Buatlah kerja sehingga selesai, pasti kita akan bahagia.
Nak selesaikan kerja apa?
Apa sahaja kerja – kerja rumah, kerja pejabat, kerja politik, kerja mengajar, kerja menjual, bayar bil dan sebagainya.
Kalau kita tidak selesaikan segera, pasti fikiran kita pun akan serabut.
Contohnya dalam menulis artikel.
Selagi tidak siap artikel kita ini, Allah … ada sahaja yang tidak kena.
Contoh lain, kita buat training.
Selagi belum habis program, selagi itu kita masih serabut.
Ada sahaja perkara yang belum cukup.
Kalau di dapur pula, pada waktu malam kita tidak mengemas (pinggan mangkuk tidak dibasuh), esok pagi bangun kita serabut, betul atau tidak?
Yelah kita dah goreng nasi, pinggan pula tidak ada.
Jadi, selagi kita belum siapkan kerja, sembang dengan orang pun rasa tidak seronok, nak tidur pun tidak boleh lena.
Jemput baca:
Nak ceritanya, semua kerja yang kita tidak selesaikan pada waktunya, kita akan serabut.
Suami yang bagi nafkah, bulan ini dia dah selesai bagi kepada isterinya,
“Ya Allah … rasa lega sangat”.
Tapi kalau dia belum bagi lagi, rasa serabut sahaja.
“Ya Allah! Aku tak bagi lagi duit pada isteri aku ini, nak bayar tuisyen anak-anak lagi, makan minum pun tak selesai, Allah … serabutnya”.
Jadi, selagi semua perkara ini tidak diselesaikan, kita tidak akan bahagia.
Inilah formula kebahagiaan yang kelima dalam Surah al-Insyiraah.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).
[Surah al-Insyiraah 94: 7]
Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil, perkataan (فَإِذَا فَرَغْتَ) itu membawa maksud selesaikan kerja.
Ramai orang yang tidak bahagia kerana suka tangguh kerja di pejabat, tangguh assigement dan bila balik sahaja ke rumah, bergaduh pula dengan isteri sebab sibuk buat kerja tidak habis-habis lagi.
Habis itu, macam mana nak selesaikan kerja?
Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh dengan teknologi.
Terlalu banyak gangguan.
Facebook, Instagram, Twitter, Youtube, Tik Tok, Whatsapp, Telegram dan banyak lagi ….
Tuhan sambung pada hujung ayat (فَٱنصَبْ).
Menurut ustaz lagi, perkataan (فَٱنصَبْ) membawa maksud merancang.
Orang putih kata, you fail to plan, you plan to fail.
Perkataan (فَٱنصَبْ) adalah kalimah yang disebut sebagai jalail al-iltizam – kena buat kerja baru.
Ulama sebut apa?
Buat ibadah baru.
Tapi kita ubah kepada buat kerja baru.
Bila nak buat kerja baru, memberikan isyarat bahawa kita perlu merancang.
Sebab itu perancangan kehidupan adalah faridah syariyyah – kewajipan syarie, bukan perkara sunat.
Itulah yang akan membahagiakan kita.
Kita bagi contoh, kalau kita pergi ke pusat beli belah, kita dah rancang dan senaraikan apa yang kita nak beli, maka masa kita dapat dijimatkan.
Suami tunggu sekejap sahaja di dalam kereta.
Barulah suami bahagia.
Bila kita tidak buat perancangan, ya Allah … rasa serabut sangat.
Sebab itu Imam Ghazali dalam kitab Bidayatil Hidayah, beliau cuba susun kehidupan manusia dengan merancang.
Bangun pagi kena baca al-Quran, sembahyang Duha, dan kalau ada kerja, pergi kerja.
Beliau susun kehidupan seharian.
Hari ini kita tidak bahagia kerana tidak ada perancangan dalam kehidupan.
Hari cuti berlalu begitu sahaja.
Sedangkan kita boleh susun dengan pelbagai agenda.
Jadi, kita kena jadi umat yang merancang, individu yang merancang, keluarga yang merancang.
Kita kena menyediakan senarai tugasan yang perlu dilakukan (to-do-list).
Bangun pagi sahaja, kita terus senaraikan apa yang perlu kita lakukan pada hari itu.
Kemudian, kita selesaikan mengikut senarai yang telah lakukan.
Jadi, waktu kita sepanjang hari itu akan lebih terisi dan tidak terbuang begitu sahaja.
(فَإِذَا فَرَغْتَ), bila kita selesai buat kerja dan kita rancang, kebahagiaan akan datang kepada kita.
Selagi saya tidak menyiapkan artikel ini pun saya akan serabut.
Bangun, berilah peringatan!