereka.
2. Mereka menyaksikan sendiri suasana dan peristiwa turunnya ayat-ayat al-Quran.
Tetapi, walaupun al-Quran ini mudah, tetapi kefahaman di antara para sahabat berbeza di antara satu sama lain.
Ada kalangan sahabat yang memahami secara mendalam (tafsil), dan ada juga yang memahami secara umum (ijmal).
Pada waktu itu juga, para sahabat tidak menulis penjelasan-penjelasan terhadap al-Quran ataupun hadis secara sistematik kerana bimbang bahan itu akan bercampur dengan al-Quran yang mereka tulis.
Ustaz menambah, tujuan lain ialah supaya al-Quran kekal unggul, menjadi pemutus kata dalam sesuatu isu hatta kata-kata Nabi sekalipun.
Peringkat Munculnya Ilmu Tafsir
Apabila Nabi wafat, para sahabat mula berbeza dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran.
1. Ada sahabat yang berpegang teguh dengan riwayat semata-mata, tanpa menggunakan ijtihad.
Antaranya ialah Abu Bakar dan Umar radiyahallahu anhuma.
2. Ada sahabat yang menafsirkan al-Quran berpandukan hadis-hadis yang diterima daripada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam dan dalam masa yang sama berpandukan ijtihad mereka.
Tegasnya mereka mentafsirkan al-Quran berpandukan kekuatan bahasa Arab dan Asbab al-Nuzul.
Antaranya ialah Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Abbas radiyallahu anhuma.
Kata ustaz perbezaan ini ada dua:
1. Perbezaan yang dibenarkan.
2. Perbezaan yang tidak dibenarkan.
Jadi saya tanya ustaz, kita orang awam, macam mana nak tahu sesuatu perbezaan itu dibenarkan atau tak dibenarkan?
Contohnya isu di mana Allah.
Maka ustaz pun jawab, pertama sekali kena tanya dahulu soalan ini soalan pokok ke cabang?
Kalau soalan pokok, ia tidak dibenarkan.
Contoh dalam isu di mana Allah, isu pokoknya ada empat perkara iaitu Allah itu:
1. Esa.
2. Sempurna.
3. Tidak ada cacat cela.
4. Tidak ada yang seumpamanya.
Maka perbincangan yang selain daripada ini ialah soalan cabang, kita boleh abaikan.
Kedua, kena tanya dengan ramai guru.
Ringkasnya, golongan sahabat yang kedua ini akan menggunakan kaedah takwil dan istinbat, termasuk mengambil daripada kisah-kisah yang tidak diperolehi daripada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Sumber kisah ini diambil daripada kitab Taurat dan tambahan-tambahannya.
Bahan-bahan ini dibawa oleh kaum Yahudi yang masuk Islam seperti Ka’ab al-Ahbar dan Wahb bin Munabbih.
Ibn ‘Abbas radiyallahu anhuma banyak menemani Ka’ab al-Ahbar radiyallahu anh.
Jelasnya apabila para sahabat ingin mengetahui berita-berita umat terdahulu yang ada kaitannya dengan ayat-ayat yang ditafsirkan, mereka merasakan perlu menyelidikinya daripada para pendeta Yahudi atau Nasrani yang masuk Islam kerana tidak ada penjelasan secara terperinci oleh Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam.
Para pendeta Yahudi dan Nasrani (ahli kitab) ini, menerima riwayat-riwayat itu daripada hikayat-hikayat dan kisah-kisah yang diceritakan secara turun-temurun dari datuk nenek moyang mereka.
Sejarah Unsur-unsur Israiliyyat Ke Dalam Kitab Tafsir
Di sinilah permulaan masuknya unsur-unsur israiliyyat.
Disebabkan para sahabat ingin memperkuatkan kebenaran perutusan Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam sebagai Nabi akhir zaman sebagaimana yang turut dikemukakan dalam keterangan-keterangan ahli kitab sendiri.
Pada mulanya Abdullah bin Umar radiyallahu anhuma meriwayatkan isi kitab Taurat semata-mata untuk menguatkan keterangan dalam menentang puak Yahudi dan Nasrani, bukannya untuk menambah atau mengubah isi al-Quran.
Dengan demikian, masuklah penjelasan-penjelasan kisah yang diambil daripada ahli kitab ini yang dikenali sebagai Israiliyyat ke dalam kitab-kitab tafsir, dalam hal yang tidak berkaitan dengan hukum hakam.
Hurm, baru saya tahu, kalau tak sebelum ini, dalam hati saya terdetik – kenapalah para ulama ini masukkan unsur israiliyyat.
Apa fungsi dia?
Dia seolah-olah menyusahkan orang zaman sekarang, nak kena tapis-tapis maklumat.
Tapi bila baca ini, barulah tahu sebabnya kenapa, bukan untuk menyusahkan kita.
Maksud Tafsir
Betapa pentingnya ilmu penafsiran al-Quran, para mufassir menetapkan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip dasar sebagai prasyarat dan syarat dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran secara tepat dan benar.
Tafsir seperti yang ditakrifkan oleh para ulama, contohnya al-Zarkasyi adalah bermaksud, sesuatu yang menerangkan makna-makna al-Quran dan mengeluarkan hukum serta hikmah-hikmahnya.
Kata ustaz, hukum dan hikmah berasal daripada perkataan yang sama iaitu huruf ‘ha, kaf dan mim’.
Jadi al-Quran memberikan kebaikan kepada kita dari segi hukum (yang tersurat) dan hikmah (yang tersirat).
Ringkasnya ilmu tafsir ini adalah suatu disiplin ilmu yang berperanan memberikan penjelasan terhadap maksud firman-firman Allah subhanahu wa ta’ala sesuai dengan kemampuan manusia.
Kemampuan ahli tafsir yang berbeza-beza boleh menyebabkan berlakunya perbezaan terhadap apa yang diperjelaskan oleh mereka dalam tafsir masing-masing.
Demikian pula kecenderungan mereka pun turut berbeza sehingga apa yang disampaikan turut mempengaruhi apa yang ditulis dalam tulisan masing-masing.
Maka antara ramai para mufassirin ini, seorang daripada mereka yang kita kenal ialah Ibnu Katsir dan karya tafsirnya Tafsir al-Quran al-‘Adzim.
Dalam tulisan ini penulis akan menjelaskan tentang mufassir ini dan bagaimana metodologi beliau dalam menghasilkan karya yang hebat ini.
Pengenalan Tentang Ibnu Katsir
Nama lengkap Ibnu Katsir ialah al-Imam al-Hafidz Imad al-Din Abu al-Fida’ Ismail ibn Umar ibn Katsir ibn Daw ibn Katsir al-Qurasyiy al-Dimasyqiy al-Syafiiy.
Panjang-panjang ini, mana satu nama Ibn Katsir yang sebenar?
Kalau dapat jawab, anda memang hebat.
Okey nama beliau ialah …
Ismail.
Ini pun ustaz yang bagi jawapan tadi.
Hihi.
Ibn Katsir dilahirkan di Syam iaitu Syria yang kita kenal hari ini.
Ustaz ada kongsikan tadi, dahulu wilayah Syam terdiri daripada 4 negeri:
- Suria.
- Lubnan.
- Palestin.
- Jordan.
Ulama berbeza pendapat tentang tahun kelahirannya.
Pendapat yang terkuat iaitu Ibnu Katsir dilahirkan pada tahun 700H dan wafat di Damsyiq pada bulan Syaaban tahun 773H.
Ayahnya meninggal pada tahun 703H ketika Ibnu Katsir masih kecil.
Kehidupannya kemudian dibantu oleh saudaranya Abdul Wahab.
Seluruh waktunya diperuntukkan menimba ilmu pengetahuan.
Beliau mengkaji, mempelajari dan mengenal berbagai disiplin ilmu pengetahuan.
Ibnu Katsir menuju ke Damsyiq untuk mencari ilmu.
Beliau mempelajari kitab-kitab fiqh, hadis, tafsir, sejarah dan bahasa sehingga dia dapat menguasai banyak ilmu.
Di samping itu, beliau juga seorang yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu hingga menguasai berbagai disiplin ilmu dan diiktiraf sebagai seorang yang alim oleh para ulama sezaman dan selepasnya, beliau juga terkenal dengan sifat zuhud di dunia.
Okey, itu sahaja untuk kelas yang pertama ini.
Jemput kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga dan juga sahabat-sahabat kita, supaya lebih ramai orang yang akan faham al-Quran.
Terima kasih Ustaz Hazizi di atas ilmunya.
Jumpa pada siri yang kedua!