fbpx

Salafus Soleh Menangis Sebab Tidak Faham Al-Quran

Apa yang kita rasa kalau tidak faham al-Quran?

Di dalam al-Quran ada satu ayat yang membuatkan para salafus soleh menangis.

Menangis disebabkan keinsafan itu biasa, tetapi menangis disebabkan para salafus soleh tidak faham dengan ayat al-Quran yang dibaca.

Sungguh luar biasa!

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَتِلْكَ ٱلْأَمْثَٰلُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ ۖ وَمَا يَعْقِلُهَآ إِلَّا ٱلْعَٰلِمُونَ

Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.

[Surah al-‘Ankabutt 29: 43]

Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa Allah banyak berikan contoh perumpamaan di dalam al-Quran supaya manusia faham.

Dan Allah beritahu lagi bahawa, siapa yang tidak faham dengan contoh perumpamaan yang Allah berikan, mereka adalah orang yang tidak berilmu.

Kata Ustaz Abd Muein, orang yang berilmu dia akan faham dengan contoh yang Allah berikan.

Tetapi kalau dia tidak faham, dia adalah orang yang jahil.

Sebab itulah salafus soleh baca ayat ini dan mereka tidak faham, mereka menangis.

Mengapa mereka menangis?

Sebab mereka rasa yang Allah sedang menegur mereka.

Mereka kata, “Wahai Tuhan, kami memang orang yang jahil.”

Sebab itulah kita kena rasa kehebatan ayat Allah.

Dan tanda kita rasa kehebatan Allah ialah kita mesti faham dengan ayat-ayat Allah subahanahu wa ta’ala.

Kalau kita tidak faham, kita seperti orang jahil ataupun dalam ayat lain Allah umpamakan kita seperit keldai.

Orang Yang Tidak Faham Al-Quran Umpama Keldai

hakimdarno - Salafus Soleh Menangis Sebab Tidak Faham Al-Quran 1

Saya harap kita dapat membaca artikel ini sehingga habis supaya kita dapat tangkap mesej yang cuba disampaikan.

Ataupun kalau sudah habis baca artikel ini, masih lagi tidak berpuas hati ataupun ada sebarang persoalan, bolehlah bertanya soalan di ruang komen.

Sebab ada orang yang begitu marah apabila dia diumpamakan seperti keldai apabila tidak faham al-Quran.

Sabar dulu, jangan kita tergopoh-gapah dalam membuat penilaian.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًۢا ۚ بِئْسَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ

 (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

[Surah al-Jumu’ah 62: 5]

Pertama, yang kata ini bukan Nabi, bukan ulama, bukan ustaz, tetapi Allah.

Kedua, bila kita baca ayat ini, kita tidak tujukan kepada sesiapa melainkan diri kita sendiri.

Jadi, kita sama-sama mengingatkan.

Sama-sama mengambil peringatan.

Dalam ayat ini Allah kata, sesiapa yang diberikan kitab tetapi tidak beramal dengannya, mereka seperti keldai.

Mengapa Allah buat perumpamaan keldai?

Sebab keldai tidak tahu apa yang dia buat.

Orang letak barang di atas badannya, dia bawa saja.

Contoh kalau kita letak kitab tafsir atas keldai, kemudian kita suruh dia berjalan sehingga ke Shah Alam, dia pun jalan dan akhirnya sampai.

Bila sampai di Shah Alam kita pun tanya, “Keldai, apa barang yang kamu bawa itu?”

Pertama, mestilah keldai tidak boleh jawab.

Kedua, kalau keldai boleh jawab pun mestilah dia jawab tidak tahu.

Di sinilah signifikannya mengapa Allah umpamakan kita yang tidak faham al-Quran seperti keldai.

Contoh kita dah baca al-Quran selama berpuluh-puluh tahun.

Khatam pula sudah beratus-ratus kali.

Tetapi bila orang tanya kita, “Apa maksud ayat ini?”

Kita pun jawab, “Tak tahu.”

Jadi, ada persamaan atau tidak dengan keldai tadi?

Ada, sama-sama tidak tahu!

hakimdarno - Salafus Soleh Menangis Sebab Tidak Faham Al-Quran 2

Kalau kita buat perbandingan pula antara keldai dan orang yang tidak faham al-Quran, mana yang lebih baik?

Keldai, kenapa?

Pertama, kita boleh manfaatkan keldai untuk angkat barang.

Kedua, di akhirat nanti keldai tidak akan diazab kerana menjadi tanah.

Manakala orang yang tidak faham al-Quran, kemungkinan akan masuk ke dalam neraka kerana amalannya bercanggah dengan al-Quran.

Sebab itu di akhirat nanti orang kafir akan kata,

وَيَقُولُ ٱلْكَافِرُ يَٰلَيْتَنِى كُنتُ تُرَٰبًۢا

Dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.

[Surah an-Naba’ 78: 40]

Selepas semua binatang diadili, binatang-binatang itu menjadi tanah.

Orang kafir nampak situasi ini dan dia pun bercita-cita untuk jadi seperti binatang-binatang itu.

Ya Allah … di dunia sekarang kita sibuk nak beli tanah, di akhirat nanti kita sibuk pula nak jadi tanah.

Sebab apa?

Sebab kita tidak ikut dan faham al-Quran.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment