Kata Ustaz Abd Muein, penguat dan pembakar semangat Nabi dan para sahabat dalam tempoh dakwah 13 tahun di Mekah (mereka ditekan, dihina, diseksa), adalah ayat al-Quran.
Tidak ada perkara lain.
Kalau tidak ada ayat al-Quran, mereka akan lemah dan pengsan.
Sebab itulah siapa yang tidak membaca atau tidak faham al-Quran, tetapi dia baca perkara lain (kononnya atas nama agama), dia tidak akan jadi kuat dan akan lemah sepanjang masa.
Sebab Allah dah buat contoh kan?
Kalau al-Quran turun pada gunung, gunung akan pecah.
Bayangkan gunung yang keras dan pejal boleh dipecahkan dengan kekuatan al-Quran.
Tidak ada kitab lain selain daripada al-Quran yang boleh memecahkan gunung.
Jadi siapa yang nak kuat, jangan tinggalkan al-Quran.
- Jemput baca: Kenapa Tidak Rasa Gementar Ketika Baca al-Quran
Tengok keadaan kita hari ini, setiap hari bercakap bab agama, tetapi semakin bergaduh.
Bila bergaduh, kita akan berpecah dan semakin lemah.
Kita tidak dapat kekuatan yang sebenar, apa puncanya?
Tidak kembali kepada al-Quran.
Yang sorang, bagi pendapat diri sendiri, yang sorang lagi bagi pendapat gurunya, pendapat al-Quran?
Tidak ada, betul?
Jadi seolah-olah al-Quran bukan rujukan utama kita.
Rujukan utama kita adalah mazhab ataupun pendapat guru.
Sebenarnya itulah yang melemahkan kita.
Bila ustaz kata macam ini, ada yang kata ustaz tolak ulama.
Kita bukan tolak semua ulama, kita hanya terima ulama yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dan ketepikan ulama yang bergantung pada pendapat sendiri, nafsu sendiri, ataupun kumpulan sendiri.
Ini belum tengok lagi pengasingan subjek-subjek dalam Islam.
Contohnya ini subjek Akidah, ini Fiqah dan ini Usul Fiqh, kan?
Yang pasti, zaman Nabi semua itu tidak ada, yang ada hanyalah al-Quran dan hadis.
Ternyata mereka lebih hebat dan kuat.
Mereka menjadi contoh umat Islam di seluruh dunia dan sepanjang zaman.
Tapi sekarang?
Kita ada macam-macam buku dan subjek.
Ada yang belajar sehingga 15 subjek, tetapi akidahnya hancur.
Ada pendapat mengatakan bahawa pengasingan subjek ini adalah rancangan musuh Islam supaya orang Islam pakar dalam bahagian tertentu, tapi al-Quran tidak pakar.
Sebab itu kita pergi mana-mana fakulti di Universiti Islam, tidak ada fakulti yang mewajibkan kena belajar al-Quran sepenuhnya, tidak ada.
Sebab itu kita lihat, ramai pelajar yang ambil bidang syariah, bila kita suruh dia mengajar Fiqh, dia akan jawab, “Okey boleh, ini bidang saya”.
Tetapi bila kita suruh mengajar tadabbur al-Quran, dia jawab, “Mintak maaf, ini bukan bidang saya”.
Sedangkan Syariah itu daripada al-Quran, betul atau tidak?
Ada pula yang ambil bahagian Fakulti bahasa Arab.
Bila kita suruh dia mengajar tadabbur al-Quran, dia jawab, “Oh mintak maaf ustaz, pengkhususan saya dalam bahasa Arab (Nahu dan Saraf)”.
Kita pun hairan.
Nabi dan para sahabat dahulu pun pengkhususan dalam bahasa Arab.
Tapi asas kefahaman mereka ialah bersumberkan al-Quran.
Orang hari ini bagi alasan, kalau tidak mampu belajar semua, kita belajar ikut bidang masing-masinglah.
Bila belajar asing-asing inilah yang menyebabkan kita tidak faham yang induk (al-Quran).
Sebenarnya nak belajar apa pun tidak kisah, yang penting asasnya adalah al-Quran.
Bila kita dah mahir dan faham al-Quran, barulah kita belajar pengkhususan seperti Syariah ke, Usuluddin ke, bahasa Arab ke, ataupun ilmu Fardu Kifayah yang lain.
Bangun, berilah peringatan!