Apakah maksud sayang jangan sampai melayang?
Ustaz Abd Muein melontarkan persoalan, kalaulah ada emak ayah yang sanggup membiarkan anaknya terbakar di dalam api (di dunia), apa yang kita nak kata pada emak ayah ini?
Contohnya ada api yang sedang menjilat batang tubuh anaknya, tapi emak ayah buat tidak tahu saja.
Kita nak kata apa, kejam?
Tidak berhati perut?
Sampai hati?
Tidak waras?
Kenapa biarkan anak macam itu?
Tetapi secara logiknya tidak ada.
Kalau ada pun, mungkin emak ayahnya gila atau pun tidak siuman.
Sebab tidak ada emak ayah yang sanggup melihat anaknya terbakar di dalam api hidup-hidup.
Jangankan api, anak-anak kita main di bawah panas terik matahari pun kita dah bising dan marah-marah.
Jangankan api, anak-anak kita belajar dalam bilik kepanasan pun kita dah susah hati.
Kita pun pasangkan air-cond supaya mereka dapat belajar dengan selesa.
Jadi, hanya orang gila saja yang sanggup buat macam itu.
Bahkan orang gila sendiri pun tidak masuk ke dalam api, sebab tahu api itu panas.
Jadi, kalau kita tidak sanggup melihat anak kita dicampak ke dalam api di dunia, apatah lagi api di neraka?
Lebih-lebih lagi tidak sanggup, kerana api di neraka 69 kali ganda lebih panas daripada api di dunia.
Eh, ada ke emak ayah yang sanggup mencampakkan anaknya ke dalam api neraka?
Ada.
Siapa?
Maksud Sayang Jangan Sampai Melayang Adalah Tegur Anak Kita
Emak ayah yang membiarkan anak-anaknya berada di dalam kemungkaran.
Lihatlah realiti kehidupan manusia hari ini, berapa ramai emak ayah yang membiarkan anaknya dicampak ke dalam api neraka yang bahan bakarnya adalah batu dan manusia?
Kalau di dunia pun, kita dah gelarkan emak ayah tidak siuman ataupun tidak waras, inikan pula membiarkan anak-anak kita terbakar dalam api neraka.
Jadi, batu yang begitu keras dan pejal, yang tidak boleh dibakar ketika di dunia, (hatta terbakar satu hutan pun, batu masih tidak terbakar disebabkan keras dan pejalnya batu tersebut), tetapi di akhirat nanti, batu yang keras dan pejal inilah yang akan menjadi bahan bakar dalam api neraka.
Walaupun emak ayahnya nampak cerdik, berpangkat dan berpendidikan, tetapi bila membiarkan anaknya tidak solat, membuka aurat dan buat maksiat, sebenarnya inilah emak ayah yang tidak waras, dan tidak siuman.
Emak ayah ini bukan setakat tidak menjaga anak-anaknya daripada api neraka, tapi mereka juga tidak menjaga diri mereka sendiri daripada api neraka.
Yang lebih malang ialah emak ayah yang solat, puasa, pergi haji dan umrah, belajar agama, malah belajar tadabbur al-Quran pun ramai juga yang membiarkan anaknya dicampak ke dalam api neraka.
Sebab itu, Allah sayang kepada manusia, Allah sayang kepada anak-anak kita semua, maka Allah turunkan ayat ini, surah at-Tahrim ayat yang keenam.
Jemput baca:
Firman Allah,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bahan bakarannya: manusia dan batu berhala; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
[Surah at-Tahrim 66: 6]
Menurut ustaz lagi, ayat ini sangat penting dalam kehidupan kita kerana akan menentukan masa depan kita bukan sahaja di dunia, tetapi lebih jauh daripada itu, masa depan kita di akhirat nanti.
Kalau kita tidak faham dan tidak ikut apa yang telah Allah tetapkan, maka semua amalan, solat, puasa dan tadabbur kita sia sia.
Semoga Allah melindungi kita dan juga ahli keluarga daripada api dunia dan api neraka.