fbpx

Orang Yang Mengumpat Umpama Lebah Membuang Sengat

Ustaz mengumpat?

Biar betul?

Betul, jom kita tonton drama ini.

Di sebuah kampung yang indah, terdapat dua orang ustaz terkenal iaitu Ustaz Ahmad dan juga Ustaz Amir.

Kedua-duanya memiliki kredibiliti sebagai agamawan yang bijaksana dan dihormati oleh masyarakat setempat.

Pada suatu hari, dalam sebuah majlis ilmu yang dihadiri oleh para jemaah, Ustaz Ahmad dan Ustaz Amir menjelaskan tentang tafsir ayat al-Quran yang berbeza.

Ustaz Ahmad berpegang pada tafsir daripada salah seorang ulama terkenal, sementara Ustaz Amir memiliki pandangan yang berbeza dan merujuk kepada tafsir daripada seorang tokoh agama yang berbeza.

Mereka mula berdebat dengan panas di hadapan para jemaah.

Semakin lama, keadaan semakin tidak terkawal apabila mereka berdua menggunakan kata-kata yang kesat dan mengumpat di antara satu sama lain.

Para jemaah yang hadir merasa terkejut dan cemas melihat perdebatan yang semakin hangat antara ustaz yang mereka kagumi.

hakimdarno - orang mengumpat umpama lebah membuang sengat 2

Kedua orang ustaz tersebut saling mempertahankan pendapat masing-masing dengan keras, bahkan mengkritik peribadi satu sama lain.

Beberapa jemaah yang hadir mula terpengaruh dan ikut serta dalam mengumpat dan memihak kepada ustaz kegemaran masing-masing.

Tiba-tiba, seorang jemaah yang sudah berusia menghampiri dua orang ustaz itu.

Dengan penuh kesabaran dan bijaksana, jemaah itu menasihati Ustaz Ahmad dan Ustaz Amir untuk memberhentikan ketegangan dan menghargai perbezaan pendapat di antara satu sama lain.

Dia mengingatkan mereka bahawa sebagai agamawan, mereka perlu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat apabila berbeza pendapat.

Mendengar nasihat bijaksana dari jemaah itu, mereka berdua tersedar.

Mereka menyedari bahawa tindakan mereka yang mengumpat dan mengkritik antara satu sama lain adalah tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Mereka bertaubat dan meminta maaf di hadapan para jemaah yang hadir.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk menamatkan perdebatan mereka dan berdamai.

Mereka saling bersalaman dan berpelukan.

Para jemaah yang hadir terharu melihat sikap kedua orang ustaz tersebut, dan merasa terinspirasi dengan kebijaksanaan dan kematangan mereka.

Sejak saat itu, Ustaz Ahmad dan Ustaz Amir belajar untuk saling menghormati perbezaan pendapat dan mengelak daripada mengumpat atau mengkritik dengan kasar.

Mereka bekerjasama mengadakan aktiviti sosial dan ceramah yang mengajak masyarakat untuk lebih faham tentang agama Islam.

Mereka berdua menjadi teladan bagi penduduk kampung dan hubungan mereka semakin baik.

Hubungan masyarakat pun semakin harmoni.

Kan saya dah kata, walaupun ini sekadar drama (konon-kononya), tetapi kalau kita amati betul-betul di sekeliling kita terutamanya di media sosial, serba sedikit menggambarkan realiti yang berlaku pada hari ini.

Tapi saya bukan nak tuju pada mana-mana ustaz, maksudnya kita orang biasa pun kena ambil pengajaran ini.

Suami jangan mengumpat isteri, isteri jangan mengumpat suami.

Imam jangan mengumpat jemaah, jemaah jangan mengumpat imam.

Bos jangan mengumpat pekerja, pekerja jangan mengumpat bos.

Netizen jangan mengumpat artis, artis jangan mengumpat netizen.

Begitulah seterusnya.

Jadi, mari kita mengambil pengajaran dan tadabbur ayat yang berkaitan di dalam al-Quran.

Mengumpat Di Dalam Al-Quran

Fenomena mengumpat ini ada disebut di dalam Surah al-Hujuraat.

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.


[Surah al-Hujuraat 49: 12]

Kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (MDB), mengumpat adalah satu sifat yang datang seperti ribut, tetapi pergi seperti semut.

Satu aktiviti yang sangat menyeronokkan bagi sesetengah orang (sebab selalu buat).

Datangnya seperti ribut, merebak, meluas dan melatar dengan cepat, tetapi bila kita nak beralih keluar daripada sifat ini, seperti seekor semut yang memakan masa yang lama untuk kita mengubatinya.

Sebab itu Allah subhanahu wa ta’ala memberikan perumpamaan yang agak keras dan jijik, seperti mana kita memakan daging manusia sahabat kita yang telah mati.

Perumpamaan Yang Sangat Jijik

Pertama, hukum memakan daging manusia adalah haram.

Kedua, daging itu pula adalah daging sahabat ataupun saudara kita.

Kenapa begitu sekali perumpamaan yang Allah bagi?

Sebabnya masa kita mengumpat itu, mungkin dia tengah tidur waktu malam, duduk jauh dan sebagainya.

Jadi tidak adil kita mengumpat atau mengkritik orang, di mana orang itu tidak ada ruang untuk mempertahankan dirinya.

Kalau dia dengar, mungkin dia boleh berikan kepada kita pencerahan.

Perumpamaan Lebah

Kata Tan Sri Dr MDB, lebah adalah salah seekor haiwan yang ada kebolehan menyengat.

Allah juga menjadikan kejadian lebah, apabila dia sengat sahaja, dia akan mati. 

Maka dia akan gunakan sengatan hanya pada waktu terdesak dan terpaksa sahaja.

Contohnya untuk menyelamatkan dirinya, koloninya ataupun masyarakat lebahnya ataupun dalam bahasa yang lain menyelamatkan permaisuri lebah yang merupakan satu tunjang ataupun kemuncak kepada koloni masyarakat dan komuniti lebah. 

Lebah itu boleh menyengat, tapi dia (lebah) tahu tidak ada lebah yang selamat kalau dia menyengat.

Satu kali sengatan membawa kepada kematian. 

Jadi dalam konteks mengumpat ini, manusia juga mempunyai sengat.

Apa sengatnya?

Sengatan kepada peribadi, reputasi dan nama baik manusia yang lain. 

6 Pengajaran Daripada Lebah

Ada lima atau enam aspek yang kita boleh keluarkan daripada perumpamaan antara lebah dengan manusia dalam konteks mengumpat. 

Sebab itu dalam pepatah Melayu ada menyebut, “Umpama lebah membuang sengat”.

Lebah ini tahu bahawa sengatan itu akan membunuh mangsanya dan juga membunuh dirinya sendiri. 

Jadi kalau boleh, dia hanya guna sengatan itu ketika terpaksa atau untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

1. Manusia Juga Boleh Menyengat

Pertama dalam konteks manusia, manusia boleh menyengat banyak kali sebab manusia menyengat menggunakan lidahnya. 

Dan lidah ini Allah subhanahu wa ta’ala jadikan boleh menyengat manusia banyak kali tidak kira siang dan malam, setiap masa dan keadaan mencari sahaja kesempatan untuk memberikan sengatan-sengatan kepada manusia yang lain.

Itulah sifat yang ada dalam manusia yang boleh memberikan sengatan.

Bukan sahaja tidak mati dengan satu sengatan, malah manusia merasa lebih hebat, takbur dan bangga dengan memberikan sengatan pada manusia yang tidak disukai dan dibenci olehnya.

Tapi Tan Sri Dr. MDB ada mengatakan bahawa tidak salah kita menyengat manusia, dengan syarat sengatan itu dilakukan secara terbuka ataupun di dalam satu forum yang menggunakan bahasa yang baik.

Kita berikan kesempatan untuk orang yang kita sengat itu untuk menjawab dan memberikan reaksi. 

Inilah yang dinamakan sebagai hiwar – al-Mujadalah.

Ataupun pertikaian yang berlaku di dalam mahkamah.

Ini adalah satu forum yang perlu ada untuk mendapat keadilan hak asasi. 

Inilah perkara yang mesti ada di dalam masyarakat yang madani iaitu masyarakat yang berpijak di atas fakta, kenyataan dan sebagainya. 

Bukannya masyarakat yang suka mengamalkan ghibah – mengumpat.

Sebab ghibah adalah satu jenayah yang Allah tidak beri hukumannya, tetapi Allah bagi perumpamaan yang sangat hina iaitu meratah-ratah daging sahabat kita yang sudah mati.

Jadi bahasa menunjukkan peribadi kita. 

Kata pepatah melayu, “Usul menunjukkan asal”. 

Contohnya, “Daun menunjukkan pokok”. 

Jadi itulah daun durian, itu pokok durian. 

Begitulah juga dengan bahasa melambangkan peribadi kita, adakah kita seorang manusia yang suka menyengat manusia lain atau bagaimana?

2. Manusia Tidak Boleh Buang Sengat Dengan Mudah

Kedua, ada beza manusia dengan lebah.

Lebah boleh buang sengatnya.

Tetapi manusia?

Tidak boleh. 

Kita tidak boleh buang sengat dengan mudah, sebab manusia ada lidah dan lidah itu kata pepatah melayu ‘lidah yang panjang’. 

Lidah yang panjang dia boleh bercakap tanpa ada had. 

Tidak ada tempoh kematian. 

Dia boleh bercakap atau menggunakan lidah yang panjang berbelit-belit itu untuk memberikan satu perwatakan hitam pada mana-mana manusia yang tidak disukai dan dibenci olehnya. 

Sebab itu tidak hairan kenapa Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam menyebutkan bahawa kebanyakan orang yang masuk ke dalam neraka adalah hasil dan habuan lidah mereka. 

Mereka melaga-lagakan manusia, menimbulkan permusuhan dan mencetuskan rasa tidak puas hati, disebabkan lidah mereka yang tidak dapat dikawal.

3. Bercakap Siang Pandang-Pandang

Ketiga, pepatah melayu ada menyebut tentang adab kita bercakap ini jangan sampai mengguris hati orang.

Kata nenek moyang kita “Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar”.

Nak bercakap atau menegur ini, kena tengok tempat dan juga keadaan, siapa yang berada di tempat itu, apa yang kita nak sebut itu melibatkan maruah dia ataupun tidak?

Jadi memang kena berhati-hati dalam setiap patah perkataan kita.

4. Jangan Kambing Hitamkan Orang Lain

Keempat, jangan babitkan orang lain dengan kesalahan diri kita sendiri. 

Ramai orang yang ingin mewarnai perwatakan orang lain dan mengajak orang lain mengaburi kesalahan sendiri dengan melakukan umpatan demi umpatan, menghasut, memberikan fakta-fakta sebelah pihak untuk meletakkan kesalahan pada orang lain.

Kata pepatah Melayu yang lain, “Sudah calit jangan balik”.

Maksudnya bila kita sudah ada kesalahan, jangan menyerahkan kesalahan itu kepada orang lain. 

Ini adalah satu sifat yang berlaku dalam persekitaran kita, kita cuba sedaya mungkin untuk menghasut, memperdaya dan memberikan keyakinan kepada orang lain yang mendengar bahawa ada kebenaran dalam umpatan kita. 

Benar atau tidak benar itu sudah salah kerana kita bercakap di belakang saudara kita yang tidak ada hak untuk mempertahankan hujahnya.

Kita seolah-olah meratah dalam pesta bangkai manusia. 

Kita meratah dan kita memakan tanpa kita sedari. 

5. Jangan Terima Bulat-Bulat

Kelima, yang peliknya dalam masyarakat kita, orang yang mengumpat itu memang mungkin sifatnya suka mengumpat dan suka memberikan hujah untuk menegakkan benang yang basah dan sebagainya. 

Tapi manusia di sekitar itu, mereka boleh mempercayai cakap lidah yang panjang tanpa meneliti dan memeriksa balas pun cerita yang sampai kepadanya.

Sebab itu Allah subhanahu wa ta’ala menggunakan ayat ini dengan seruannya, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari prasangka!”

Maksudnya, orang yang mendengar sesuatu cerita pun kena jauhi prasangka kerana sebahagian prasangka itu boleh membawa kepada dosa dan boleh membawa banyak implikasi buruk dalam masyarakat. 

Dalam bahasa Melayu pepatah mengatakan, “Mamah dahulu, baru telan”.

Jangan main telan sahaja, kita mamah atau kunyah dahulu.

Kita tanya balik apa faktanya dan jangan hanya melihat satu perspektif sahaja.

Kalaulah keadilan hanya ditegakkan dengan satu perspektif sahaja, hancur dunia ini.

Kerana kebenaran berasaskan kepada pandangan dua belah pihak dan diadili oleh pihak ketiga. 

Inilah konsep keadilan yang paling adil dan asas dalam agama kita.

Tetapi ramai di antara kita yang sanggup memberikan telinga untuk mendengar halwa-halwa umpatan. 

Sebenarnya secara tidak langsung, mereka juga bersama-sama dalam pesta memakan bangkai manusia yang sudah reput dan busuk. 

Jadilah Seperti Badak

Kita tidak boleh halang lidah panjang, sebab itu memang perangai manusia.

Jadi insha-Allah kita jangan jadi orang yang berlidah panjang ataupun seekor lebah, tetapi kita jadilah seperti pekak badak.

Seekor pekak badak boleh memekakkan telinganya daripada mendengar perkara-perkara yang tidak ada asasnya, yang berbentuk berat sebelah dan yang berbentuk perspektif sebelah pihak sahaja. 

Ataupun yang lebih baik lagi, kita menjadi seekor kancil yang bijaksana, yang boleh membezakan antara benar dengan yang buruk.

Kita boleh melihat, meneliti dengan pandangan yang lebih rasional dan seimbang berdasarkan fakta yang ada di hadapan kita.

Dan kebanyakan orang yang mengumpat ini selalunya mereka mengukur baju di badan sendiri, mereka melihat perspektif secara pandangan mereka sendiri tanpa memeriksa apakah kebenaran yang sebenarnya. 

Merekalah seorang polis, pendakwa dan juga seorang hakim. 

Maksudnya mereka bertindak sebagai polis dengan melakukan penyiasatan, mereka juga membuat kertas pendakwaan dan menjatuhkan hukuman kepada mana-mana individu ataupun organisasi. 

6. Biar Orang Buat Kita, Tapi Kita Jangan Buat Orang

Keenam dan yang terakhir, kalau kita adalah mangsa umpatan, janganlah kita mengumpat orang lain juga.

Kita hanya berserah kepada Allah subhanahu wa ta’ala dengan harapan mendapat pahala di atas setiap perkataan yang tidak benar yang dilontarkan kepada kita.

Kerana kita kena percaya bahawa umpatan tidak membunuh dan pujian tidak mengenyangkan kita.

Penutup

hakimdarno - orang mengumpat umpama lebah membuang sengat 3

Akhir kalam, kalau kita saling sengat-menyengat ataupun saling umpat-mengumpat, kita semua akan mati, dan kita semua akan bersama-sama meratah dan memakan bangkai saudara kita sesama Islam.

Mana ada buaya yang menolak bangkai?

Tetapi itu memang makanan mereka.

Kita?

Kitakan makan makanan yang elok-elok sebagai seorang manusia.

Jadi elakkan diri kita daripada terlibat dalam kes-kes umpatan.

Jangan jadikan masyarakat kita penuh dengan pesta memakan bangkai.

Mudah-mudahan kita menjadi orang yang sentiasa menjaga lidah ataupun lisan kita.

Jagalah ekosistem masyarakat kita dengan baik daripada penyakit mengumpat yang seronok dilakukan ini.

Semoga Allah subhanahu wa ta’ala memberikan taufik dan inayah kepada kita dan menjadi masyarakat yang seratus peratus bebas daripada mengumpat.

Andai kata ada masalah, kita bukalah perbincangan untuk mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan masalah dengan baik dan beradab.

Supaya kita tidak memakan daging saudara kita.

Terima kasih kepada Tan Sri Dr. MDB yang memberikan peringatan ini.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment