Kemungkaran mesti ditinggalkan.
Kalau kita fikir balik, agak-agak mengapa kita solat, tetapi masih buat kemungkaran?
Lepas solat, kita masih rasuah, mengumpat, menghina, maki hamun, buka aurat, curi tulang, pukul anak dan sebagainya.
Menurut Ustaz Abd. Muein, puncanya ialah tidak faham al-Quran.
Orang yang faham al-Quran pun belum tentu khusyuk, inikan pula orang yang tidak faham al-Quran.
Allah berfirman maksudnya;
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
[Surah al-‘Ankabuut 29: 45]
Ayat ini menerangkan tentang proses mencegah kemungkaran ataupun perbuatan keji bermula daripada solat.
Maksudnya kalau solat kita khusyuk, kita mampu menahan diri daripada melakukan kemungkaran.
Dan kalau kita perasan, sebelum solat Allah perintahkan kepada kita,
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ
Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu.
Apa yang kita boleh belajar daripada ayat ini?
Pertama, kita kena baca dan faham al-Quran, kemudian bila kita faham al-Quran menyebabkan kita khusyuk dalam solat seterusnya dapat mencegah diri kita daripada melakukan kemungkaran.
Jemput baca:
Oleh sebab itu, faham al-Quran dengan khusyuk dalam solat mempunyai hubungan yang sangat rapat.
Tidak boleh dipisahkan.
Yelah, bagaimana kita boleh tahu perkara yang makruf dan juga mungkar, kalau kita tidak faham al-Quran?
Bukankah semua perkara yang halal dan haram itu terkandung di dalam al-Quran?
Jadi, punca utama kita tidak khusyuk adalah tidak faham al-Quran.
Kalau kita faham, sudah pasti kita akan meninggalkan kemungkaran.
Sebab itu, kita wajib belajar tadabbur al-Quran kerana faham al-Quran adalah asas untuk kita khusyuk dalam solat.
Selagi kita tidak faham al-Quran, tidak laksanakan perintah Allah, hampir mustahil kita semua khusyuk dalam solat.
Cuba kita perhatikan ayat ini pula, kesan orang yang faham al-Quran.
Firman Allah maksudnya;
لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُۥ خَٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَمْثَٰلُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.
[Surah al-Hasyr 59: 21]
Allah buat perumpamaan ini supaya kita semua berfikir.
Berfikir tentang apa?
Mengapa Allah buat perumpamaan menggunakan gunung, tidak yang lain?
Boleh sahaja Allah kata, “Kami turunkan al-Quran atas pokok dan pokok pun tumbang.”
Boleh sahaja bukan?
Atau dengan apa-apa sahaja perumpamaan.
Tetapi mengapa gunung dan bukan makhluk yang lain?
Mesti ada sebab.
Sebabnya adalah gunung merupakan antara makhluk Allah yang paling kuat dan kukuh.
Tidakkah kamu berfikir?
Berapa lama masa yang kita perlukan untuk hancurkan gunung?
Berapa pula kos yang perlu ditanggung?
Dan berapa ramai pula tenaga manusia yang diperlukan?
Tetapi dengan al-Quran sahaja, tanpa kos, tanpa tenaga dan tanpa masa yang lama, gunung boleh meletup.
Tidakkah kita berfikir?
Agak-agak apa yang cuba Allah sampaikan kepada kita?
Allah nak beritahu kepada kita bahawa hati kita keras sangat tetapi kita tidak rasa.
Sekukuh-kukuh gunung pun boleh meletup apabila diturunkan al-Quran, inikan pula manusia yang lemah.
Kalau sedar hati kita keras, itu okey lagi.
Tapi kalau hati keras tapi tak sedar, itu bahaya kerana takut-takut hati kita sudah mati.
Tidak faham al-Quran dianggap perkara biasa.
Langsung tidak ada perasaan bersalah walau sedikit pun.
Kalau hati mati, macam mana nak faham al-Quran, kalau tidak faham al-Quran macam mana nak khusyuk, kalau solat tak khusyuk macam mana nak cegah diri daripada kemungkaran?
Renungan buat kita pada hari ini.
Bangun, berilah peringatan!