“Umar sayang Allah tak?”
“Sayang …”
“Papa, sayang tak?”
“Sayang …”
“Apa bukti Umar sayang papa?”
“Mmuah … abang sayang papa.”
“Cium je? Mana cukup?”
“Habis itu, papa nak abang buat apa?”
“Mana cukup cium je. Umar kena dengar cakap papa. Kalau papa suruh makan, makan. Suruh sembahyang, sembahyang. Suruh berhenti tengok handphone, berhenti. Lagi apa?”
“Minum susu!”
“Ha, kalau papa suruh minum susu, minum. Suruh tidur, tidur. Boleh Umar?”
“Boleh.”
“Okey bagus Umar, dah jom kita tidur.”
Kadang-kadang saya gunakan masa sebelum tidur untuk menasihati Umar.
Maklumlah selalunya sebelum tidur ini suasananya tenang sahaja.
Sayup-sayup orang kata.
Kadang-kadang kita pandai uji anak kita sama ada sayang kita atau tidak.
Kalau sayang, kita minta mereka buktikan dengan mendengar kata kita.
Sebagai ibu bapa pula, sejauh mana kita sayang pada Allah?
Soalan ini muncul di dalam fikiran saya apabila saya tanya soalan pada Umar tadi, “Apa bukti Umar sayang papa?”
Kita memang pandai tanya orang, kita pula macam mana?
Apa Bukti Kita Sayang Allah?
Cuba kita tengok Nabi, apa bukti Nabi cinta pada Allah?
Buktinya ialah semua perkara yang Nabi buat daripada A sehingga Z – makan minumnya, bekerja, dan solat semuanya kerana Allah.
Tidak ada satu pun yang kerana dunia.
Tidak ada satu pun yang Nabi buat kerana kepentingan dirinya.
Bahkan Nabi sanggup lapar, penat dan dimaki, demi kerana agama Allah.
Itulah bukti cinta Nabi.
Bila solat, Nabi mesti awal waktu di masjid.
Waktu malam pula Nabi solat sehingga bengkak kaki.
Sebab apa?
Sebab sayangnya Nabi kepada Allah.
Apa pula bukti cinta kita pada Allah?
Jom kita muhasabah diri.
Facebook Vs Al-Quran
Antara Facebook dengan al-Quran, mana yang lebih banyak kita habiskan masa?
Facebook.
Antara tengok Facebook dengan baca al-Quran, yang mana menunjukkan bukti cinta kepada Allah?
Baca al-Quran.
Okey yang mana satu kita banyak habiskan masa setiap hari, tengok Facebook ataupun baca al-Quran?
Tengok Facebook.
Sehari berapa jam kita tengok Facebook?
Katalah paling kurang kita habiskan 2 jam.
Baca al-Quran pula, berapa jam satu hari?
Katalah setengah jam, cukup masa untuk habiskan satu juzuk bagi orang yang sudah lancar baca al-Quran dengan baik.
Jadi, boleh atau tidak kita jadikan ini sebagai ukuran yang kita lebih cinta Facebook berbanding dengan al-Quran?
Mesti lidah kita kelu nak jawab kan?
Boleh sahaja, kita kena terima hakikat sebab kata Ustaz Abd Muein, antara tanda yang jelas kita cinta kepada Allah ialah berapa lama kita bagi masa untuk ayat-ayat Allah.
Baca al-Quran setengah jam, tapi tengok Facebook sehingga dua jam.
Itu pun tidak cukup, tambah masa lagi.
Makna kita lebih cinta Facebook daripada Allah walaupun mulut kata kita sayang Allah.
Kalau kita cinta Allah, sepatutnya lebih lama kita baca al-Quran.
Itulah hakikatnya.
Sebab itu kita kena ingat, paling kurang setiap hari kita akan baca bismillahirrahmanirrahim 17 kali.
Sebelum buat kerja pun kita baca lagi bismillahirrahmanirrahim.
Setiap hari kita akan sebut Allah Maha Penyayang dan Maha Pemurah, tapi kita tidak sayang Allah pun.
- Jemput baca: Makna Ar-Rahman & Ar-Rahim
Sayang Allah Vs Sayang Bos
Contohnya bos bagi gaji kepada kita setiap bulan RM10,000.
Kemudian dapat rumah dan kereta lagi.
Agak-agak kita sayang atau tidak pada bos kita?
Mestilah sayang.
Selalu atau tidak kita ingat pada bos kita?
Selalu, sebab bos dah banyak bantu kita.
Kalau bos yang banyak bantu kita dalam kesusahan pun kita ingat, yang Allah tolong bagaimana?
Sebab Allah bukan tolong kita sehari dua hari, tapi setiap masa.
Bagi nyawa, sihat 24 jam, makan sedap dan sebagainya.
Tiba-tiba Allah panggil kita untuk solat, kita buat tidak tahu sahaja.
Kita tidak ada masa nak baca al-Quran dan sebagainya.
Jadi cinta kita kita kepada Allah belum maksimum lagi.
Kita kena buktikan kepada Allah.
Apa buktinya?
Hidup kita betul-betul kerana Allah.
Masa kita banyak dihabiskan untuk mentaddabur ayat-ayat al-Quran.
Bangun, berilah peringatan!