Salah satu perkara yang selalu buat kita pening ialah bagaimana kita menguruskan masa setiap hari.
Terutamanya bagi orang yang bekerja sendiri seperti saya.
Hati saya selalu menyesal, “Apalah yang aku buat hari ini, satu kerja pun tak siap”.
Dalam hidup kita ini, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan.
Kita pening nak buat yang mana satu dahulu.
Kejap nak buat itu, kejap nak buat ini.
Tidak konsisten dan tidak sistematik.
Jadi kalau kita berterusan macam ini, tidak akan ada kemajuan dalam hidup kita nanti sebab banyak kerja yang akan tertangguh.
- Jemput baca: Cara Mengatasi Sikap Suka Bertangguh
Bagaimana Nak Selesaikan Masalah Pening Menguruskan Masa?
Pertama sekali, kita kena faham bahawa jangan bergantung pada motivasi dalam melakukan sesuatu perkara.
Sebab motivasi ini umpama emosi.
Ia boleh datang secara tiba-tiba dan ia juga boleh hilang secara tiba-tiba.
Habis itu, kita nak buat macam mana?
Jangan bergantung pada motivasi, tapi kena disiplinkan diri!
- Jemput baca: Bahagia Bila Semua Kerja Selesai
Kita kena buat satu jadual aktiviti harian, mingguan, bulanan dan tahunan kita.
Bila ada jadual kerja yang sistematik, barulah hilang pening kita.
Kemudian, cuba sehabis baik melaksanakan apa yang telah kita rancang.
Fokus pada kerja yang paling utama dan yang memberi kesan besar dalam hidup kita.
Ingat, jangan buat banyak perkara dalam satu masa kerana akan memeningkan kepala kita.
Jom, kita buat satu persatu.
1. Buat senarai semak kerja.
Strategi ini selalu kita dengar dan pernah buat pun cuma tidak konsisten.
Kejap buat, kejap tidak buat.
Jadi lepas ini, kita kena konsisten buat senarai semak kerja untuk memudahkan kita menguruskan bebanan kerja.
2. Mulakan hari dengan sekurang-kurangnya dua jam kerja kita yang utama (deep work), kemudian barulah kita melakukan kerja-kerja kita yang lain.
3. Jangan buang masa kita waktu pagi dengan menyemak E-mel, Whatsapp, Telegram atau mahu membuat status di Facebook.
Sebaliknya, gunakan masa ini untuk buat kerja utama kita (deep work).
Contohnya membaca, mencatat nota, menganalisis, menyelesaikan masalah, menulis buku, blog, konten dan seumpamanya.
Nota: Kadang-kadang kita dah khusyuk baca buku, tiba-tiba terjumpa satu ayat yang menarik dan betul-betul kena pada diri kita, kita pun berhenti baca buku dan terus kongsi di Facebook. Bila dah kongsi di Facebook, mestilah kita nak tengok ada orang Like, Comment atau Share. Pejam celik, dua jam kita dah buang masa di situ.
Jadi berhati-hati.
Tahan nafsu dan sabar dahulu untuk kongsikan kapsyen yang kita tertarik itu.
Kita boleh simpan dahulu, dan kongsi pada waktu tengahari nanti, satu.
Yang kedua, kita membaca bukan untuk buat konten semata-mata, tetapi sebenarnya untuk menjadikan kita orang yang lebih baik.
4. Jangan dengar berita semasa membaca e-mel atau mencatat nota sebab kita tidak akan mampu fokus.
Lebih baik buat satu-persatu.
Ini paling pantang sekali – jangan buka media sosial jika ada kerja yang perlu kita siapkan (ada dead line).
5. Matikan telefon bimbit atau apa sahaja yang boleh mengganggu kerja kita sebab otak kita mengambil masa 20 minit secara purata untuk kembali fokus pada kerja yang sedang kita lakukan.
Jadi kalau asyik berhenti sahaja, macam mana kerja yang kita lakukan nak siap dan berkualiti.
6. Sediakan masa untuk proses ilmu baru yang kita terima.
Setiap hari, kita akan terdedah dengan banyak maklumat.
Jadi, kita kena sediakan satu masa khas untuk memproses setiap maklumat yang kita terima.
Berdasarkan pembacaan saya, bila kita memberi masa berhenti seketika untuk merenung, otak kita mampu menyusun maklumat secara tersusun atau sistematik, membuat kaitan di antara satu sama lain, menghafal data dan mengingatinya apabila diperlukan.
- Jemput baca: Kertas-kertas Yang Merubah Fikir
7. Ambil rehat yang kerap.
Melangkah keluar daripada tempat kerja kita selama 10 minit untuk menghirup udara segar, atau melakukan sesuatu yang tidak berkaitan dengan kerja kita seperti mendengar muzik, makan snek, minum segelas air atau secawan kopi ataupun teh.
8. Keluar untuk bersenam.
Tidak semestinya perlu senam yang berat-berat, boleh sahaja kalau kita mahu berjalan kaki selama 20 minit sama ada sebelum rehat, selepas makan tengah hari, atau pada awal petang.
Ini akan memberi peluang pada otak kita untuk memproses dan menyerap apa sahaja maklumat ataupun ilmu yang telah kita terima sepanjang hari.
9. Dapatkan tidur yang cukup.
Menjadi produktif tidak bermakna berjaga sepanjang malam.
Hasil pembacaan saya, kekurangan tidur dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan otak kita tidak dapat berfungsi pada tahap yang optimum.
Tapi bagi saya, bergantung juga pada seseorang.
Kalau pengalaman saya sendiri, memang kurang tidur akan menyebabkan saya kurang produktif.
Ada yang mencadangkan 7-8 jam, tapi bagi saya 5 jam pun sudah mencukupi.
Matikan komputer ataupun telefon sejam sebelum tidur dan isi masa dengan membaca buku ataupun zikir yang diajarkan oleh Nabi.
Selamat mencuba!