fbpx

Badan Berbirat, Hati Tersiat: Rotan Bukan Jalan Terbaik

Masa saya khusyuk tengok Facebook tadi, terbaca berita tentang seorang kanak-kanak yang dirotan sampai berbirat ketika solat Jumaat.

Hati saya jadi panas.

Kalau kena pada anak saya, tak tahu apa yang saya akan rasa dan buat.

Yelah, kalau rotan itu sebab anak kita buat silap, bolehlah terima.

Tapi ini main sebat sahaja.

Kes itu pun dah selesai, boleh baca di sini: Anak Dirotan Hingga Berbirat Ketika Solat Jumaat

Kes ini buat saya fikir, kita sebagai ibu bapa atau guru, selalu berdepan dengan dilema – adakah rotan itu kaedah yang sesuai untuk mendidik anak?

Didikan dengan Hikmah, Bukan Kekerasan

Dalam Islam, mendidik anak-anak adalah satu amanah yang besar.

Sebagai ibu bapa dan guru, tugas kita bukan sekadar menunjukkan apa yang betul atau salah, tetapi kita juga perlu menjelaskan kenapa.

Tetapi cabarannya ialah ramai di antara kita yang cepat merasa malas nak menghadapi soalan bertubi-tubi daripada anak-anak.

Sebab nak jawab soalan mereka itu, kita kena membaca, mendengar, dan kadang-kadang perlu hingga tahap buat kajian.

Maksudnya kena usaha lebih sikitlah.

Saya akui, ada kalanya saya sendiri pernah menggunakan rotan.

Tapi apabila saya fikir balik, kita seharusnya mendidik dengan hikmah, bukan kekerasan.

Kita perlu mencontohi cara Nabi Muhammad ﷺ mendidik.

Baginda tidak pernah menggunakan kekerasan sebagai pendekatan utama.

Kanak-kanak pada zaman baginda mengikuti arahan bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana mereka memahami dan menyayangi Baginda.

Apa Kesan Rotan Pada Anak?

Mari kita fikirkan.

Bila kita rotan anak, mungkin mereka akan dengar kata kita masa itu, tapi apa yang mereka belajar sebenarnya?

Adakah mereka faham kenapa perbuatan itu salah, atau mereka patuh kerana takut dihukum?

Lebih membimbangkan, kajian menunjukkan bahawa hukuman fizikal yang keras boleh tinggalkan kesan psikologi jangka panjang.

Anak-anak mungkin membesar dengan perasaan rendah diri, kemarahan terpendam, dan trauma.

Malah, ada kemungkinan mereka mula benci atau hilang rasa hormat kepada kita sebagai ibu bapa.

Adakah ini hasil yang kita mahukan?

Sudah tentu tidak.

Sebagai contoh, Gershoff  (2002)  telah  banyak  memberikan  pendapatnya  mengenai implikasi  hukuman  fizikal  terhadap  anak  oleh  ibu  bapa. 

Menurut  beliau, hukuman  fizikal  terhadap  kanak-  kanak  banyak  memberikan  kesan  buruk kepada  anak seperti  meningkatkan  kadar  penderaan  oleh  ibu  bapa terhadap anak, mewujudkan  sikap  anti-sosial  dalam  diri  anak  dan  lebih  utama  lagi meninggalkan  impak  yang  negatif  dalam  perkembangan  tumbesaran  anak.

Rujukan: Implikasi Hukuman Fizikal Terhadap Anak Dalam Masyarakat Melayu Johor, Malaysia

Rotan vs Disiplin yang Betul

Disiplin memang penting, tetapi itu tidak bermakna kita perlu bergantung kepada kekerasan atau hukuman fizikal.

Disiplin yang betul seharusnya datang daripada pemahaman, bukan ketakutan.

Contohnya, bila anak buat salah, jangan terus marah atau rotan.

Ambil masa untuk terangkan kenapa perbuatan itu salah dan bagaimana ia boleh diperbaiki.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu anak memahami kesilapan mereka, tetapi juga menggalakkan mereka belajar dari kesalahan dan membuat pilihan yang lebih baik pada masa akan datang.

Ada Banyak Cara Lain yang Lebih Berkesan

Jika bukan rotan, apa lagi cara yang boleh kita guna untuk mendisiplinkan anak-anak?

 Sebenarnya, ada banyak pendekatan yang lebih berkesan dan tidak melibatkan kekerasan.

Antaranya:

Ganjaran dan Pujian:

Berikan pujian atau ganjaran bila anak buat sesuatu yang baik.

Pujian yang ikhlas boleh membina tingkah laku positif dalam diri anak.

Mereka akan lebih bersemangat dan rasa dihargai.

Berbincang dan Terangkan:

Kadang-kadang, anak-anak tidak faham kenapa mereka dihukum.

Oleh itu, penting untuk kita duduk berbincang dan terangkan peraturan dengan jelas.

Ini membantu mereka memahami sebab di sebalik disiplin yang kita terapkan.

Tunjuk Contoh yang Baik:

Anak-anak belajar banyak daripada apa yang mereka lihat, bukan sekadar apa yang kita cakap.

Jika kita mahu mereka berdisiplin, kita sendiri perlu tunjuk contoh yang baik.

Mereka akan meniru tingkah laku kita.

Masjid dan Masyarakat: Perlu Jadi Tempat Selamat

Selain daripada rumah, masjid dan komuniti juga perlu menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak.

Malangnya, masih ada guru agama atau imam yang menggunakan rotan sebagai alat untuk mendisiplinkan kanak-kanak di masjid.

Ini bukan sahaja menakutkan mereka, tetapi juga boleh menjauhkan anak-anak daripada rumah Allah dan juga agama.

Sepatutnya, masjid perlu menjadi tempat di mana kanak-kanak berasa selamat, seronok, dan dialu-alukan kehadirannya.

Guru-guru agama perlu mendekati mereka dengan lembut, penuh kasih sayang, dan membimbing dengan hikmah, seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Mendidik dengan Cinta, Bukan Ketakutan

Anak-anak adalah amanah dari Allah.

Tugas kita sebagai ibu bapa adalah membimbing mereka dengan kasih sayang, bukan ketakutan.

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

Sesungguhnya, tidak akan masuk syurga orang yang tidak menyayangi.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Jika kita mahu anak-anak menghargai dan memahami agama, kita sendiri perlu tunjukkan kasih sayang dalam setiap tindakan kita.

Mereka akan lebih mudah mendengar dan mengikut jika mereka merasa disayangi dan difahami.

Kesimpulan: Rotan Bukan Jawapan

Sebagai kesimpulan, disiplin memang penting, tetapi rotan bukanlah jawapan terbaik.

Kita perlu mendidik anak-anak dengan hikmah, sabar, dan penuh kasih sayang, mengikuti contoh Nabi Muhammad ﷺ.

Anak-anak akan lebih memahami dan menghormati kita jika kita mendidik mereka dengan cinta, bukan dengan hukuman yang menakutkan.

Semoga dengan pendekatan ini, kita dapat membesarkan generasi yang berakhlak mulia dan patuh kepada agama kerana cinta, bukan ketakutan.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment