fbpx

1 Perkara Yang Paling Menakutkan, Tetapi Manusia Tidak Takut

Dalam satu artikel yang saya baca di internet, ada 7 ketakutan terbesar yang di alami oleh hampir semua orang iaitu takut mati, takut gagal, takut ditolak, takut gelap, takut ketinggian, takut kehilangan, dan takut miskin.

Saya bercadang nak tambah satu lagi takut yang perlu kita ada.

Dan takut ini lebih penting daripada semua takut yang telah disebutkan tadi iaitu takut dosa.

Kata Ustaz Abdul Muein, perkara yang sepatutnya orang beriman takut ialah dosa.

Sebab Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam sebut di dalam satu hadis sahih Riwayat Bukhari;

Maksudnya daripada Abdullah Ibn Masud, daripada Nabi salla Allah alaih wa sallam bersabda, “Sesungguhnya orang beriman akan melihat dosanya seumpama dia berada di bawah gunung dan gunung itu akan menghempap ke kepalanya.”

Kita cuba bayangkan tengah kita memandu kereta, tiba-tiba ada batu konkrit jatuh daripada atas seperti yang berlaku berdekatan dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) satu masa dahulu.

Habis remuk kereta itu, alhamdulillah pemandunya selamat.

Minta dijauhkan.

Begitulah sepatutnya orang beriman tidak akan pernah tenang dengan dosa yang dilakukan.

Sentiasa berjaga-jaga.

Kita tidak boleh tenang kalau ada ahli keluarga kita yang tidak solat, buka aurat dan segala maksiat yang lain.

Kita juga patut risau kalau solat lambat seperti mana kita risau jika punch card kita berwarna merah.

Kemudian Nabi sambung lagi,

“Orang yang berdosa melihat dosanya hanya seumpama lalat yang datang kemudian ditepis dengan tangan, seolah-olah tidak ada apa apa.”

Inilah yang kita kena berhati-hati.

Bila kita membuat dosa dan mula tidak merasa apa-apa, berjaga-jagalah sebab kata ustaz, ini adalah ciri orang munafik.

Wanita Yang Takut Dengan Dosa

hakimdarno - 1 perkara yang paling menakutkan tetapi manusia tidak takut 1

Ustaz membawa kisah seorang wanita di zaman Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam yang ditimpa musibah iaitu penyakit sawan.

Pada satu ketika dia kena penyakit sawan dan dia tidak sedar yang auratnya terbuka.

Maka dia berjumpa dengan Rasulullah dan minta pada Baginda tolong berdoa,

“Wahai Rasulullah, aku ada penyakit yang menyebabkan aurat aku terbuka, maka boleh tak engkau berdoa untuk aku supaya Allah hilangkan penyakit ni, supaya aurat aku tidak terbuka.”

Cuba kita lihat wanita ini, begitu takut wanita ini kepada dosa, maka dia minta doa daripada Nabi, bukan untuk menyembuhkan penyakit, tapi untuk mengelak daripada membuka aurat ataupun auratnya terbuka.

Dia bimbang dengan dosa tersebut akan menyebabkannya dia dicampakkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Maka, Nabi pun memberikan dua tawaran.

Pertama, sembuh penyakit, tetapi tidak ada jaminan syurga.

Jemput baca:

Tawaran kedua, kekal dengan penyakit, tapi dijamin syurga yang  kekal abadi.

Subhanallah!

Kata ustaz, lihatlah bagaimana Nabi mendidik para sahabat ataupun seorang wanita yang walaupun hitam, tapi Nabi mendidik mereka supaya menjadilah orang yang berakal.

Menjadi orang yang bijak memilih.

Maka wanita ini memilih untuk sabar dengan penyakit.

Maka dengan sabar itu, dia akan mendapat syurga.

Itulah bayaran yang perlu dilakukan bagi mendapatkan syurga.

Jadi yang menjadi masalah sebenarnya bukan penyakit atau musibah.

Tetapi tentang dosa dan pahala.

Sambung ustaz lagi, cuma wanita ini minta juga doa daripada Nabi, kalau yang mula-mula tadi, dia minta supaya dihilangkan penyakit, tapi sekarang dia minta supaya dia tidak melakukan dosa.

“Wahai Rasulullah! Tolonglah doa kepadaku, supaya bila datang penyakit ini, aurat aku tidak terbuka, maka Nabi pun berdoa, dan bila datang penyakit, auratnya tidak terbuka.”

Subhanallah!

Begitulah takutnya orang yang beriman kepada dosa lebih daripada takut kepada penyakit.

Sebab dia tahu, musibah yang paling besar bukan penyakit.

Musibah yang paling besar ialah dosa kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Oleh kerana sabarnya terhadap musibah itu, maka dia dijamin syurga oleh Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam.

Kagum dengan wanita tersebut.

Eh, jangan kagum sahaja, kena contohi dia!

“Ya Allah aku memohon rasa takut kepadaMu yaa Allah, dalam keadaan aku bersendirian dan di hadapan orang ramai.”

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment