fbpx

Syukur Pada Allah, Itu Juga Satu Nikmat

Dari Aisyah radiyallahu ‘anhuma, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika melihat (mendapatkan) sesuatu yang baginda suka, baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan,

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Segala puji hanya milik Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna.

Dan ketika baginda mendapatkan sesuatu yang tidak disukai, baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan,

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Segala puji hanya milik Allah atas setiap keadaan.

[Hadis Riwayat Ibnu Majah. Syeikh al-Albani mengatakan hadis ini hasan]

Kata Ustaz Abd Muein, antara cara yang terbaik untuk menambahkan nikmat daripada Allah ialah dengan cara kita mentaatinya.

Sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta’ala,

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ

Pasti sekiranya kamu bersyukur, (maksudnya kamu mentaati Aku), pasti Aku akan tambahkan nikmat tersebut.

[Surah Ibrahim 14: 7]

Jadi bila kita dapat nikmat, cara kita bersyukur ialah dengan taat.

Namun hakikatnya, apabila kita dapat mensyukuri nikmat Allah, itu juga adalah satu nikmat.

Pertama, nikmat sihat.

Dan kita gunakan nikmat sihat itu dengan mentaati Allah.

Kemudian, kita tambah lagi satu nikmat.

Nikmat apa?

Nikmat Allah bagi hidayat, sehingga kita boleh gunakan nikmat sihat itu untuk mentaatinya.

Jadi dapat mentaati Allah, itu pun adalah nikmat.

Maka dengan nikmat itu jugalah kita wajib bersyukur.

Dan bila kita bersyukur di atas nikmat kesihatan, dapat mentaati Allah dan sebagainya, wajib kita tambahkan syukur kita.

Akhirnya tidak ada ruang untuk kita kufur kepada Allah.

Sebab nikmat Allah kepada kita, bertimpa-timpa.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ

Kalau kamu hitung nikmat Allah ke atas kamu, kamu tak mampu menghitungnya.

[Surah an-Nahl 16: 18]

Kalau kita tak mampu nak hitung berapa nikmat yang Allah berikan kepada kita, bagaimana kita nak mensyukuri setiap nikmat itu?

Oleh sebab itu, bila Allah mintak kita bersyukur, akhirnya Allah nak kita menjadi orang yang (شَكُورً۬ا) – banyak bersyukur.

Dia ada dua iaitu (الشَّاكِرُ) dan (شَكُورً۬ا).

Kalau (الشَّاكِرُ) ini, orang yang bersyukur biasa-biasa sahaja.

Tapi kalau (شَكُورً۬ا), orang yang bersyukur secara luar biasa.

Contohnya Nabi kita adalah orang yang paling banyak mensyukuri nikmat Allah.

Buktinya baginda solat malam sehingga bengkak kaki.

Lalu ditegur oleh Aisyah radiyallahu anha.

Kenapa kamu solat malam sampai bengkak kaki, sedangkan kamu tidak ada dosa?

Sedangkan kamu sentiasa mensyukuri nikmat Allah?

Sedangkan segala kesihatan, kerehatan dan seluruh hidup kamu, kamu korbankan untuk agama Allah.

Kenapa nak solat malam lagi sehingga bengkak kaki?

Nabi jawab syakur, bukan syakir.

Jadi syakur adalah orang yang sangat-sangat mensyukuri nikmat Allah.

Kalau orang macam kita ini, nak sampai tahap syakur, jauh sangat.

Tapi kalau kita boleh capai tahap syakir, pun okey.

Jadi mulai saat ini, gunakanlah tenaga kita, dan seluruh  anggota badan kita untuk sama-sama menghayati ayat Allah.

Kerana di dalam al-Quran penuh dengan mauizah dan juga syifak.

Al-Quran boleh merawat segala penyakit hati manusia.

Dan bila kita ikut dan gunakan al-Quran sebagai syifak, kita akan dapat rahmat.

Di situ jugalah kita akan mendapat petunjuk daripada Allah subhanahu wa ta’ala.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment