Antara banyak-banyak zikir, zikir yang kita tidak boleh tinggalkan ialah zikir pagi & petang.
Kenapa?
Sebab inilah zikir yang Nabi baca setiap hari.
Jadi, saya terkenangkan kembali bagaimana pada umur 34 tahun ini, baru saya berjumpa dengan zikir yang Nabi amalkan.
Bermula dengan membaca al-Ma’thurat ketika saya sekolah rendah, menengah, universiti sehinggalah ke alam perkahwinan dan pekerjaan, barulah berjumpa dengan zikir ini.
Jadi bila kita dah berada pada tahap sekarang ini (dewasa), kita bukan sekadar mahu istiqamah membaca atau menghafal sahaja, tetapi yang paling utama dan penting ialah kita memahami zikir yang kita baca seterusnya mengubah tingkah laku, cara berfikir dan keyakinan kita kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Seperti kata Ustaz Abdullah Zaen, mudah-mudahan dengan zikir yang kita fahami, dan renungi dapat memperbaiki kekurangan-kekurangan yang ada dalam diri kita sedikit demi sedikit.
Jadi kalau boleh saya simpulkan bagaimana proses yang hampir daripada kita akan lalui ialah:
1. Daripada orang yang tidak berzikir, menjadi orang yang berzikir.
2. Daripada orang yang baca zikir tidak mengikut Nabi, kepada orang yang berzikir mengikut Nabi.
3. Daripada orang yang istiqamah membaca dan menghafaz zikir, kepada orang yang memahami, merenungi dan mentadabburi.
Mudah-mudahan zikir yang kita baca itu tidak sekadar membaca dengan lisan, tetapi diiringi juga renungan yang mendalam sehingga meresap ke dalam hati dan seterusnya merubah tingkah laku ataupun akhlak kita.
Zikir Yang Pertama – Ayat Kursi
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[Surah al-Baqarah 2: 255]
Ayat Kursi ini disunatkan baca pada setiap pagi sekali dan petang sekali.
Kata Ustaz Abdullah Zaen, ini berdasarkan hadis riwayat Imam an-Nasai dalam kitab as-Sunan al-Kubra dan juga Imam at-Tabrani dalam kitab al-Mu’jamul Kabir.
Hadis ini dikatakan sahih oleh Syaukani al-Bani.
Bunyi hadisnya ialah:
هَذِهِ الآيَةُ الَّتِي فِي سُورَةِ الْبَقَرَةِ: {اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ} مَنْ قَالَهَا حِينَ يُمْسِي أُجِيرَ مِنَّا حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ أُجِيرَ مِنَّا حَتَّى يُمْسِيَ
Ayat yang ada di surah al-Baqarah; “Allahu lâ ilâha illâ huwal hayyul qayyûm”, barang siapa membacanya di petang hari; maka dia akan dijaga dari kami (jin) hingga pagi. Barang siapa membacanya di pagi hari; maka akan dijaga dari kami (jin) hingga petang.
Jadi, antara kelebihan membaca Ayat Kursi ialah melindungi diri kita daripada gangguan jin.
Mengapa Ayat Kursi Adalah Ayat Yang Paling Agung Dalam Al-Quran?
Seperti mana yang kita tahu, al-Quran ini mengandungi ribuan ayat.
Dan dalam ribuan ayat al-Quran, ayat yang paling agung dan paling istimewa adalah Ayat Kursi.
Ini diriwayatkan daripada Abu Dzar di dalam sebuah hadis, beliau berkata;
“Aku bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, ayat yang Allah turunkan padamu, manakah yang paling agung?” Baginda menjawab: “Ayatul Kursi iaitu; Allahu la illaha illa huwal hayuul qayyum – Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya)”.
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]
Persoalannya kenapa Ayat Kursi?
Kenapa bukan alif, lam, mim?
Kenapa bukan Surah al-Kafiruun?
Kenapa bukan Surah al-Masad?
Mungkin kita akan jawab bahawa Nabi yang beritahu berdasarkan hadis di atas, maka kita pun ikutlah.
Ya betul.
Tetapi mesti ada sebab atau hikmahnya kenapa Nabi berkata demikian.
Maka kata Ustaz Abdullah Zaen, mengikut kajian para ulama kenapa ayat ini adalah ayat yang paling istimewa adalah kerana isi kandungannya yang sangat istimewa iaitu tentang tauhid.
Daripada awal hingga akhir ayat cerita tentang keesaan, keagungan dan kemuliaan Allah subhanahu wa ta’ala.
Jadi, mari kita perhatikan kupasan isi kandungannya berdasarkan kajian Ustaz Abdullah Zaen.
Anda dah bersedia?
Jom kita mulakan.
Petikan Satu – (ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ)
Allah subhanahu wa taa’la membuka ayat ini dengan berfirman, (ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ) – Allah tidak ada yang berhak disembah kecuali Dia.
Petikan yang pertama ini Allah nak beritahu kepada kita bahawa, “Hei Manusia!” ataupun “Wahai para manusia!”.
Satu-satunya Tuhan yang hanya berhak disembah ialah Allah.
Jadi jangan lupa dengan tujuan hidup kita iaitu beribadah kepada Allah.
Kenapa Allah sahaja yang berhak disembah?
Petikan Dua – (هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ)
Kerana Allah itu (ٱلْحَىُّ) – Yang Maha Hidup dan Allah juga (ٱلْقَيُّومُ) – yang terus menerus menguruskan makhluknya.
Kalau kita ataupun makhluk-makhluk lain hanya sekadar hidup, manakala Allah pula Maha Hidup.
Jadi apa beza antara hidup dan Maha Hidup?
Bezanya ialah kalau hidup sahaja, maksudnya satu hari nanti kita akan mati.
Tetapi kalau Maha Hidup, maksudnya Allah tidak mungkin akan mati.
Jadi, kenapa kita beribadah kepada Allah?
Sebab Allah hidup sepanjang masa.
Berbeza kalau kita beribadah kepada selain Allah.
Sebab apa?
Sebab yang selain daripada Allah suatu hari atau suatu masa nanti akan mati.
Jadi, alangkah lemahnya Tuhan kalau sentiasa perlu diganti pada setiap 100 tahun, 10 tahun ataupun setiap tahun?
Dan Allah bukan hanya Maha Hidup sahaja, tetapi Allah juga (ٱلْقَيُّومُ), sangat mengambil berat tentang kita.
Sejak sebelum kita lahir ke muka bumi ini lagi, Allah telah menjaga kebajikan ataupun menguruskan hidup kita.
(Cuba bayangkan ketika kita berada dalam perut ibu).
Ibu kita makan nasi goreng, kemudian dicerna masuk ke dalam perut.
Persoalannya adakah yang masuk ke dalam perut itu masih dalam bentuk nasi goreng (yang asal) atau berubah?
Sudah pasti berubah menjadi zat atau nutrisi bagi memastikan kita terus hidup dan membesar.
Siapa yang tukar setiap makanan yang ibu kita makan menjadi zat atau nutrisi?
(ٱلْقَيُّومُ).
Subhanallah!
Semenjak kita dalam perut lagi Allah telah uruskan hidup kita.
Petikan Tiga – (لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ)
Petikan ini memperincikan lagi sifat Allah Yang Maha Hidup dan Maha Mengurus iaitu Allah tidak mengantuk dan juga tidur.
Berbeza dengan kita semua.
Kita baca buku lima muka surat pun mengantuk, dengar kuliah 30 minit pun mengantuk dan penat sikit pun mengantuk, betapa lemahnya kita.
Sebab itulah kita kena yakin dan percaya dengan kehebatan Allah.
Bayangkan (nauzubillahi min zalik) Allah itu tidur seperti kita, bagaimana Allah mahu menguruskan daripada sekecil-kecil makhluk sehingga sebesar-besar makhuk?
Subhanallah!
Jadi, tidak mungkin.
Petikan Empat – (لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ)
Kemudian dalam petikan ini, Allah menunjukkan atau menjelaskan kepada kita bahawa betapa luasnya wilayah kekuasaan Allah subahanahu wa ta’ala iaitu (لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ) – wilayah kekuasaan Allah begitu luas sekali meliputi seluruh langit dan bumi.
Berbeza dengan manusia.
Kalau bapa, kuasanya hanya meliputi keluarganya.
Ketua kampung? Kampungnya.
Penghulu? Mukimnya.
Menteri Besar? Negerinya.
Perdana Menteri? Negaranya.
Tapi kalau Allah?
Seluruh langit dan bumi.
Jadi tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada kekuasaan Allah.
Cuba kita renung sejenak, kalau kita dihalau oleh bos?
Kita boleh cari bos baru.
Kalau kita dihalau oleh masyarakat, kita boleh pindah ke tempat lain.
Tapi bagaimana kalau kita dihalau oleh Allah?
Petikan Lima – (مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ)
Betapa luas dan sempurnanya kekuasaan Allah, kalau ada manusia yang nak bantu manusia lain (syafaat), mesti dengan izin Allah subahanahu wa ta’ala.
Jadi kalau kita nak dapat syafaat daripada Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam, kita mintalah kepada Allah,
“Ya Allah … izinkanlah rasul-Mu memberikan syafaat buat diriku dan keluargaku. Limpahkanlah syafaat rasul-Mu kepada kami semua”.
Kerana kita tidak akan mendapat syafaat, dengan izin Yang Maha Esa.
Petikan Enam – (يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ)
Petikan kelima tadi cerita tentang betapa luasnya kekuasaan Allah, petikan kali ini menceritakan pula tentang betapa luasnya ilmu Allah subhanahu wa ta’ala iaitu (يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ) – Allah mengetahui apa yang ada di hadapan manusia dan apa yang ada dibelakangnya.
Maksudnya Allah Maha Mengetahui apa yang akan terjadi dan apa yang sudah terjadi di muka bumi ini sehingga ke Hari Kiamat.
Bahkan Allah sudah mengetahui kedudukan kita sama ada masuk syurga atau neraka sebelum kita lahir lagi.
Begitulah luasnya ilmu Allah jika nak dibandingkan dengan ilmu yang kita ada.
Petikan Tujuh – (وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ)
Sebab manusia itu tidak tahu apa-apa kecuali yang Allah ajarkan, (وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ).
Dan apa yang Allah ajarkan kepada manusia itu sedikit atau banyak kalau nak dibandingkan dengan ilmu Allah?
Sangat sedikit.
Jadi, jangan sombong!
Kata Ustaz Abdullah Zaen, sekiranya semua pokok yang ada di muka bumi ini dijadikan pena, ditambah lagi dengan air daripada 7 lautan, nescaya tidak akan habis untuk menulis ilmu Allah subhanahu wa ta’ala!
Subhanallah, betapa luasnya ilmu Allah.
Kemudian pada petikan yang seterusnya, Allah nak gambarkan kepada kita tentang kebesaran-Nya dengan menyebutkan salah satu ciptaan-Nya iaitu Kursi.
(Bukan kerusi yang selalu kita nampak itu, tetapi Kursi ini adalah salah satu ciptaan Allah yang sangat besar).
Petikan Lapan – (وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ)
Allah gambarkan betapa besarnya Kursi itu iaitu (وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ) – Kursi Allah itu besarnya lebih besar daripada langit dan bumi.
Allahuakbar!
Setahu saya langit itu dah tersangat besar sebab perjalanan nak sampai ke langit pertama itu mengambil masa 500 tahun perjalanan dan langit pula ada tujuh lapisan.
Tentang langit sahaja, kita dah rasa wow!
Tiba-tiba ada lagi makhluk Allah yang lebih besar daripada itu?
Subhanallah!
Tidak berhenti setakat ini, (langit —> kursi —> arasy).
Kata Ustaz Abdullah Zaen memetik sebuah athar, perbandingan antara Kursi dengan Arasy seperti cincin yang dilemparkan di tengah padang pasir.
Bayangkan Kursi yang tidak boleh dibayangkan besarnya itu hanya sebesar cincin dan padang pasir itu adalah Arasy Allah.
Subhanallah! Allahuakbar!
Memang tidak terjangkau di fikiran kita.
Allah tidak penat atau letih ke uruskan semua makhluk yang Dia cipta?
Petikan Sembilan – (وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا)
(وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا) – dan Allah tidak keberatan untuk menguruskan makhluk-makhluknya termasuk langit, bumi, kursi dan juga arasynya.
Kalau kita disuruh untuk uruskan kampung kita boleh atau tidak?
Jangankan kampung, rumah kita sendiri pun kita dah pening nak uruskan.
Buktinya, ada atau tidak kawasan rumah kita yang kotor?
Ada.
Ada atau tidak kawasan rumah kita yang kita tidak pernah sapu atau bersihkan?
Ada.
Sedangkan rumah kita ini besar mana?
Jadi rumah kita yang kecil ini pun kita tidak mampu uruskan dengan baik, tengok bagaimana hebatnya Allah menguruskan segala ciptaan-Nya.
Subhanallah!
Petikan Sepuluh – (وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ)
Maka Allah tutup ayat ini dengan dua nama iaitu (وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ) – dan Dialah Yang Maha Tinggi dan Maha besar.
Maka sepatutnya kita merasa kecil dan rendah apabila berhadapan dengan Allah Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.
Hati kita mesti diisi dengan ketundukan, ketaatan, kepasrahan, keimanan dan yang seumpamanya.
Kata Syeikh as-Sa’di rahimahullah,
“Manusia yang hatinya dipenuhi dengan ketundukan, kepatuhan, kepasrahan, keimanan, layak untuk dijaga daripada godaan dan kejahatan jin.
Jadi inilah rahsia kenapa Ayat Kursi boleh melindungi kita daripada godaan jin.
Kerana isi kandungannya yang luar biasa.
Mudah-mudahan selepas ini, kita bukan sekadar membaca Ayat Kursi, tetapi kita hayati, renungi dan tadabbur sehingga meresap ke dalam hati kita.
Bangun, berilah peringatan!