Takwa mudah dikata, susah dilaksana.
Kata Ustaz Abd Muein, perkara yang paling susah Nabi nak ubah pada masyarakat Quraish Mekah ialah cara berfikir.
Begitulah juga dengan nak ubah pemikiran kita pada hari ini.
Susah nak ubah bila kita kata bahawa pekerjaan yang terbaik ialah mengajak orang kepada Allah.
Kita lebih yakin dan percaya bahawa pekerjaan-pekerjaan tertentu yang akan memberikan jaminan rezeki kepada kita.
Contohnya kalau memilih pekerjaan yang profesional, barulah kita dapat hidup ataupun cerah masa hadapan.
Kalau kerja pendakwah ataupun ustaz akan mati kebuluran ataupun gelap masa hadapan.
Mula timbul pelbagai persoalan bila kita jadi seorang pendakwah, siapa yang nak kahwin dengan kita, bila nak baik pangkat, bila nak tukar kereta dan asyik pakai Perodua Kancil sahaja.
Betapa rosaknya pemikiran kita.
Mari kita renung semula.
Cuba tengok emak ayah kita dulu kerja apa?
Gaji mereka berapa?
Kerja kebun saja.
Kadang-kadang kebun ada hasil, kadang-kadang tidak ada.
Kira gaji tidak menentu.
Tetapi mereka tetap boleh hidup.
Malah, anak mereka lebih ramai daripada kita yang bekerja pada zaman sekarang.
Emak ayah kita hidup senang walaupun banyak kekurangan.
Naik basikal pergi ke mana-mana pun selamba saja.
Mana ada kereta dan motor.
Kalau ada pun, hanya mereka yang mampu.
Kalau kita tengok orang dulu-dulu, anak bukan sorang dua orang, ada yang 10 orang, berbelas-belas orang pun ada, tapi anak-anak hidup sihat walafiat saja.
Banding dengan kita hari ini yang kerja kerajaan.
Anak dua orang, tetapi masih risau lagi bab rezeki.
Jadi sebenarnya sumber rezeki kita bukanlah pekerjaan.
Sumber rezeki kita ialah Takwa.
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا
Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya.
[Surah at-Talaaq 65: 2]
Kalau Allah yang keluarkan kita daripada masalah, insha-Allah kita akan selamat.
Tapi kalau manusia, belum tentu lagi.
Habis itu, takkan takwa sahaja?
Tidak perlu buat apa-apa?
Pertama, yang cakap takwa itu siapa?
Manusia ke Allah? Allah.
Jadi, kenapa kita tidak yakin lagi pada Allah yang Maha Pemberi Rezeki.
Allah yang janji bukannya manusia.
Kedua, bila kita bertakwa maksudnya kita sedang bekerja.
Bekerja sebab kita taat pada perintah Allah.
Contohnya kita ambil dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9 dan 10, Allah kata apa?
Bila azan Solat Jumaat, berhenti berniaga.
Jemput baca:
Kemudian, lepas Solat Jumaat, Allah suruh sambung lagi buat kerja.
Jadi maksud takwa ialah kita bekerja mengikut cara Allah.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ فَٱسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[Surah al-Jumu’ah 62: 9-10]
Sebab itulah bila Nabi dan para sahabat bertakwa kepada Allah, sanggup buat apa sahaja sehingga tinggal pekerjaan dan juga harta.
Kemudian pergi berhijrah ke Madinah sehelai sepinggan.
Dan hasilnya kita lihat rezeki Nabi di Madinah lebih banyak berbanding rezeki Nabi di Mekah.
Rezeki Nabi melimpah sehingga tahap boleh korban 100 ekor unta.
Lihatlah betapa tingginya tahap tawakal Nabi kepada Allah.
Berbeza dengan kita, gaji kita besar tapi kita hanya korban satu bahagian je daripada seekor lembu.
Pernah atau tidak kita dengar di negara kita orang kaya yang korban 100 ekor lembu?
Tidak pernah.
Kalau ada pun korban guna duit syarikat.
Subhanallah.
Begitulah kalau kita tidak yakin kepada Allah, memang rezeki kita akan susah.
Semakin kita bergantung pada manusia, semakin susah rezeki kita.
Semakin jiwa kita tidak tenang.
Jadi ayat (وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا) itu tidak perlu dihafal atau ditampal di dinding, tetapi yang utama ialah kita jadi orang yang bertakwa.
Kita tampal ayat itu atas televisyen, tapi kita tengok rancangan yang melalaikan, jadi seolah-olah kita mempermainkan ayat al-Quran.
Bangun, berilah peringatan!