fbpx

Pengajaran Surah an-Nahl (Kemaskini 11/10/2023)

Kata Ustaz Abd Muein, Surah an-Nahl adalah surah makkiyyah iaitu surah yang diturunkan sebelum Nabi berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

Ada sesetengah pendapat pula mengatakan, semua ayat di dalam surah ini adalah makkiyyah kecuali tiga ayat yang terakhir adalah madaniyyah.

Tapi pendapat ini tidak ada dalil, jadi pendapat yang paling kuat keseluruhan surah ini adalah surah makkiyyah.

Surah ini mengandungi 128 ayat.

Surah ini dinamakan an-Nahl kerana perkataan an-Nahl satu-satunya perkataan yang disebut dalam al-Quran iaitu ayat 68 Surah an-Nahl.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

[Surah an-Nahl 16: 68]

Juga disebabkan oleh kehebatan dan kekuasaan Allah mencipta lebah dan daripada lebah itu keluarlah madu.

Intipati Surah an-Nahl

1. Menegakkan dalil-dalil ke atas keesaan Allah ta’ala dan ketetapan bahawa hari Kiamat pasti akan berlaku.

2. Membuktikan kerasulan Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam dan apa yang dibawa oleh baginda.

3. Hujah-hujah  yang jelas dalam menolak tuduhan-tuduhan dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh orang-orang musyrikin.

4. Menjelaskan nikmat-nikmat Allah kepada makhluknya yang begitu banyak, bahkan tidak terhitung.

Selain nama an-Nahl, surah ini juga dinamakan sebagai an-Ni’aam iaitu nikmat-nikmat.

Sebab dalam surah ini banyak menyebut nikmat Allah kepada hamba-Nya.

Ayat 1

أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ ۚ سُبْحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Telah datang azab Allah ataupun kiamat, maka jangan kamu minta disegerakan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sekutukan.

[Surah an-Nahl 16: 1]

Pengajaran ayat 1:

1. Apa sahaja yang dijanjikan oleh Allah, pasti akan berlaku.

Maka tidak harus bagi orang beriman, ada keraguan tentangnya kerana Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

2. Haram meminta disegerakan sesuatu yang belum tiba waktunya.

Apatah lagi meminta disegerakan azab Allah, kerana Allah lebih mengetahui bila waktu yang sesuai diturunkan azabnya.

3. Maha suci Allah daripada kekurangan dan kelemahan sebagaimana yang disangka oleh orang-orang kafir bahawa Allah tidak mampu menghidupkan semula manusia yang telah mati.

Ayat 2

يُنَزِّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ بِٱلرُّوحِ مِنْ أَمْرِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ أَنْ أَنذِرُوٓا۟ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱتَّقُونِ

Dia menurunkan malaikat dengan membawa roh iaitu wahyu daripada perintahnya kepada siapa yang dikehendaki daripada kalangan hamba-hamba-Nya. Agar mereka memberi peringatan bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku, maka hendaklah mereka bertakwa kepada-Ku.

[Surah an-Nahl 16: 2]

Pengajaran ayat 2:

1. Al-Quran adalah roh bagi hati.

Sebagaimana jasad akan mati tanpa roh, maka hati juga akan mati tanpa al-Quran.

2. Sesiapa yang hatinya kosong daripada al-Quran, sebenarnya dia telah mati di sisi Allah walaupun jasadnya masih hidup.

Sebagaimana disebut oleh Allah dalam Surah al-An’aam ayat 122.

3. Hanya hati yang bersih daripada dosa dan syirik yang akan masuk cahaya al-Quran di dalamnya.

Dan akhirnya dia akan memberikan peringatan kepada orang lain.

4. Sesiapa yang menghayati al-Quran, maka al-Quran akan mengubahnya dan akan menjadikannya manusia yang hebat.

5. Islam bermula dengan akidah – mentauhidkan Allah, dan berakhir dengan takwa iaitu melaksanakan semua perintah Allah yang terkandung di dalam al-Quran.

Ayat 3

خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ ۚ تَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dia telah menciptakan langit-langit dan bumi-bumi dengan sebenarnya. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka sekutukan.

[Surah an-Nahl 16: 3]

Pengajaran ayat 3:

1. Hanya Allah sahaja yang berhak disembah kerana Dia sahaja yang mencipta segala-galanya termasuk langit dan bumi.

2. Sekiranya Allah berkuasa mencipta langit dan bumi, maka lebih mudah untuk Allah mencipta manusia kali kedua.

Ayat 4

خَلَقَ ٱلْإِنسَٰنَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ

Dia telah mencipta manusia daripada air mani, maka tiba-tiba manusia menjadi pembantah yang jelas.

[Surah an-Nahl 16: 4]

Pengajaran ayat 4:

1. Manusia yang kufur kepada Allah adalah manusia yang jahil tentang asal-usulnya dan jahil tentang Tuhan pencipta-Nya.

2. Kehebatan dan kekuasaan Allah iaitu mencipta manusia daripada setitik air mani yang lembut dan cair bertukar menjadi batang tubuh manusia yang kuat, bertenaga, dan boleh mengurus dunia.

Oleh kerana itu, hanya Dia sahaja yang berhak disembah.

3. Sikap manusia apabila sudah berakal, mempunyai kedudukan dan harta, mereka akan membantah dan kufur kepada pencipta-Nya kecuali sedikit sahaja yang diberi rahmat oleh Allah.

Ayat 5

وَٱلْأَنْعَٰمَ خَلَقَهَا ۗ لَكُمْ فِيهَا دِفْءٌ وَمَنَٰفِعُ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Dan binatang ternak, Dia yang telah mencipta-Nya bagi kamu pada-Nya ada pakaian yang boleh melindungi kamu daripada cuaca yang sejuk dan ada manfaat-manfaat yang lain. Dan daripadanya juga kamu dapat makan.

[Surah an-Nahl 16: 5]

Pengajaran ayat 5:

1. Kebesaran dan kekuasaan Allah serta rahmat-Nya dengan tidak membiarkan manusia dicipta tanpa ada kemudahan dan makanan untuk mereka.

Maka Allah mencipta binatang ternak sebagai makanan dan manfaat yang lain pada manusia.

2. Setiap nikmat yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya, wajib disyukuri iaitu dengan menggunakan nikmat tersebut untuk mentaati Allah azza wa jalla.

Ayat 6

وَلَكُمْ فِيهَا جَمَالٌ حِينَ تُرِيحُونَ وَحِينَ تَسْرَحُونَ

Dan bagi kamu juga binatang-binatang ternak itu ada perhiasan, keindahan ketika kamu membawanya pulang ke kandang dan ketika kamu membawanya keluar di waktu pagi.

[Surah an-Nahl 16: 6]

Pengajaran ayat 6:

1. Rahmat Allah yang melimpah ke atas hamba-Nya, dengan menjadikan juga binatang-binatang itu sebagai bahan perhiasan yang menggembirakan manusia tetapi bukan untuk berbangga dan sombong.

Ayat 7

وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا۟ بَٰلِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ ٱلْأَنفُسِ ۚ إِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan ia iaitu binatang ternak membawa bebanan-bebanan kamu ke mana-mana negeri, yang kamu tidak mampu sampai kepadanya, kecuali dengan kesukaran. Sesungguhnya pencipta kamu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.

[Surah an-Nahl 16: 7]

Pengajaran ayat 7:

1. Rahmat Allah kepada hamba-Nya sangat luas.

Iaitu selain mencipta manusia, Allah menyediakan segala keperluan untuk mereka mudah hidup di dunia seperti binatang ternakan sebagai pengangkutan yang boleh membawa mereka dan barang-barang mereka ke mana-mana tempat.

2. Allah Maha Mengetahui setiap apa yang diperlukan manusia dan akan mempermudahkannya agar manusia tidak menjadikan alasan kesukaran hidup untuk tidak mengenali dan menyembah Allah.

Ayat 8

وَٱلْخَيْلَ وَٱلْبِغَالَ وَٱلْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً ۚ وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan kuda dan keldai, supaya kamu dapat menungganginya dan juga sebagai perhiasan, dan Dia mencipta apa yang kamu tidak ketahui.

[Surah an-Nahl 16: 8]

Pengajaran Ayat 8:

1. Selain daripada kegunaan haiwan sebagai pengangkutan, Islam juga membenarkan manusia menjadikan haiwan sebagai bahan perhiasan dan kecantikan selagi mana ia tidak membawa kepada riak dan sombong.

2. Allah mencipta apa-apa keperluan untuk manusia mengikut zaman tertentu dan ia akan berkembang berdasarkan perkembangan zaman – semakin canggih dunia, maka semakin canggih pengangkutan yang dicipta oleh Allah.

Ayat 9

وَعَلَى ٱللَّهِ قَصْدُ ٱلسَّبِيلِ وَمِنْهَا جَآئِرٌ ۚ وَلَوْ شَآءَ لَهَدَىٰكُمْ أَجْمَعِينَ

Dan ke atas Allah menunjukkan jalan yang lurus, dan ada darinya jalan yang salah. Jikalau Allah kehendaki, pasti Dia akan memberi hidayat kepada kamu semuanya.

[Surah an-Nahl 16: 9]

Pengajaran ayat 9:

1. Nikmat yang paling besar di antara banyak-banyak nikmat Allah kepada manusia ialah  nikmat hidayat yang ditunjukkan oleh Allah melalui fitrah semulajadi manusia dan dipandu oleh al-Quran dan ikutan Rasulullah salla Allah alaih wa sallam.

2. Tidak ada manfaat sedikit pun (nikmat-nikmat yang banyak), sekiranya manusia tidak mendapat nikmat hidayah.

3. Hikmah Allah menjadikan manusia ada yang beriman dan ada yang kufur, ada yang baik dan ada yang jahat.

Agar manusia saling berlumba untuk mendapat yang terbaik di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.

Ayat 10

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً ۖ لَّكُم مِّنْهُ شَرَابٌ وَمِنْهُ شَجَرٌ فِيهِ تُسِيمُونَ

Dialah yang telah menurunkan daripada awan, air bagi kamu daripadanya sebagai minuman dan daripadanya jugak menjadi tumbuh-tumbuhan yang kamu guna untuk memberi makan kepada binatang ternak.

[Surah an-Nahl 16: 10]

Pengajaran ayat 10:

1. Kebesaran dan rahmat Allah kepada hamba-Nya dengan menurunkan hujan daripada atas.

Agar ia dapat dirasai oleh semua orang walaupun di mana mereka berada sama ada di tempat yang rendah atau tinggi.

2. Sumber utama untuk manusia hidup ialah air.

Dan daripada air juga manusia dapat makan tumbuh-tumbhan dan sayur-sayuran.

3. Daripada air juga manusia dapat makan binatang ternak yang hidup daripada tumbuhan yang berasal daripada air.

Nota: Insha-Allah saya akan sambung pengajaran ayat yang seterusnya dari masa ke semasa.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment