“Saya bangga menjadi anak Malaysia, tanah air yang makmur dan aman, mempunyai pelbagai latar belakang agama, bangsa dan budaya,” kata seorang lelaki India.
“Malaysia adalah sebuah negara yang unik, tak ada yang sama dengan mana-mana negara lain di dunia ini. Kalau sama pun, pasti suasananya amat berbeza sekali,” kata seorang lelaki Cina.
“Saya berasa bangga menjadi umat Islam kerana beriman dan taat pada perintah Allah,” kata seorang lelaki Melayu.
Bangga di atas, bukanlah bangga yang negatif.
Tetapi bangga yang positif iaitu bersyukur dengan nikmat yang sedia ada dan juga yakin dengan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kita.
Jadi saya nak kaitkan bangga yang positif ini dengan satu ayat di dalam al-Quran iaitu ayat 54 Surah al-Maa’idah.
Maksud Ayat 54 Surah al-Maa’idah
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍ۬ يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِين
Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir ….
[Surah al-Maa’idah 5: 54]
Dalam ayat ini, Allah beritahu bahawa siapa yang murtad daripada kalangan kamu, maka Allah akan tukar dengan satu kaum yang lain.
Maksudnya kalau kamu nak murtad, silakan.
Tidak ada masalah.
Allah tidak perlukan kamu, bahkan Allah boleh ganti kamu dengan kaum yang lain.
Kemudian, Allah terangkan ciri-ciri kaum yang Allah gantikan itu.
Tiga Ciri Umat Islam
Ciri mereka yang pertama ialah (يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ ) – Allah cinta mereka dan mereka cinta kepada Allah.
Ciri yang kedua ialah (أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِين) – mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman.
Kata Ustaz Abd Muein, perkataan (أَذِلَّة) ini berasal daripada perkataan (ذِلٌّ) yang bermaksud merendah diri.
Maksudnya ialah apabila orang beriman bertemu dengan orang beriman, dia akan sentiasa merendah diri.
Ciri yang ketiga ialah (أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِين) – dan berasa bangga terhadap orang-orang kafir.
Ciri yang ketiga inilah yang menjadi topik utama kita dalam artikel ini.
Tadabbur Ayat 54 Surah al-Maa’idah – Bangga Dengan Orang Kafir
Kata Ustaz Abd Muein, perkataan (أَعِزَّة) berasal daripada perkataan (عِزَّة) yang bermaksud rasa bangga.
Rasa bangga apabila bersama-sama dengan orang kafir.
Maksudnya apabila kita bersama dengan orang kafir, jangan rasa rendah diri, hina atau pun rasa takut nak bercakap dengan mereka.
Contohnya kita berada di dalam kapal terbang – apabila masuk sahaja waktu solat, kita pun kata, “Eh ramai orang kafir ni, aku nak solat, tapi nanti dia kata apa pulak?”
Jadi, kita pun tidak jadi menunaikan solat.
- Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur?
Berdasarkan ayat ini, hukum merasa rendah diri terhadap orang kafir ialah haram ataupun berdosa.
Nampak?
Macam tidak ada apa-apa sahaja, tetapi rupanya al-Quran ada mengingatkan tentang perkara ini.
Jadi, (عِزَّة) ini sangat penting dalam hidup seharian kita.
Apabila kita bersama dengan orang yang beriman, kita kena rasa rendah diri.
Tetapi apabila bersama dengan orang kafir, kita kena rasa bangga.
Jangan Ada Rasa “Saya Lebih Baik” Daripada Orang Lain
Kata Imam Hassan al-Basri,
“Sifat orang beriman ialah tawaduk, sentiasa merendah diri.” Bila ditanya apa makna tawaduk, apa makna merendah diri? Jawab Imam Hassan al-Basri, “Tawaduk ialah kamu tidak pernah rasa, kamu ini lebih baik dari orang lain sesama Islam.”
Jumpa orang fakir, kita tidak rasa pun yang kita ini lebih baik daripada dia kerana kita berharta.
Jumpa orang cacat, kita tidak rasa pun yang kita ini lebih baik daripada dia kerana anggota badan kita cukup semuanya.
Jumpa orang Islam yang buat maksiat, kita tidak pernah rasa pun yang kita ini lebih baik daripada dia kerana kita orang yang rajin pergi ke masjid.
Itulah makna perkataan (أَذِلَّة) ataupun tawaduk.
Jangan Tiru Sifat Iblis
Kalau kita rasa yang kita ini lebih baik daripada orang lain, habislah kita.
Kita sudah termasuk di kalangan orang yang (الكِبْر) – sombong.
Kita rasa yang kita ini lebih banyak ilmu.
Bila berjumpa dengan orang yang tidak belajar, kita rasa yang kita ini lebih pandai daripada mereka.
Itu sudah jadi (الكِبْر) – sombong.
Dan inilah sifat pertama yang ada pada Iblis.
Iblis jadi sesat dan dilaknat oleh Allah sebab dia merasa “Aku lebih baik daripada Adam.”
Bila rasa lebih baik sahaja, dia tidak akan jadi ‘izzah – rendah diri, tetapi menjadi (الكِبْر) – sombong.
Oleh sebab itu, ayat ini mahu menegur dan merawat hati kita.
Sebab kadang-kadang bila kita berjumpa dengan orang miskin, terlintas di dalam hati kita rasa kesian pada dia.
Secara tidak langsung, kita akan rasa yang diri kita ini lebih baik daripada dia.
Kemudian, kalau jumpa dengan orang yang melakukan maksiat atau orang yang tidak solat, kita rasa lebih baik daripada dia.
Ini salah.
Perkara ini selalu jadi secara spontan, terdetik dalam hati; “Kenapa dia tak solat, nanti masuk neraka.”
Seolah-olah kita rasa yang kita ini lebih baik daripada dia.
Contoh kalau kita hidup di zaman bani Israil dahulu, kemudian kita jumpa dengan seorang pelacur wanita.
Suatu masa, kita nampak dia beri minum kepada anjing.
Dan kita pula belum lagi mendengar tentang hadis seorang pelacur yang masuk ke dalam syurga kerana beri minum anjing.
Apa tanggapan kita terhadap dia?
Mungkin kita rasa, “Alaa … buang masa jer, bertaubatlah dulu!”
Maksudnya kita rasa dia adalah orang yang teruk, manakala kita adalah orang yang lebih baik.
Tapi sebenarnya dia adalah ahli syurga.
Nampak tak?
Kalau kita berada di zaman lelaki yang bunuh 100 orang.
Ketika dia bunuh 99 orang, dia tanya seorang yang kuat beribadat, “Ada tak peluang untuk aku bertaubat?”
Lelaki ahli ibadat itu jawab, “Dah tak ada peluang.”
Dia pun bunuh orang tersebut, jadi cukup seratus orang yang dia bunuh.
Kalau kita ada dan kita menyaksikan, apa yang kita kata pada orang yang bunuh 100 orang itu yang kononnya hendak bertaubat.
Kita kata apa?
Dalam kepala kita mungkin kata, “Buang masa, nak bertaubat tapi bunuh lagi seorang ….”
Tetapi dia sebenarnya ahli syurga.
Subhanallah!
Jadi al-Quran merawat hati kita supaya jangan rasa bangga sesama orang beriman, jangan rasa kita lebih berilmu, lebih pandai, lebih kaya, lebih cerdik atau ingatan lebih kuat.
Jangan.
Jangan ada sedikit pun rasa begitu.
Bila ada rasa lebih baik sikit daripada orang Islam, kita termasuk dalam golongan orang yang (الكِبْر ) – sombong.
Bangun, berilah peringatan!