Tafsir dan Tadabbur adalah dua peringkat yang perlu kita lalui dalam memahami al-Quran.
Sebelum kita meneliti perbezaan tafsir dan tadabbur, mari kita lihat dahulu bagaimana al-Quran berfungsi atau berperanan dalam hidup kita.
Seperti mana yang kita tahu bahawa al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia.
Petunjuk yang akan membawa manusia berjaya di dunia dan akhirat.
Al-Quran Adalah Petunjuk Manusia Sepanjang Zaman
Kita umpamakan al-Quran seperti aplikasi Waze (sekadar contoh untuk kita mudah faham).
Hidup di zaman yang serba canggih ini, jika kita ingin pergi ke suatu tempat namun kita tidak tahu jalannya, kita akan menggunakan aplikasi Waze.
Kita taip sahaja tempat yang ingin dituju, maka Waze akan membawa kita ke sana.
Ia memberi petunjuk kepada kita jalan mana yang perlu kita lalui, jalan mana yang tidak sesak, jalan mana yang tidak banyak lampu isyarat dan sebagainya, siap dengan masanya sekali.
Begitu juga dengan al-Quran.
Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia mana satu yang halal dan mana satu yang haram.
Jalan mana yang perlu diikuti dan jalan mana yang perlu dielakkan.
Apa yang paling penting ialah al-Quran memberikan petunjuk kepada kita untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan di zaman yang penuh dengan fitnah akhir zaman.
Bagaimana kita kagum dengan aplikasi Waze yang memudahkan perjalanan kita, begitu juga dengan al-Quran kerana al-Quran adalah kitab mukjizat.
Mukjizat adalah satu perkara luar biasa yang hanya berlaku kepada para nabi dan rasul.
Contoh mukjizat seperti Nabi Musa dengan tongkatnya yang bertukar menjadi ular, Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dengan peristiwa bulan terbelah dua dan banyak lagi kisah-kisah luar biasa itu diceritakan di dalam al-Quran dan juga hadis.
Maka sebab itulah kita perlu memahami al-Quran kerana Allah telah menyediakan pelbagai petunjuk, cara, panduan dan seumpamanya untuk kita keluar daripada masalah kehidupan.
Namun, dalam usaha kita memahami al-Quran, kita akan bertemu dengan dua perkataan ini iaitu Tafsir dan Tadabbur.
- Jemput baca: Apakah Maksud Tadabbur?
Apakah Perbezaan Di Antara Tafsir dan Tadabbur?
Jawapan ini saya kutip daripada Ustaz Syaari Ab Rahman dalam “Seminar Tadabbur Hikmah Juzuk ‘Amma”.
Beliau mengumpamakan Tafsir dan Tadabbur ini seperti sebiji durian.
Tafsir adalah satu usaha untuk mengupas kulit durian bagi mengesahkan ‘kedurianannya’.
Kupas dan kupas supaya mengetahui apa yang ada di dalam.
Sama juga dengan ayat al-Quran, kita kena kupas kalimah demi kalimah supaya dapat mengetahui apa mesej yang Allah nak sampaikan kepada kita.
Kita mungkin boleh bergantung kepada terjemahan, sebab ada terjemahan yang sudah memasukkan elemen tafsir, namun sangat sedikit.
Jadi, kita tidak boleh buka sedikit, kena buka banyak supaya kita dapat tahu keseluruhan mesej yang ingin disampaikan oleh al-Quran.
Tadabbur pula berasal dari perkataan ‘da ba ra’ yang membawa maksud sesuatu yang berada di hujung sekali.
Apabila kita lihat durian, adakah kita ingin melihatnya sahaja?
Sudah pasti kita akan merasai durian tersebut sehingga menjilat jari.
Kemudian takkan makan seulas sahaja?
Takkan sebiji sahaja?
Paling kurang mesti nak menikmati dua ke tiga biji.
Jadi Tadabbur adalah menikmati kemanisan durian selepas ia dikupas.
Contoh Tafsir dan Tadabbur
Contoh dalam Surah al-‘Aadiyaat 100:1,
وَٱلۡعَـٰدِيَـٰتِ ضَبۡحً۬ا
Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya.
Jika kita merujuk terjemahan al-Quran, ada terjemahan yang tidak terus sebut kuda perang.
Jadi bagi mengetahuinya kita perlukan ilmu Tafsir.
Kita kena tanya orang arab pada zaman dahulu apakah binatang yang berlari dengan pantas sehingga nafas tercungap-cungap?
Adakah unta? Kambing? Atau kuda?
Jawapannya kuda perang.
Ini bermaksud jika terjemahan itu terus menyebut kuda perang bermaksud terjemahan itu mempunyai elemen Tafsir.
Bagaimana pula dengan Tadabbur?
Kita cuba sedaya upaya mengaitkan ayat ini dengan diri kita sendiri.
Contohnya timbulkan persoalan seperti apa kaitan saya dengan kuda perang?
Jika kita lihat kuda perang, ia memiliki sifat segera menyahut seruan tuannya apabila diperintahkan untuk berperang sehingga memercikkan api dari kakinya.
Adakah saya juga segera menyahut seruan Allah apabila terdengar panggilan azan atau saya memilih untuk menangguhkan?
Dalam bahasa yang mudah ialah sedangkan kuda perang itu pun segera menyahut seruan tuannya, inikan pula manusia yang mempunyai akal untuk berfikir, masih lagi melambat-lambatkan seruan tuhannya dengan mendahulukan kerja lain.
Kata Ustaz Syaari lagi, orang Arab memang mahir dengan pelbagai ilmu bahasa dan sastera Arab, termasuk ilmu Munasabah itu sendiri.
Namun demikian, kepakaran dalam memahami makna-makna al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab belum tentu menunjukkan pakar-pakar bahasa Arab dengan segala rentak tarinya itu telah melakukan Tadabbur.
Kumpulan munafiqun di Madinah mahir dengan bahasa Arab.
Kaum kafir di Makkah mahir dengan bahasa, sastera dan syair-syair Arab.
Namun yang membezakan pakar-pakar bahasa itu dengan para sahabat seperti Bilal bin Rabah r.a dan Salman al-Farsi r.a adalah tadabbur mereka kepada ayat-ayat Allah meskipun mereka bukan berbangsa Arab.
Tafsir adalah proses, Tadabbur adalah matlamat.
Tafsir perbuatan intelektual, Tadabbur perbuatan emosional.
Tafsir untuk menambah ilmu, Tadabbur untuk menambah amal.
Tafsir untuk mereka yang berkeahlian, Tadabbur tuntutan kepada semua kaum Muslimin tanpa pengecualian.
Tafsir untuk mengajar orang lain dengan pengetahuan yang sebanyak mungkin dapat dicapai, Tadabbur untuk memuhasabah diri sendiri sekadar termampu untuk difahami dirinya sendiri.
Kesimpulannya ialah Tafsir merupakan salah satu cara untuk kita Tadabbur atau memahami ayat al-Quran dengan lebih mendalam.
Manakala Tadabbur pula boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti Tafsir, kaitkan surah sebelum dan selepas, kaitan ayat sebelum dan selepas, tema surah, kaitkan dengan sirah Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam dan banyak lagi.
Satu ayat sahaja jika dilakukan Tadabbur pada makna ayat berkenaan, seseorang boleh mendapat hidayah dari Allah.
Menguasai sebuah kitab sekalipun namun tidak dilakukan Tadabbur, seseorang boleh diperumpamakan sebagai “al-Himar” sebagaimana Ahlul Kitab di dalam Surah al-Jumu’ah.
Sekiranya seseorang itu memasuki proses tafsir dengan lebih mendalam dengan segenap keahlian dalam bahasa Arab, menyingkap rahsia-rahsia bahasanya dan kemudiannya tidak meninggalkan tuntutan Tadabbur pada setiap makna baru yang diperolehinya, pada waktu inilah kedalaman ilmunya mengenai makna-makna ayat Kitabullah membawanya kepada satu perasaan yang tidak boleh lagi diungkapkan dengan perkataan, bahawasanya ini adalah kalam Allah yang benar-benar ditujukan kepada dirinya.
Semoga bermanfaat.
Assalamualaikum Ustaz. Apa pandangan Ustaz tentang Aplikasi Think Quran ini⤵️
https://bit.ly/Nak-Cuba-TQ-Free
Ramai kami tak tahu Bahasa Arab. Tak faham apa yang kami baca. Jadi kami cuba untuk buat satu Aps yg membolehkan kami faham erti perkataan Arab dalam Quran. Mohon Ustaz cuba dan beri komen ya.
Waalaikumussalam Tuan Affendi. Ada pernah tengok dan dengar tentang aplikasi Think Quran sebelum ini. Pelajar dalam kelas ada kongsi dalam group whatsapp. Tapi saya belum sempat godek lagi. Tengok sepintas lalu macam menarik. Nanti saya cuba dulu ya. Tuan ke yang buat aplikasi ni?