Manusia yang hina di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.
Surah at-Tiin adalah antara surah kegemaran saya.
Bila kita baca surah ini, kita dapati Allah bersumpah dengan empat perkara iaitu Buah Tiin, Buah Zaitun, Bukit Tursina dan Mekah.
Dalam artikel-artikel saya sebelum ini, saya sudah kongsikan apakah hikmah Allah bersumpah dengan empat perkara tersebut.
Pada kali ini, saya nak kongsikan pula apakah yang Allah nak tegaskan di dalam surah ini.
Suka saya nak ingatkan bahawa bila Allah bersumpah di dalam al-Quran, sebenarnya Allah nak tegaskan sesuatu perkara.
Apa dia?
Cuba lihat ayat yang keempat.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
[Surah at-Tiin 95: 4]
Menurut Ustaz Abd Muein, pertama Allah telah bersumpah dengan empat perkara.
Kemudian ditambah lagi dengan dua huruf penegasan iaitu huruf lam dan perkataan qad (لَقَدْ).
Ini menunjukkan, mesej yang Allah nak sampaikan sangat besar.
Tapi, apakah mesej yang sangat besar itu?
Adakah Allah semata-mata nak beritahu bahawa Allah yang menciptakan manusia?
Oh tidak!
Untuk dapatkan penjelasannya kita kena baca ayat yang seterusnya iaitu firman Allah,
ثُمَّ رَدَدْنَٰهُ أَسْفَلَ سَٰفِلِينَ
Kemudian, Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.
[Surah at-Tiin 95: 5]
Menurut ustaz berdasarkan ayat ini, Allah bukan nak beritahu yang Dia mencipta manusia.
Sebab, kalau setakat nak beritahu yang Allah mencipta manusia, memang orang musyrikin sudah percaya.
Buktinya Allah kata dalam ayat yang lain,
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ
Pasti sesungguhnya sekiranya engkau tanya mereka, siapa yang mencipta langit dan bumi?
[Surah az-Zukhruf 43: 9]
Pasti orang musyrikin akan jawab Allah.
Jemput baca:
- Mencari Hikmah Di Sebalik Musibah Yang Berlaku
- 1 Perkara Yang Paling Menakutkan, Tetapi Manusia Tidak Takut
Jadi kalau langit dan bumi pun mereka percaya Allah yang cipta, inikan pula manusia?
Lagilah orang musyrikin percaya.
Habis itu, apa yang Allah nak beritahu sebenarnya?
Jawapan daripada ustaz sangat menyentap hati saya.
Beliau kata, sebenarnya Allah nak beritahu bahawa kepercayaan mereka (orang musyrikin) tidak boleh diterima.
Sebab apa?
Sebab kalau mereka mengakui Allah yang mencipta langit dan bumi, secara logiknya mereka akan menyembah Allah.
Tapi sekarang ini, mulut mereka mengakui Allah hebat sehingga boleh mencipta langit, tetapi mereka tetap menyembah berhala yang sangat-sangat lemah.
Jadi, Allah nak tempelak akal orang-orang musyrik, fikiran mereka yang dah rosak dan boleh dikatakan tidak waras kerana mulut kata Allah hebat, tetapi anggota badan menyembah yang lain.
Maka, sebab itulah pengakuan mereka tidak boleh diterima.
Sekarang, kita tanya pula pada diri kita.
Kita beriman atau tidak kepada Allah?
Beriman.
Kalau kita beriman, kenapa masih lagi tinggal solat?
Kita beriman atau tidak dengan hukum Allah?
Beriman.
Tetapi kenapa masih tidak tutup aurat?
Maka, kalau kita cakap lain, tapi tindakan tidak sama dengan apa yang kita ucapkan, kita sama seperti orang-orang musyrikin Mekah.
Jadi, apakah balasan Allah kepada manusia yang macam ini?
Allah akan kembalikan kita ke tempat yang paling hina.
Jadi, bila Allah kata nak kembalikan manusia ke tempat paling hina, kita kena faham, apa maksud hina itu?
Ustaz mengajak kita merujuk ayat 192 Surah ali-‘Imran.
Firman Allah,
رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُۥ ۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun.
[Surah ali-‘Imran 3: 192]
Ayat ini mengajar kita bilakah manusia menjadi hina.
Adakah bila kita miskin?
Tidak.
Adakah bila kita tidak ada duit?
Tidak.
Adakah bila kita tidak ada kerja?
Tidak.
Kita akan menjadi hina di akhirat besok apabila kita dicampakkan ke dalam neraka – na’zubillahi min zalik.
Kaya atau miskin bukanlah ukuran kita hina atau tidak, kerana yang menjadi ukurannya ialah hati kita yang beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan Allah tidak menghina kita di akhirat nanti.
رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat: sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
[Surah ali-‘Imran 3: 194]
Hinanya kita pada pandangan manusia, belum tentu lagi hina pada pandangan Allah.
Bangun, berilah peringatan!