Hari itu tak sengaja saya terjumpa dengan ayat 17 Surah al-An’aam.
Lepas sahaja Solat Subuh, jemaah masjid di tempat saya akan baca al-Quran sama-sama.
Kemudian, imam akan membaca terjemahan.
Di sinilah detik-detik saya terjumpa dengan ayat yang memberikan saya motivasi.
Kalau perasan, dalam hidup ini kita sentiasa mengharapkan Allah memberikan petunjuk kepada kita, “Kim, kau bacalah ayat ini. Ini akan bantu selesaikan masalah kau”.
Allah Hanya Bagi Klu
Ia adalah satu perasaan yang datang dari dalam diri kita.
Bila datang perasaan ini, kita kena sambut.
Kita rasa, “Eh, ayat ini macam kena je dengan aku”.
Kita pun tahu, Allah tidak akan mudah-mudah bagi jawapan pada setiap permasalahan kita.
Allah bagi klu je.
Selebihnya kita kena usaha.
Bila kita buat dakwah ini, ada macam-macam reaksi yang kita terima.
Ada yang suka dan ada juga yang tidak senang duduk dengan usaha yang kita lakukan.
Mungkin perkara ini nampak remeh, tapi bagi saya ini adalah dugaan berat yang membuatkan hati saya sangat sedih dan kecewa.
Setiap kali saya menyampaikan peringatan, saya selalu berharap peringatan itu dapat menyentuh hati orang lain dan membangkitkan semangat mereka untuk lebih dekat dengan Tuhan.
Tapi bila kita menerima respon yang negatif, Pokok Keraguan tiba-tiba tumbuh di dalam diri kita.
Adakah salah saya berdakwah?
Adakah usaha saya sia-sia?
Rasa putus asa mula meresap ke dalam hati saya.
Namun, saya selalu mengingati bahawa ujian dan dugaan adalah sebahagian daripada kehidupan.
Dalam keadaan yang hampir putus asa, saya pergi masjid seperti biasa.
Di sini, saya cuba mencari ketenangan.
Dalam hati kita ini sentiasa bersuara, “Ya Allah tolonglah berikan aku petunjuk untuk mengatasi masalah yang aku hadapi ini”.
Saya membuka lembaran al-Quran bersama jemaah yang lain, dengan satu harapan untuk mencari petunjuk dan motivasi daripada Tuhan.
Imam mengumumkan, “Buka muka surat 129. Ayat 9 hingga 18 Surah al-An’aam”.
Kami pun baca bersama-sama.
Sehinggalah saya tertarik dengan ayat ini.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
“Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Ayat ini seolah-olah memberi jawapan kepada soalan dan keraguan yang ada dalam hati saya.
[Surah al-An’aam 6: 17]
Membaca ayat ini membuatkan saya rasa bersemangat.
Saya mula faham bahawa setiap masalah yang kita hadapi adalah sebahagian daripada rancangan-Nya, dan tidak ada apa-apa yang boleh mengubah apa yang telah Dia tentukan.
Jadi saya tidak perlu putus asa, kerana setiap kebaikan dan kesukaran datang daripada-Nya, dan Dia adalah satu-satunya yang memiliki kuasa untuk merubahnya.
Ayat ini memulihkan semangat saya.
Saya tahu mungkin pada satu hari nanti putus asa akan datang menyerang saya lagi.
Tapi buat masa ini, saya berjanji kepada diri sendiri untuk tidak menyerah, untuk terus berdakwah dengan sepenuh hati, dengan penuh keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama saya, menyokong dan membimbing saya.
Pengalaman ini mengajar saya bahawa ujian dan dugaan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup kita.
Namun, kita tidak perlu takut atau putus asa, kerana Allah selalu bersama kita.
Dia adalah sumber kekuatan dan motivasi kita.
Dengan keyakinan ini, saya merasa lebih kuat dan bersiap-sedia untuk menghadapi cabaran apa pun yang mungkin datang.
Apa Kata Hamka Tentang Ayat 17 Surah al-An’aam Ini?
Dalam proses melakukan tadabbur, tidak sah kalau kita tidak merujuk tafsir.
Jadi saya memilih Tafsir al-Azhar yang dikarang oleh Hamka untuk mengetahui lebih lanjut tentang ayat ini.
Kata Hamka,
Entah engkau ditimpa satu kemalangan, entah engkau ditimpa sakit, payah, miskin, dukacita, kematian, kena fitnah orang, dan lain-lain yang pasti terjadi dalam pergolakan hidup ini yang berpasang naik berpasang turun, tidaklah ada yang lain yang akan dapat melepaskan engkau dari bahaya itu, melainkan Allah saja.
Tidak ada yang lain tempat mengadu, tidak ada orang lain yang akan dijadikan pemimpin, seperti disebutkan sebelumnya.
Suatu saat, pasti engkau akan merasakan bahaya yang menimpa dirimu bahawa tidak ada tempat mengadu melainkan Dia saja.
Dia saja yang akan melepaskan dan orang lain tidak.
Ke mana pun engkau mengadu, segala pinta akan tertutup, orang lain tidak berdaya.
Kalau engkau tidak menginsafi hal ini engkau akan sengsara sendirian.
Kadang-kadang, engkau dilepaskannya dengan sebab engkau lalui usaha yang mengandung sebab dan akibat.
Kadang-kadang, terlepas engkau dari bahaya itu kerana Allah mengurniakan ke dalam hati engkau perasaan bahawa itu bukan bahaya, tetapi ujian Allah atas imanmu kepada-Nya.
Ertinya, tanda kasih-Nya dan terkadang engkau dilepaskan-Nya bukan kerana ikhtiarmu sendiri, melainkan semata-mata kurnia-Nya.
Sebab, kurnia Allah itu tiada batas.
Segala pujilah bagi-Nya.
Sebaliknya, apabila Dia mengenakan engkau dengan satu kebajikan, misalnya badan sihat, harta ada, anak isteri menyenangkan hati, kedudukan dalam masyarakat ditinggikan dan disegani orang, makan cukup, rumah ada, hidup terjamin dan sebagainya.
Dan Dia pulalah yang Maha Kuasa menjaganya dan memeliharanya.
Dari Dialah semuanya itu, bukan dari orang lain.
Dan kalau ada sebab dari orang lain maka orang lain itu hanya sebab saja sebagai penyalur.
Hakikat sejati adalah dari Allah.
Sebab Allah Yang Maha Kuasa.
Oleh kerana itu, walaupun engkau datang berulang-ulang ke Kuburan Keramat Luar Batang minta dihindarkan dari bahaya atau minta naik pangkat, percumalah perbuatan itu sebab keramat tersebut tak berkuasa apa-apa.
Itulah sebabnya pangkal Surah al-An’aam dimulai dengan “alhamdulillah”, segala puji-pujian hanya kepunyaan Allah!
Rahsia Ayat 17 Surah al-An’aam
Kata ahli tafsir, dalam ayat ini tersembunyi suatu rahsia yang harus diperhatikan.
Iaitu mendahulukan menyebut ditimpa bahaya daripada dikenakan kebaikan.
Mengapa demikian?
Kerana pada hakikatnya, bila Allah mengenakan sesuatu bahaya, tidaklah itu sesuatu kejahatan dari Allah, tetapi sebagai pendidikan guna melatih jiwa hamba-Nya.
Dengan adanya malapetaka yang menimpa, si hamba dapat melatih dirinya.
Kegelisahan boleh bertukar menjadi ketenangan.
Akhlak dapat dibentuk, adab boleh ditingkatkan, ilmu boleh bertambah, dan pengalaman menambah kaya jiwa sehingga malapetaka boleh menjadi nikmat.
Kadang-kadang, memang pahit malapetaka itu.
Namun, kerana diri dipakai meminumnya, sembuhlah penyakit dalam jiwa.
Bahkan sebaliknya, kesenangan, kemuliaan dan kebaikan, kalau tidak pandai menyambutnya, boleh bertukar menjadi peracun jiwa.
Bangun, berilah peringatan!