Dalam artikel kali ini, saya bukan nak kongsi tadabbur keseluruhan ayat 43, tetapi fokus kepada ayat (فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ).
Bagaimana kita nak aplikasikan ayat (فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ) dalam konteks negara kita?
Sebenarnya soalan ini ditanya oleh Dr. Azrul kepada Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor dalam program Tadabbur Bersama Murabbi 3.0 (Siri 4).
Fiqh al-Mizan Menyelesaikan Masalah Umat
Kata Ustaz Fauwaz, inilah yang dinamakan sebagai al-ilmu fiqhul mizan.
Fiqhul Mizan yang Allah ta’ala turunkan adalah untuk kita selesaikan krisis.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلْقِسْطِ
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan …
[Surah al-Hadid 57: 25]
Keadilan ini hanya dapat ditegakkan bila kita ada mizan atau indicator ataupun penilai.
Sebab bila kita membicarakan satu ilmu yang ada khilaf (perbezaan), mustahil tidak ada jalan penyelesaian sama ada isu akidah ataupun isu fiqh.
Mesti ada mizan yang perlu kita letakkan dan bila kita timbang sesuatu ilmu itu dengan baik, maka insha-Allah kita akan kembali kepada kebenaran.
- Jemput baca: Tadabbur Ayat 54 Surah al-Maa’idah
Serahkan Segala Isu Kepada Pakarnya
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ
…. padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka …
[Surah an-Nisaa’ 4: 83]
Ayat ini beritahu kita supaya kembalikan apa jua perbicaraan yang hangat di Malaysia ini daripada isu zikir Allah, zikir hu dan isu-isu yang lain kepada ahli mizan supaya kita dapat menyelesaikan isu itu dengan baik.
Syaratnya dengan membuang ketaksuban, tidak berpuak-puak dan tidak bergaduh, tetapi semata-mata untuk mencari kebenaran.
Masalah kita sekarang ialah kita berpuak-puak, “Saya puak ini”, “Saya puak itu”.
Sedangkan al-Quran hanya menamakan kita sebagai ummatawwahidah.
Kita Adalah Ummatawwahidah
Allah sebut di dalam Surah al-Baqarah 2: 213,
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً وَٰحِدَةً فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۦنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلْكِتَٰبَ بِٱلْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ ۚ وَمَا ٱخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَتْهُمُ ٱلْبَيِّنَٰتُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَا ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلْحَقِّ بِإِذْنِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka);
dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu,
iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
Dan masalah kita sekarang ini, para ahli ilmu berbeza pandangan, tetapi keluar daripada mizan haqiqi.
Sebab itu, untuk menyelesaikan semua isu yang berlegar di sekeliling kita ini dengan cara meletakkan pada mizan.
Mizan masalah fiqh ada mizan khasnya.
Mizan akidah, ada mizannya.
Mizan sains kalau diletakkan pada mizan yang tepat, insha-Allah banyak isu yang berkaitan dengan vaksin akan selesai.
Politik kalau letak pada mizan yang sahih, yang melibatkan para cendekiawan dan ahli fikir (orang yang memang pakar) akan bertemu dengan solusi.
Seperti kata Imam al-Ghazali,
لو سكت أهلل جاهل لقالل الخلاف
Kalaulah orang yang jahil berdiam diri dan orang yang bincang itu adalah golongan pakar, khilaf akan berkurangan.
Masalah kita sekarang ini, khilaf di antara ahli ilmu, tetapi disambut oleh golongan yang tidak ada asas ilmu.
Misalnya kalau isu perubatan, kita ulas dalam bentuk kefahaman kita yang kosong, sudah tentu akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam ilmu perubatan.
Mudah-mudahan penulisan ini mampu membuka minda kita.
Bangun, berilah peringatan!