Dalam mukaddimah bukunya yang bertajuk Catatan Seorang Da’i Pengalaman Sebaik-Baik Guru, Dr. Nidzam Abdul Kadir kongsikan bahawa nasihat ialah unsur yang penting dalam Islam.
Nasihat juga memberikan satu impak positif jika kena cara dan penerimaannya.
Pengalaman hidup juga satu perkara yang cukup penting.
Sudah pasti beliau telah melalui beberapa pengalaman dalam hidup.
Pengalaman inilah yang beliau cuba garapkan, yang mencakupi beberapa pengalaman semasa beliau remaja dan ketika bergelar pelajar.
Pengalaman ini terus digarap selepas tamat pengajian formal dan berkecimpung dalam masyarakat dengan mengajar agama di surau, masjid dan di media massa.
Maka beliau juga cuba mengenang kembali pengalaman yang mungkin agak kelakar dan lucu namun beliau yakin ada manfaat dan pengajarannya.
Beliau juga berharap pengalaman ini menjadi pengajaran kepada insan lain.
Di samping itu, pengajaran dan ibrah daripada kisah juga diberi penekanan.
Jangan Putus Asa Belajar Menulis
Menurut beliau, buku pertama yang beliau tulis sekitar tahun 2004 iaitu buku alam rumah tangga bertajuk Cakar Harimau.
Penulisan ini ialah idea al-Fadil Ustaz Dr. Zahazan Mohamed.
Buku ini ialah nukilan semula dalam bentuk buku hasil ceramah Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood.
Jika dalam bab rumah tangga, ustazah ini memang hebat.
Setelah mendengar beberapa kali ceramah tersebut, beliau pun mulalah menulis.
Namun selepas satu jam, satu halaman pun belum dapat beliau tulis.
Susahnya menulis.
Namun, akhirnya setelah berbulan, barulah beliau dapat menulis sekitar 40 halaman.
Tempohnya sekitar 4 bulan.
Itulah susahnya menulis.
Untuk menulis walau satu halaman sahaja, mengambil masa yang lama.
Kadang-kadang disebabkan tiada data dan tiada isi yang cukup untuk menulis.
Kadang-kadang masalah ada fakta, data dan isi namun bagaimana untuk melakarkannya dalam bentuk penulisan?
Oleh sebab itu, kita selalu mendengar ramai juga pelajar peringkat sarjana dan PHD yang cerdik namun kantoi dan sangkut apabila masuk bab penulisan.
Manakala insan yang laju penulisannya disebut sebagai qallam sayyal (qalamun sayyal).
Bukan sahaja menulis, apa jua pekerjaan yang dilakukan buat kali pertama sememangnya susah.
Belajar juga susah.
Melatih diri menjadi lebih berdisiplin juga susah.
Banyak perkara yang susah untuk dilakukan.
Ada juga yang jika hendak tidur pun susah hendak lena.
Namun, jika dicuba dan dicuba, akhirnya pasti akan membuahkan hasil.
Kini, beliau mampu menulis dengan mudah dan lancar.
Sehari beliau mampu menulis beberapa helaian untuk buku dengan rujukan al-Quran, riwayat hadis dan pelbagai kitab rujukan.
Kesemuanya hasil usaha mengasah bakat dalam bidang penulisan.
Bahkan beliau mampu menulis tesis PhD dalam tempoh tiga tahun sahaja.
Nasihat beliau, janganlah cepat berputus asa.
Berusahalah.
Kita perlu terus mencuba dan berusaha dalam apa jua bidang.
Barangkali memang benar kata pepatah Melayu bahawa, “Belakang parang jika diasah lagikan tajam”.
- Jemput baca: 3 Ciri Pendakwah Al-Quran Yang Berkesan
Pertandingan Banyak Membaca
Beliau telah menyertai satu pertandingan banyak membaca di kalangan pelajar Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Kuala Terengganu.
Pada mulanya beliau hanya berjaya menghabiskan lima buah buku.
Namun akhirnya, beliau mendapat idea bernas iaitu tidak perlu membaca keseluruhan buku.
Beliau hanya perlu memahami topik perbincangan dalam buku tersebut, melihat daftar isi dan membaca mukadimah, membaca cepat setiap halaman serta kesimpulan.
Akhir sekali baca sinopsis sahaja.
Dalam masa setengah jam, selesailah sebuah buku setebal 40 halaman beliau baca, siap dengan ringkasan yang perlu dibuat.
Akhirnya dalam masa seminggu, beliau dapat menghabiskan sekitar 40 buah buku.
Begitulah proses menuntut ilmu.
Mungkin bacaan beliau kurang matang, tetapi yang penting ialah beliau berusaha membaca.
Tanpa membaca, ilmu tidak akan bertambah.
Membaca jambatan ilmu.
Bahkan bacaan secara cepat juga ada diamalkan oleh para ulama silam.
Dengan kaedah ini, kita dapat menguasai perbincangan dalam sesebuah buku tanpa perlu menghabiskan setiap patah perkataannya.
Apa yang penting ialah kita memahami isi kandungan buku.
Selain itu, pengulangan juga penting.
Mengulang membaca sesebuah buku beberapa kali.
Para ulama dahulu, rajin mengulang kaji sesebuah buku.
Ada dikisahkan bagaimana As’ad Ibn Muhammad al-Syirazi membaca Sahih al-Bukhari kepada gurunya sebanyak 20 kali.
Ada juga kisah ulama silam yang membaca al-Mudawwanah 100 kali, membaca tafsir al-Kasyyaf berberapa kali dan sebagainya.
Kesungguhan para ulama silam membaca dengan cepat dan membaca sesebuah kitab berulang kali adalah pemangkin untuk kita lebih gigih membaca.
Jangan Mudah Marah
Satu masa, beliau bercakap di sebuah siaran radio.
Topik yang dibicarakan berkaitan masalah sosial.
Beliau membawa panduan dengan hujah daripada al-Quran dan hadis Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam.
Walaupun begitu, ada juga pendengar yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau.
Setelah habis siaran, penerbit memberi telefon kepada beliau.
Beliau mengambil dan selepas menjawab salam, beliau dimarahi oleh pemanggil tersebut.
Pemanggil tersebut tidak bersetuju dengan pendapat beliau.
Nada suaranya tinggi dan keras.
Semangatnya membara dan membuak-buak.
Lima minit jugalah beliau terkedu dan mendengar syarahan dan kemarahannya.
Akhirnya beliau pun kata,
“Tuan Haji! Saya masih muda. Ilmu saya masih sedikit. Pengalaman juga tidak banyak. Saya harap tuan haji dapat memberi tunjuk ajar kepada saya.
Jadi ada dua perkara yang beliau nasihatkan iaitu:
1. Tidak semua pandangan seseorang akan dipersetujui oleh orang lain.
Maka kita perlu kepada sikap untuk berlapang dada.
Prinsip agree to disagree adalah asasnya.
2. Kita tidak perlu mudah marah dan melawan kemarahan dengan sikap pemarah.
Sebaliknya kemarahan hendaklah dilawan dengan kelembutan.
Ini baru 3 pengalaman yang saya kongsikan.
Dalam buku beliau ini (Catatan Seorang Da’i Pengalaman Sebaik-Baik Guru) ada lebih kurang 40 pengalaman berharga yang beliau kongsikan.
Jadi buku ini saya suka sangat membacanya, kerana saya juga adalah da’i.
Malah kita semua adalah da’i.
Bangun, berilah peringatan!