Tinggal beberapa hari lagi tetamu istimewa kita Ramadan akan tiba.
Sama ada kita sedia atau tidak, Ramadan tetap akan tiba juga.
Jadi, apa kata kita bersiap sedia daripada sekarang?
Sebab Ramadan akan bersama kita selama sebulan sahaja, jadi manfaatkannya!
10 tip ini asalnya disampaikan oleh Ustaz Abd Muein pada bulan Ramadan tahun 2020, mudah-mudahan Allah terus memberikan kesihatan dan kekuatan kepada ustaz untuk terus mengajar umat dan saya insha-Allah akan terus menyebarkan ilmu ini kepada pembaca semua.
Banyakkan Istighfar dan Bertaubat Kepada Allah
Tip yang pertama dan paling utama ialah banyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Ini adalah tip asas sebelum kita melakukan amal-amal soleh yang lain.
Sebab antara punca kita malas nak baca ataupun tadabbur al-Quran dan juga ibadat-ibadat yang lain adalah dosa.
Kadang-kadang kita tidak perasan pun dah buat dosa seperti kufur nikmat sihat, mata, telinga, nikmat masa dan sebagainya.
Sudahlah bulan lain kita tidak khatam al-Quran, bulan Ramadan pun kita tidak sempat khatam juga.
Jadi bertaubatlah daripada segala dosa sama ada sengaja atau tidak sengaja.
Dan ini bertepatan dengan kelebihan puasa itu sendiri iaitu mendapat pengampunan daripada Allah.
Siapa yang memelihara puasanya, diampunkan dosa.
Siapa yang mendirikan solat di malam Ramadan, diampunkan dosa.
Siapa yang mendirikan malam al-Qadar, diampunkan dosa.
Dan doa yang Nabi ajar pada ‘Aisyah juga minta diampunkan dosa.
Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang apakah yang perlu dia lakukan andai dia bertemu dengan malam Lailatul Qadar.
Lalu Baginda Nabi mengajarkan kepadanya doa ini:
اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
[Hadis Riwayat al-Tirmiz]
Selalu Ingat Ganjaran Besar Yang Allah Sediakan Untuk Orang Yang Berpuasa Di Bulan Ramadan
Apa dia ganjaran besar yang Allah sediakan untuk orang yang berpuasa di Bulan Ramadan?
Antaranya Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Semua amalan anak Adam untuknya. Allah berfirman: Kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”
[Muttafaq ‘alaih]
Allah kata, semua amalan anak Adam untuk dirinya.
Maksudnya bila kita buat baik, kita akan dapat 1 pahala, 10 pahala dan sehinggalah 700 pahala kecuali puasa.
Wow!
Betapa hebatnya ibadah puasa sehingga Allah sendiri yang akan membalasnya dan Allah tidak beritahu berapa dan apa pahalanya.
Ada lagi satu cerita tentang kelebihan orang yang berpuasa iaitu tiga orang sahabat yang pergi berjihad.
Dalam peperangan itu, ada dua orang sahabat yang mati syahid.
Seorang sahaja yang hidup dan sahabat ini sempat menikmati puasa dan solat di bulan Ramadan.
Kemudian ada seorang lelaki ini mimpi – dua orang sahabat yang mati syahid dalam peperangan tadi lewat masuk syurga berbanding dengan seorang sahabat yang sempat puasa dan solat.
Maka lelaki ini tanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah! Aku bermimpi lelaki yang mati syahid itu (dua orang) masuk syurga lambat, yang tak mati syahid pulak masuk awal, kenapa? Apa rahsianya?”
Nabi pun jawab, “Bukankah yang tak mati syahid itu, dia sempat puasa di bulan Ramadan? Dia sempat lagi mendirikan banyak solat, khususnya di bulan Ramadan. Maka beza orang yang sempat puasa dan solat di bulan Ramadan dengan orang yang mati syahid, bezanya antara langit dengan bumi”.
Jadi dengan mengingati ganjaran besar yang bakal Allah berikan ini, mudah-mudahan dapat mendorong kita berpuasa dengan lebih baik, memenuhi masa di bulan Ramadan dengan amalan-amalan yang soleh, tidak membuang masa walaupun satu saat dan seumpamanya.
Berpuasalah Daripada Perkara Yang Haram Sebelum Berpuasa Daripada Perkara Yang Halal
Maksudnya sebelum tahan diri kita daripada minum air di siang hari (yang asalnya halal, tapi bila tiba bulan Ramadan jadi haram), tahanlah diri kita dahulu daripada mengata, mengumpat, mencerca, mengeji dan seumpamanya yang memang benar-benar haram dan berdosa bila kita melakukannya.
Bulan Ramadan adalah kem latihan untuk membuang segala tabiat buruk kita sepanjang tahun.
Di sinilah keimanan kita benar-benar teruji sama ada sanggup atau tidak meninggalkan apa yang Allah tidak suka dan melakukan apa yang Allah suka.
Kalau puasa hanya setakat menahan lapar dan dahaga, itu mudah sahaja.
Hiduplah Dengan al-Quran
Jadikan al-Quran sebagai matlamat ataupun cita-cita utama kita.
Seolah-olah kita hidup untuk al-Quran dan al-Quran hidup untuk kita.
Kata Ibnu Qayyim,
“Tidak ada satu benda yang paling memberi manfaat, yang boleh menyelamatkan dan membahagiakan manusia melainkan al-Quran sahaja”.
Mulakanlah hidup kita dengan al-Quran.
Pagi, petang, siang, malam baca dan tadabbur al-Quran.
Solat malam pun kalau boleh buka al-Quran.
Ulama mengatakan (termasuk Mazhab Syafi’i ) boleh kita solat dengan membuka al-Quran di hadapan.
Lebih-lebih lagi sekarang ada ‘Stand Membaca’ untuk al-Quran.
Jadi, tidak perlu kita bergerak untuk buka tutup al-Quran.
Muka surat sebelah kanan untuk rakaat pertama dan muka surat sebelah kiri untuk rakaat kedua.
Jadi kita boleh solat lama sedikit dengan membaca ayat al-Quran yang panjang sebab matlamat kita di bulan Ramadan nanti ialah kita hidup untuk al-Quran, dan al-Quran hidup untuk kita kerana Allah.
Ada masa sahaja, kita baca al-Quran.
Kadang-kadang tengah tunggu waktu berbuka, kita baca al-Quran.
Tengah tunggu azan nak solat, kita baca al-Quran.
Tengah tunggu anak kita nak solat berjemaah, kita baca al-Quran
Penuhkan hidup kita dengan al-Quran seolah-olah al-Quran itu nyawa kita.
Kalau kita tidak baca dan tadabbur, nyawa kita menjadi lemah ataupun nazak.
- Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur?
Solat Malam
Kalau waktu lain (selain bulan Ramadan) kena solat malam, bila tiba bulan Ramadan lagilah kena solat malam.
Kenapa?
Sebab ada kelebihan khusus iaitu bulan Ramadan penuh dengan rahmat, penuh dengan keampunan, penuh dengan pembebasan daripada neraka.
Tiba-tiba kita tidak bangun malam?
Ruginya kita.
Sebab itu ulama kata,
“Siapa yang tidak bangun malam atau solat malam di bulan Ramadan, jangan harap dia boleh bangun malam atau solat malam di bulan-bulan yang lain”.
Banyakkan Sedekah Di Bulan Ramadan
Sedekah adalah sunnah Nabi.
Nabi suka bersedekah di bulan-bulan yang lain, tetapi bila tiba bulan Ramadan, lagi laju Nabi sedekah.
Bahkan dalam satu hadis, setiap kali Malaikat Jibril datang untuk bertadarus al-Quran dengan Nabi, setiap kali itulah Nabi bersedekah.
Dan sedekah yang paling baik dan utama ialah bagi makan pada orang yang memerlukan dan orang yang berpuasa.
Kenapa?
Sebab Nabi kata,
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa”.
[Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi]
Maksudnya kalau kita bagi makan 10 orang yang berpuasa, kita akan dapat pahala puasa 10 orang, campur diri kita sendiri 11.
Tanpa dikurang sedikit pun pahalanya.
Kalau orang yang kita bagi makan itu dapat 50 pahala, kita pun dapat 50 pahala, bukan 48.
Orang yang bertakwa selalu memikirkan orang-orang yang memerlukan, bukan memikirkan perutnya sahaja.
Kurangkan Makan
Nabi sepanjang masa, tidak pernah cukup makan ataupun makan, tetapi tidak kenyang.
Ada riwayat mengatakan Nabi kenyang 2 hari sekali.
Dan ini sunnah Nabi – kehidupan Nabi, makan minum Nabi, bulan lain dengan bulan Ramadan sama.
Jadi, bila kita makan lebih banyak di bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain, kita dah terpesong daripada takwa.
Seolah-olah kita jadikan bulan Ramadan ini bulan makan, bukan bulan takwa.
Kalau kita nak jadikan bulan Ramadan bulan takwa, kena kurangkan makan.
Sebab itu Nabi sebut dalam satu hadis,
Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya”.
[Musnad Ahmad. No. 17186. Sunan at-Tirmizi. No. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmizi]
Jadi kalau kita nak penuhkan bekas apa sahaja, penuhkanlah.
Tetapi jangan penuhkan bekas (perut) kita dengan makanan sebab Nabi kata itulah bekas yang paling buruk.
Dan ingat juga pesan Luqman kepada anaknya,
“Wahai anakku, bila perut kamu penuh, fikiran kamu mati – tidur. Dan hikmah kebijaksanaan kamu jadi tumpul. Dan anggota badan kamu menjadi malas untuk beribadat”.
Maksudnya kalau perut kita penuh dengan makanan, ada tiga kesan buruk iaitu:
1. Fikiran jadi tidak tajam.
2. Kebijaksanaan kita tumpul.
3. Anggota badan kita malas untuk beribadat.
Lihat pengalaman kita pada bulan-bulan Ramadan yang lepas, bila kita pulun makan ketika berbuka, bukan solat malam, solat terawih pun kita dah tumbang.
Puncanya makanan.
Jadi kata Ustaz Abd Muein, tip ini (kurangkan makan) boleh jadi tahap wajib.
Kalau tidak pun, biarlah jumlah makanan kita sama dengan bulan-bulan yang lain sebab Ramadan bukan bulan makan, tetapi bulan takwa.
Banyakkan Doa Di Bulan Ramadan
Terutamanya doa yang dibaca oleh Aisyah,
اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
[Hadis Riwayat al-Tirmiz]
Dan satu lagi doa yang panjang tetapi penting iaitu,
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجَلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي
Ya Allah sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba laki-lakiMu, anak hamba perempuanMu, ubun-ubunku berada di tanganMu, hukumMu berlaku pada diriku, ketetapanMu adil atas diriku, aku memohon kepadaMu dengan segala nama yang menjadi milikMu, yang engkau namakan diriMu dengannya, atau engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu, atau yang engkau rahasiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisiMu. Agar engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya bagi dadaku dan penghibur kesedihanku serta pelenyap bagi kegelisahanku.
Selama ini kita liar dengan al-Quran.
Kadang-kadang kita tidak sempat baca.
Kalau sempat baca pun sekejap dan tidak faham.
Jadi, biarlah al-Quran ini menjadi makanan harian kita.
Tengok al-Quran sahaja, nak baca.
Bila baca pula, tidak mahu berhenti.
Jangan Buang Masa
Jangan buang masa di bulan Ramadan kerana bulan Ramadan sangat bernilai.
Kalau sebelum ini kita pernah buang masa, maka bertaubatlah seperti tip yang pertama.
Bulan Ramadan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain.
Bulan Ramadan penuh dengan rahmat dan juga keberkatan Allah.
Jadi, jangan buang masa walaupun satu saat.
Iktikaf di 10 Akhir Ramadan
Tiga perkara yang Nabi buat pada pecutan terakhir di bulan Ramadan.
Pertama, Aisyah kata; “Bila masuk 10 akhir ramadan, Nabi kemaskan kainnya”.
Maksudnya jauhkan diri daripada isteri.
- Jemput baca di sini: Maksud Nabi Mengetatkan Kain
Nabi jauhkan juga daripada para sahabat, tidak ada hubungan sesama manusia.
Kedua, Nabi hidupkan malam dengan ibadat.
Ada riwayat mengatakan Nabi tidak tidur pun pada 10 akhir Ramadan.
Ketiga, Nabi kejutkan ahli keluarganya untuk sama-sama berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Lailatul Qadar di 10 akhir Ramadan.
Penutup
Semoga bulan Ramadan kali ini menjadi bulan Ramadan yang terbaik untuk kita.
Dan akhir sekali, semoga kita mendapat Lailatul Qadar, takwa dan keampunan Allah subhanahu wa ta’ala.
Bangun, berilah peringatan!