Saya mulakan tahun 2023 dengan membaca buku tentang menulis.
Saya nak segarkan, bugarkan atau suburkan kembali semangat menulis saya.
Sebuah buku yang ditulis oleh Dodi Mawardi bertajuk Sebuah Buku Tentang Motivasi Menulis.
Seorang penulis daripada negara seberang iaitu Indonesia.
Beliau merupakan seorang penulis profesional yang sudah menghasilkan lebih kurang 75 buah buku.
Beliau bercita-cita mahu menerbitkan 1,000 buah buku dalam hidupnya.
(Mudah-mudahan cita-cita beliau tercapai, amin).
Topik penulisan beliau berpusing dan berputar dalam bidang komunikasi, kewartawanan, penyiaran, perguruan, jurulatih, pengacara dan sehinggalah ke bidang wirausaha (usahawan).
Semua bidang tersebut tidak lepas dari latar belakangnya sebagai seorang lulusan jurusan ilmu komunikasi.
Anda boleh berkenalan dengan lebih mendalam tentang penulis di sini: Profil Dodi Mawardi
Buku ini dalam bentuk ebook.
Saya beli di Google Play Books berharga RM4.57.
Sangat, sangat, sangat murah kan?
Tapi cukup rasa untuk membangkitkan penulis yang sedang tidur seperti saya.
Buku ini diterbitkan pada 29 Oktober 2020 dan mengandungi 174 muka surat.
Dan dalam 174 muka surat itu terdiri daripada 39 artikel yang bercampur antara artikel yang panjang dan juga pendek.
Sama seperti buku-buku yang saya pernah baca, dari segi persembahan buku ini, beberapa bab diselangi dengan kata-kata hikmah yang mampu memberikan kepada kita motivasi.
Ditambah lagi dengan gambar-gambar yang mencuit hati kita tentang apa yang beliau cuba sampaikan.
Saya akan kongsikan kepada anda beberapa isi penting yang membuatkan saya ataupun mungkin anda juga rasa nak, teruja, termotivasi untuk menulis selepas membaca buku ini.
Syarat untuk menjadi penulis ada tiga iaitu: menulis, menulis dan menulis.
~ Kuntowijoyo.
- Jemput baca: Menulis Adalah Satu Hiburan
Manusia Primitif
Menarik perumpamaan yang diberikan oleh penulis.
Sesiapa yang tidak menulis, dia adalah manusia primitif (zaman purba).
Sebab apa?
Sebab hanya manusia primitif sahaja yang tidak menulis atau mengabdikan idea, gagasan atau peristiwa bersejarah yang berlaku pada zamannya untuk dibaca oleh generasi akan datang.
Kenapa manusia primitif tidak menulis?
Dalam satu artikel yang saya baca di blog Perguruan Islam Mathali’ul Falah menyatakan salah satu tujuan penulisan adalah untuk memindahkan maklumat kepada generasi selepasnya.
Manusia primitif masih belum memerlukan tulisan kerana maklumat yang diperlukan oleh mereka dipindahkan melalui lisan secara turun temurun.
Namun lambat laun, mereka menyadari bahawa cara ini kurang berkesan.
Pertama, sebab manusia sangat mudah lupa.
Kedua, maklumat secara lisan sangat terdedah dengan kesilapan ataupun kepalsuan.
Oleh sebab itu, seiring berkembangnya zaman, manusia menciptakan tanda atau kod untuk satu makna yang diucapkan melalui lisan.
Tanda dan kod tersebut awalnya amat susah.
Sebab itulah orang-orang primitif yang dulu hidup di gua-gua memindahkan maklumat kepada generasi setelahnya melalui perantara gambar.
Tetapi akhirnya mereka sedar bahawa cara ini kurang berkesan, maka proses pemindahan maklumat berkembang dari satu zaman ke satu zaman sehinggalah terciptanya abjad seperti yang kita baca pada hari ini.
Zaman sekarang pula, ramai orang yang bercakap.
Kita pun dah tidak tahu mana satu yang kita nak dengar, hayati dan hadamkan.
Maka sebab itulah kita perlu rakam dengan penulisan.
Anda nak jadi manusia primitif?
Saya tak nak!
Maka cepat-cepat saya menulis ulasan buku ini.
Pena yang paling lemah sekalipun tetap lebih kuat dibanding ingatan yang paling hebat.
~Pepatah Cina.
Tuhan Pun Menulis
Subhanallah!
Ini pun satu sudut pandang yang saya tidak perasan.
Allah Yang Maha Mengingat pun tetap mencatat dan menulis.
Untuk mudah faham, katakanlah Allah tidak akan pernah lupa ataupun mustahil Allah lupa, buat apa Allah nak menulis lagi?
Bukankah tujuan kita menulis tadi adalah untuk mengelakkan kita lupa?
Jadi tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberikan teladan kepada kita manusia.
Kalau Allah pun menulis, kita?
Lagilah kena menulis.
Sebab, adakah kita lebih hebat daripada Allah?
Tidak.
Jadi perbuatan menulis adalah perbuatan yang sangat mulia.
Apatah lagi, apa yang kita tulis itu memberikan manfaat yang sangat besar kepada manusia yang lain.
Menulislah seperti berbicara. Menulislah seperti bernafas. Kerana menulis adalah keperluan hidup manusia.
Tidak Ada Buku Yang Sempurna
Menurut penulis, ada tiga faktor kenapa seorang penulis masih belum berjaya menerbitkan bukunya.
1. Tidak fokus.
Penulis ada membantu seorang kawannya menulis buku.
Kalau mengikut kemampuan dan pengalaman penulis, buku kawannya itu boleh disiapkan dalam tempoh dua ke enam bulan.
Tapi setahun pun tidak siap-siap.
Jadi bila penulis perhatikan, kawannya itu terlalu sibuk dengan pekerjaan.
Kawannya berkali-kali beritahu kepada penulis yang buku ini mesti disiapkan, tetapi bila tiba masa nak buat, ada sahaja kerja yang perlu dilakukan.
Saya pun dah lalui saat-saat ini.
Buku pertama saya, ditulis lebih kurang tiga tahun.
Pengalaman membantu menyiapkan buku Ustaz Abd Muein yang pertama pun lebih kurang sama, tiga tahun untuk siap.
Buku tentang perkongsian Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar pula, 2023 ini masuk tahun yang kedua (masih belum siap).
Jadi memang tepatlah isi ini kena ke batang hidung saya.
2. Malu.
Malu ataupun gelisah menulis seorang diri.
Kata penulis, kawannya itu mempunyai segudang pengalaman dan ilmu setinggi langit di dalam bidangnya.
Tetapi dia rasa tidak boleh menulis buku secara bersendirian.
Dia memerlukan kawan dalam bidang yang sama untuk menulis (penulis bersama).
Namun, ini akan menyukarkan lagi proses menerbitkan buku.
Sebab sudah pasti kawannya tadi mempunyai masalah lain yang perlu dihadapi.
3. Mahu Sempurna.
Menurut penulis, nak hasilkan sesuatu yang sempurna memang bagus dan terbaik.
Tetapi kesan negatifnya, proses menerbitkan buku jadi lama.
Malah lebih teruk lagi, akhirnya buku yang diidam-idamkan tidak pernah menjadi kenyataan.
Jadi, ada banyak lagi isi-isi penting yang ada di dalam buku ini, yang akan menolak diri anda untuk terus menulis.
Semua orang hebat masa lalu dikenang dan dihormati salah satunya kerana mewariskan ilmu, pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaannya dalam bentuk buku.
Bangun, berilah peringatan!