Orang yang baca al-Quran tetapi tidak faham, Allah umpamakan seperti orang pekak yang mendengar al-Quran dan orang buta yang membaca al-Quran.
Dengarlah dan bacalah al-Quran 30 juzuk sekalipun, kita tidak akan faham kerana memang kita tidak mampu mendengar dan melihat apa-apa, apatah lagi untuk faham.
Jadi, mahu atau tidak, kita orang beriman kena faham al-Quran melainkan kita benar-benar pekak dan buta.
Nampak macam kasar, namun itulah hakikatnya.
Bayangkan kita mendengar dan melihat kebesaran Allah di hadapan mata, tetapi kita buat tidak tahu sahaja.
Inilah yang dilakukan oleh Bani Israil dahulu.
Kita seperti mengulangi sahaja apa yang telah mereka lakukan.
Bukankah kita membaca sejarah untuk mengambil ibrah?
Bani Israil dahulu hidup dalam ketakutan di bawah pemerintahan Firaun dan juga tenteranya.
Anak-anak lelaki disembelih hidup-hidup dan anak-anak perempuan pula hidup dalam keadaan hina.
Lalu, Allah selamatkan mereka dalam satu peristiwa yang sangat dahsyat iaitu laut terbelah dua.
Menurut Ustaz Abdul Muein, laut menjadi darat 12 kali ganda luas lebuh raya.
Subhanallah!
Mereka melihat sendiri kebesaran Allah betul-betul di hadapan mata mereka, tetapi mata mereka buta, tidak rasa kebesaran Allah.
Mereka melihat bagaimana Firaun dan bala tenteranya tenggelam lemas dan mati, tetapi langsung tidak berterima kasih kepada Allah.
Bahkan hati mereka tetap keras.
Selepas peristiwa laut terbelah, mereka pun meneruskan perjalanan.
Kemudian, dalam perjalanan mereka melihat satu kaum yang menyembah berhala, lalu mereka minta kepada Nabi Musa berhala juga supaya dapat menyembah seperti kaum tersebut.
Inilah yang Allah umpamakan seperti orang yang pekak dan buta.
Begitu juga yang berlaku kepada orang Quraish Mekah.
Allah selamatkan mereka daripada Tentera Abrahah yang begitu besar dan kuat.
Tentera Abrahah datang ke Mekah untuk menghancurkan Kaabah.
Namun, diselamatkan oleh Allah.
Allah tunjuk kebesaran-Nya di hadapan mereka dengan menghantar burung-burung yang kecil dan batu-batu yang paling kecil dan Tentera Abrahah pun hancur seperti daun yang tidak nampak rupa asalnya.
Tetapi kebesaran Allah di hadapan mata mereka, tidak menjadikan mereka sedar, apatah lagi mahu kembali kepada Allah, begitulah degilnya manusia.
Jadi, kita tidak perlu hairan dan pelik sekiranya manusia pada hari ini tidak mendengar arahan kerajaan supaya duduk di rumah bagi menghentikan rantaian wabak covid-19.
Peringatan Allah pun kita buat pekak dan buta inikan pula peringatan daripada manusia.
Kata ustaz, kita ini manusia hipokrit.
Kenapa? Ada manusia tidak mendengar langsung arahan Allah mahupun manusia.
Yang ikut arahan pula, hanya ikut arahan manusia sahaja berbanding arahan Allah.
Kita akan ikut sahaja walaupun menyusahkan diri kita.
Sanggup kita tidak keluar rumah dalam tempoh yang lama, tidak pergi kerja walaupun itulah punca rezekinya.
Kena pakai topeng pergi ke mana-mana, jarakkan diri, tulis nama dan cek suhu setiap kali pergi kedai dan sebagainya.
Kita sanggup buat apa sahaja demi untuk selamatkan nyawa kita di dunia.
Tetapi, peringatan Allah yang begitu banyak saban hari, kita tidak patuh.
Contohnya Allah perintahkan kita tutuplah aurat supaya selamat.
Selamat daripada apa ini?
Bukan selamat daripada wabak covid-19, tapi nak selamatkan diri daripada bahaya yang lagi besar iaitu api neraka jahanam.
Jangan kita ulangi sikap Bani Israil dan juga Orang Kafir Quraish.
Lihatlah betapa hebatnya kebesaran Allah, melalui corona virus yang begitu halus dan tak nampak oleh mata kasar menyebabkan manusia takut di seluruh dunia.
Jemput baca:
Virus yang mampu menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit.
Industri pelancongan dan ekonomi sesebuah negara hampir lumpuh.
Berapa ramai manusia yang berada dalam ketakutan, tidak boleh pergi bekerja, tidak boleh makan, hanya disebabkan oleh virus yang halus dan tidak nampak ini?
Namun, kita masih belum nampak kebesaran Allah.
Perumpamaan Yang Allah Sebut Dalam al-Quran
Maka Allah kata di dalam al-Quran,
وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّآ أَمَانِىَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
[Surah al-Baqarah 2: 78]
Ayat ini menceritakan kepada kita bahawa ada sebahagian ahli kitab, mereka adalah buta huruf.
Apa maksud buta huruf?
Kita sangka buta huruf ialah orang yang tidak boleh membaca dan menulis.
Tetapi menurut ustaz, perkataan (أُمِّيُّونَ) dalam ayat ini bukan bermaksud tidak boleh membaca dan menulis, malah mereka boleh membaca, boleh menulis, tetapi mereka ini (لَا يَعْلَمُونَ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّآ أَمَانِىَّ) – mereka baca kitab tapi tak faham kecuali cerita dongeng-dongeng.
Mereka tidak tahu tentang kitab yang mereka baca, melainkan mereka sangka-sangka.
“Saya rasa ayat ini maksudnya macam ini. Saya rasa hukumnya macam ini. Semuanya tidak berdasarkan ilmu dan kefahaman.”
Jadi, Allah mencela orang yang baca kitab tapi mereka tidak faham.
Inilah virus yang paling bahaya sebenarnya.
Allah telah berikan peringatan dalam 30 juzuk al-Quran, dalam 6236 ayat, tetapi ramai manusia yang tidak peduli dan tidak kisah.
Mudah-mudahan kita menjadi orang yang celik dan cakna.