fbpx

Syarat-Syarat Taubat

Taubat seorang pendosa.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada ‘Ibni Umar radiyallahuanhuma, dia kata Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam ada menceritakan satu hadis.

Nabi bukan cerita sekali, bukan dua kali, bukan tujuh kali, bahkan lebih daripada itu.

Nabi ulang banyak kali cerita ini.

Menunjukkan atau menandakan ada perkara yang teramat-amat penting dalam cerita ini.

Ada seorang budak muda hidup pada zaman Bani Israil dahulu.

Budak ini kalau dia nak buat dosa, memang tak teragak-agak.

Dalam bahasa hadis, dia kalau nak buat satu perbuatan dosa, dia tak fikir dua kali.

Dia ingat, dia buat.

Budak yang jenis membujur lalu, melintang patah.

Tak takut dosa dan tak takut apa-apa.

hakimdarno - syarat taubat 2

Pada suatu hari, ada seorang budak perempuan pergi jumpa dengan budak muda ini.

Budak perempuan ini dalam keadaan sangat-sangat terdesak, tersepit dan perlu duit belanja.

Maka budak muda ini tadi kata, okey tak ada masalah. Dia boleh bagi.

Dia bagi 60 dinar kat budak perempuan ini dengan satu syarat, berzina dengan dia.

Budak perempuan itu pun setuju.

Bila budak muda dan budak perempuan ini duduk dalam keadaan hampir berzina, tiba-tiba budak perempuan ini gementar dan menangis satu badan.

Kemudian budak lelaki itu tanya, kenapa kau tiba-tiba menangis ni? Adakah sebab aku paksa?

Budak perempuan tu jawab, tak. Tuan tak paksa saya, tapi saya nak buat satu benda yang tak pernah saya buat, dan tak teringin nak buat. Sebab itu saya takut. Saya sanggup buat ini pun sebab saya ada hajat yang besar.

Entah macam mana tiba-tiba Allah bagi satu perasaan pada budak muda ini rasa bersalah sebab ambil kesempatan terhadap orang yang dalam kesempitan.

Kemudian budak muda itu pun kata pada budak perempuan tu, kau buat ini semata-mata terdesak? Kau pergilah. Duit tu pun kau bawak sekali.

Bila budak perempuan itu pergi, budak muda ini pun kata, “Demi Allah! Aku tak akan buat perkara yang Allah murka lepas daripada ini.”

Pada malamnya, budak muda ini mati.

Pagi besok, di depan pintu rumah dia tertulis, “Allah ampunkan lelaki ini.”

Siapa yang tulis?

Wallahu a’lam.

Isi Kandungan

    Saya mulakan artikel ini dengan cerita yang saya dengar daripada Dato Ustaz Shamsuri Haji Ahmad dalam salah satu video di youtube.

    Kata Dato Ustaz;

    Tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Begitulah manusia, tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa, maka taubatlah ubatnya.

    Antara amalan yang perlu sentiasa kita ulang buat ialah taubat.

    Nak taubat macam mana?

    Kena sembahyang sunat taubat dulu ke?

    Atau cukup dengan istighfar sahaja?

    Menurut al-Syeikh Muhammad Saleh al-Munajjid dalam bukunya Aku Ingin Bertaubat, Tetapi Adakah Masih Terbuka Pintu Taubat Untuk Pendosa Ini? ada menyebutkan tentang di antara syarat-syarat taubat yang diperkatakan oleh para ulama berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran ialah:

    1. Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu.

    2. Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan-perbuatan dosa yang telah dilakukan dahulu.

    3. Berazam tidak akan melakukan kembali dosa-dosa terdahulu.

    4. Jika dosa yang melibatkan hak insan lain hendaklah dipulangkan semula hak insan tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.

    Tidak cukup dengan itu, syeikh ada letak juga syarat-syarat tambahan.

    Tinggalkan Dosa Niat Kerana Allah

    Hendaklah bukan demi perkara lain, seperti meninggalkan sesuatu dosa kerana tiada lagi kemampuan utnuk melakukan dosa tersebut atau kerana takutkan cercaan manusia kepadanya atau kerana ingin memuaskan hati manusia lainnya.

    Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu adalah kerana takutkan dosa tersebut akan terkesan atas jawatan yang dipeganginya atau takutkan bakal dibuang kerja.

    hakimdarno - syarat taubat 3

    Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa yang dilakukan itu kerana ingin menjaga kesihatan dan kekuatan badannya seperti seseorang yang meninggalkan perlakuan zina kerana takutkan penyakit yang bakal menimpanya nanti atau takutkan yang ianya bakal melemahkan badannya atau kejantanannya.

    Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan perbuatan mencuri kerana dia tidak mempunyai alatan-alatan memecah rumah atau kerana tiada kemahiran membuka peti besi atau kerana takutkan pengawal dan polis.

    Tidaklah dinamakan bertaubat jika meninggalkan meminum arak dan menghisap benda-benda yang mendatangkan gian kerana ketiadaan duit.

    Begitulah juga tidak dinamakan bertaubat jika meninggalkan dosa adalah kerana tidak mampu untuk melakukan perkara dosa tersebut seperti meninggalkan bercakap bohong kerana mendapat sakit di mulut yang menyebabkannya tidak boleh bercakap, atau penzina  yang meninggalkan zina kerana tidak mampu lagi untuk melakukan hubungan seks.

    Benci Dengan Dosa-Dosa  Yang Telah Dilakukan

    Ini kerana orang yang telah bertaubat dengan taubat yang sahih itu tidaklah boleh dia merasa suka bahkan berbangga pula dengan dosa-dosa yang dilakukannya dahulu ketika dia teringat kembali dosa-dosanya atau menceritakannya kepada orang lain ataupun ada terselit suatu niat ingin kembali melakukan dosa-dosa terdahulu itu.

    Segera Taubat Kepada Allah

    Ini kerana walaupun dia melambat-lambatkan taubat sekalipun, dia tetap perlu bertaubat juga suatu hari nanti, itu pun jikalau dia masih diberikan peluang hidup oleh Allah.

    Timbulkan Rasa Tidak Cukup Dengan Taubat Yang Kita Buat

    Ia bertujuan supaya dia dapat memperbanyakkan taubatnya kepada Allah dan janganlah dia mewujudkan rasa yakin bahawa taubatnya diterima, kerana nanti akan menyebabkan perasaan merasa selamat daripada kemarahan Allah apabila melakukan dosa.

    Buat Balik Hak-hak Allah Yang Telah Kita Tinggalkan

    Ia seperti mengeluarkan zakat yang pernah terhalang untuk dikeluarkannya dahulu ataupun melunaskan hak-hak orang fakir miskin, atau melakukan qada terhadap solat-solat yang pernah ditinggalkannya secara sengaja dahulu.

    Jauhkan Diri Kita Daripada Tempat Yang Boleh Mendatangkan Maksiat

    Ini kerana dikhuatiri dia akan kembali melakukan dosa itu disebabkan pintunya yang terbuka luas di hadapannya.

    Jauhkan Diri Daripada Insan-insan Yang Boleh Membawa Kita Melakukan Maksiat

    Perkara yang sepatutnya dilakukan bagi orang yang ingin bertaubat adalah dengan selalu duduk bersama para alim ulama adan berkawan dengan orang-orang yang soleh dan baik akhlaknya agar kehidupannya dikelilingi suasana yang baik dan agar dia terus istiqamah di atas jalan kebenaran.

    Hapuskan Segala Perkara-perkara Haram Yang Masih Wujud Dalam Simpanan

    Ia seperti benda-benda yang memabukkan, gambar-gambar lucah serta video-video lucah, pakaian yang menjolok mata, yang semestinya dia menghapuskannya atau  membakar kesemuanya, kerana kebanyakan manusia yang telah bertaubat tidak dapat beristiqamah di dalam bertaubat kepada Allah kerana masih ada lagi perkara-perkara haram ini di dalam simpanannya. Semoga Allah memberikan jalan istiqamah kepada setiap insan yang bertaubat.

    Pilih Rakan-Rakan Yang Soleh Dan Baik Akhlaknya

    Ia sebagai menggantikan rakan-rakan lamanya yang boleh mengajaknya kembali kepada dosa-dosa lama.

    Begitu juga hendaklah dia cuba menghadiri majlis-majlis zikir kepada Allah ataupun majlis-majlis ilmu yang bermanfaat agar dapat mengisi masa lapangnya dengan perkara yang berfaedah supaya syaitan tidak dapat mencari peluang membisikkan kepadanya agar teringat kembali dosa-dosa yang lama.

    Cepat Bertaubat Sebelum Al-Ghargharah

    Apakah al-Ghargharah itu? Iaitu suatu suara yang keluar daripada kerongokng di saat roh ditarik kelaur daripada jasad yang bermaksud hendaklah dia bertaubat sebelum datangnya kiamat kecil dan kiamat besar berdasarkan hadis dari Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam:

    “Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum datangnya al-Ghargharah maka Allah akan menerima taubatnya”.

    [Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak No. 7661 dan di dalam Sahih al-Jaamik al-Saghir: Sahih]

    Daripada Abu Hurairah:

    Sesiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari sebelah barat, maka Allah akan menerima taubatnya.

    [Hadis Riwayat Muslim No. 2703]

    Bangun, berilah peringatan!

    Leave a Comment