Pandemik ujian daripada Tuhan.
Sedarkah kita sepanjang dua tahun ini, kita menyaksikan makhluk nano telah menggoncang dunia makhluk besar.
Makhluk nano yang teramat kecil iaitu virus SARS-CoV-2 ataupun COVID-19 melawan dengan makhluk besar iaitu manusia.
Menurut Dato’ Dr. Danial Zainal Abidin, virus ini secara umumnya mempunyai tiga ramuan penting.
Pertama bahan genetik iaitu RNA.
Kedua lemak dan yang ketiga protein yang dikenali juga sebagai spike protein.
Inilah tiga ramuan virus.
Ada pakar sains mengatakan virus ini dianggap sebagai makhluk yang tidak hidup.
Kerana di luar sana virus ini tidak mampu mengembang biak, virus ini mati.
Tetapi, virus ini akan menyerang secara agresif bila memasuki ke dalam badan manusia.
Ketika berada di dalam badan manusia, virus ini akan menyerang dan bersilat.
Inilah makhluk pelik yang sedang kita hadapi.
Makhluk yang amat kecil tetapi mampu menggoncang makhluk besar.
Pengajaran Besar Daripada Al-Quran
Sudah pasti, ada pengajaran yang sangat besar untuk kita teladani.
Dalam al-Quran ada cerita tentang sebuah negeri di penjuru Yaman sebelum ini, Allah sebut tentang Saba’ yang hidup ataupun wujud lebih kurang seribu tahun sebelum masihi (SM).
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!
[Surah Saba’ 34: 15]
Imam Qatadah menafsirkan bahawa kebun itu teramat subur.
Suburnya kebun itu, jika seseorang memikul bakul di atas kepala tidak perlu petik pun buah tersebut kerana buahnya akan terus luruh ke dalam bakul.
Bahkan buah yang dihasilkan berkualiti tinggi.
Itulah serba ringkas cerita yang terdapat pada ayat 15.
Ayat berikutnya pula,
فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ ٱلْعَرِمِ وَبَدَّلْنَٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَىْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ
Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
[Surah Saba’ 34: 16]
Dalam ayat 16 ini, Allah mulakan dengan perkataan (فَأَعْرَضُوا۟) yang bermaksud berpaling.
Kesan daripada mereka berpaling, Allah hantarkan kepada mereka (سَيْلَ ٱلْعَرِمِ) banjir besar.
Kebun yang subur tadi musnah sama sekali.
Puncanya satu perkataan sahaja iaitu (أَعْرَضُوا۟) berpaling.
Berpaling daripada apa?
Secara umumnya, ulama menafsirkan perkataan (أَعْرَضُوا۟) itu ialah mereka berpaling daripada kebenaran.
Jemput baca:
Ayuh, Kita Reset Semula
Mari kita semua sama-sama belajar, dunia kena belajar dan Malaysia pun kena belajar – adakah ini yang sedang berlaku ke atas kita semua (kesan kita berpaling daripada kebenaran selama ini)?
Sama-samalah kita muhasabah diri.
Di saat pandemik ini bukan masa untuk kita berkelahi, melakukan maksiat ataupun melayani hiburan-hiburan yang melalaikan.
Tetapi kita kena wujudkan program-program yang mendekatkan diri kepada Allah dan masukkannya ke dalam waktu perdana (prime time).
Mari kita angkat Surah al-Anbiyaa ayat nombor 87, surah nombor 21,
وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِى ٱلظُّلُمَٰتِ أَن لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”
Ayat ini cerita tentang siapa?
Tentang Zun-Nun – sahabat kepada ikan.
Siapakah orang yang Allah sebutkan sebagai sahabat kepada ikan?
Nabi Yunus alaihissalam.
Nabi Yunus ini berada dalam perut ikan setelah baginda meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah.
Very angry with his people.
Kenapa baginda marah?
Kerana mereka menentang kebenaran.
Marah yang benar-benar marah.
Ketika marah itulah ikan paus menelan Nabi Yunus, kemudian apa yang berlaku pada Nabi Yunus?
Baginda tidak marah lagi kepada kaumnya.
Baginda tidak menyalahkan mereka dengan berkata, “Sebab kamulah saya jadi macam ini.”
Tetapi, apa yang baginda kata?
لَّآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ
Tak ada tuhan melainkan kamu ya Allah, Maha Suci-Mu. Aku yang zalim.
[Surah al-Anbiyaa 21: 87]
Baginda tidak mengutuk kaumnya.
Tetapi baginda kata “Aku”.
Inilah reset yang perlu kita lakukan.
Kita kena tuding pada diri kita masing-masing – rakyat marhaen dan semua pemimpin kena mengaku bahawa semua ini adalah “My Mistake”.
Aku ada peranan dalam pandemik ini.
Silap aku, dosa aku.
Keruntuhan akhlak aku, aku, aku, aku.
Bukannya berkata “Aku hebat”.
Tetapi, akulah di kalangan orang-orang yang zalim.
Itulah yang diajarkan oleh Nabi Yunus kepada kita.
Kalau baginda pun mengaku kesilapannya, kita lagilah perlu.
Tapi tengok ayat seterusnya, jika Nabi Yunus bukan di kalangan yang musabbihin – yang bertasbih seperti yang kita sebutkan tadi, nescaya baginda akan berada dalam perut ikan sehingga hari kebangkitan.
Diuji sehingga bila-bila.
Mungkinkah kita akan diuji sehingga bila-bila?
Mungkin.
Sebab ada pakar mengatakan norma baharu ini sehingga bila-bila.
Tapi itu juga boleh berlaku ke atas Nabi Yunus, tapi baginda beristighfar.
Mintak ampun pada Allah dan perbetulkan diri.
Sekejap saja, hilang semua.
Kata Imam Mujahid, baginda telah ditelan pada waktu pagi, kemudian petang dikeluarkan.
وَكَذَٰلِكَ نُۨجِى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.
[Surah al-Anbiyaa’ 21: 88]
Kalau kita mencontohi sikap Nabi Yunus, reset dan perbetulkan diri, insha-Allah Allah akan berikan pertolongan sepertimana Allah menyelamatkan Nabi Yunus alaihissalam.
Jom kita reset diri kita dengan mengikut formula-formula ini.
Bangun, berilah peringatan!