fbpx

Situasi Yang Paling Syaitan Takut

Apakah matlamat utama syaitan ganggu kita baca al-Quran?

Kita kena tahu jawapan kepada persoalan ini, kerana kalau tidak tahu, seumur hidup kita akan sentiasa ditipu oleh syaitan.

Antara jawapan-jawapan di bawah ini, yang mana satu matlamat utama syaitan?

A) Mengantuk.

B) Tertidur.

C) Riak.

D) Ujub.

E) Tidak faham.

Kata Ustaz Abd Muein, jawapannya ialah E) Tidak faham.

Matlamat utama syaitan ialah memastikan kita semua tidak faham al-Quran.

Kenapa syaitan takut sangat kalau kita faham al-Quran?

Sebab al-Quran adalah sumber hidayat manusia.

Bila kita faham al-Quran, kita mendapat keyakinan.

Bila kita yakin dan faham, kita akan mengikut petunjuk al-Quran.

Pada waktu inilah syaitan susah nak tipu kita.

Syaitan susah tipu kita bila kita faham agama, bila kita faham al-Quran dan bila kita menjadi orang yang berilmu.

Maka tipu daya syaitan yang paling utama ialah bukan tidak baca al-Quran, bukan tidak hafal al-Quran, bukan tidak khatam al-Quran, tetapi yang paling utama ialah supaya kita tidak faham al-Quran.

Dalam banyak-banyak kelas agama, kelas fiqh, kelas akidah, kelas tasawuf dan kelas tadabbur al Quran, yang mana syaitan dan orang kafir paling takut?

Kelas tadabbur al-Quran!

Jemput baca: Syaitan Akan Ganggu Orang Yang Nak Baca Al-Quran

Matlamat Kroni Syaitan

hakimdarno - situasi yang paling syaitan takut 1

Siapakah kroni syaitan?

Kata ustaz, kroni syaitan adalah orang kafir.

Syaitan dan orang kafir membuat perjanjian (MOU) bagi memastikan Umat Islam tidak faham al-Quran.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya!)”

 [Surah Fussilat 41: 26]

Jom kita tadabbur ayat ini.

Orang kafir adalah kroni syaitan, jadi apa yang syaitan nak, itulah yang orang kafir nak.

Begitu juga sebaliknya, apa yang orang kafir nak, itulah yang syaitan nak.

Satu matlamat, satu tujuan.

Mereka susun strategi.

Strategi orang kafir yang pertama ialah melarang sesama mereka atau sesiapa sahaja supaya jangan mendengar al-Quran.

Mengapa mereka melarang supaya jangan dengar al-Quran?

Sebab bila mereka dengar, mereka akan faham al-Quran.

Biasanya bila kita sebut dengar, kita nak orang itu dengar sahaja ataupun dengar dan faham?

Mestilah dengar dan faham.

Contoh kita suruh anak kita, “Tutup TV sekarang!”

Anak kita tidak tutup.

Kita suruh kali kedua, “Tutup TV sekarang!”

Anak tidak tutup juga.

Kali ketiga kita kata, “Kamu tak dengar ke?”

Sebenarnya anak kita dengar tak apa yang kita suruh?

Dengar, tapi kenapa kita kata, “Kamu tak dengar ke?”

Sebab dalam fahaman kita kalau dengar, mesti faham dan buat.

Bila anak kita tidak buat seolah-olah dia tidak dengar dan faham.

Jadi Allah kata, inilah perangai orang kafir dulu, kini dan selamanya.

hakimdarno - situasi yang paling syaitan takut 1

Strategi orang kafir yang kedua ialah (وَٱلۡغَوۡا۟)  – buat kacau.

Kata ustaz,  ketika Nabi baca al-Quran,  orang kafir bercakap sesama mereka supaya jangan dekat dengan Muhammad.

Kalau mereka dekat, mereka akan dengar, kalau mereka dengar, mereka dalam bahaya.

Tetapi, kalau Muhammad baca juga, mereka kata (وَٱلۡغَوۡا۟ ) – buat bising ataupun buat kecoh.

Apa tujuannya?

Tujuannya supaya kalau Muhammad baca pun, orang tidak boleh fokus sebab dengar suara bising.

Bila tidak fokus, mereka tidak akan faham.

Sebab itulah di akhir ayat ini, (لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ) dengan cara ini sahaja kamu (orang kafir) akan menang.

Dengan cara ini sahaja,  kamu (orang kafir) dapat mengalahkan Umat Islam.

Sebab itulah kekuatan Islam pada zaman Nabi bukan disebabkan oleh ekonomi ataupun pembangunan, tetapi kekuatan mereka ialah apabila mereka faham dan beramal dengan al-Quran.

Satu ayat, Nabi amalkan.

Satu ayat sahabat amalkan dan akhirnya orang kafir kalah.

Pada zaman Nabi, kenapa ramai orang kafir yang masuk Islam?

Sebab mereka dengar al-Quran.

Dengar sahaja mereka faham.

Bila dengar dan faham, mereka terus beriman – bertukar 180 darjah.

Contohnya Umar, sebelum beliau beriman, beliau seorang yang panas baran sehingga tahap mahu membunuh Nabi.

Tapi bila beliau faham al-Quran, jadi terbalik.

Beliau terlalu cinta kepada Nabi sehingga beliau mendengar berita Nabi wafat, beliau mahu membunuh orang itu.

Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment