Hari ini kita hidup di zaman semua orang begitu obses mencari bahagia.
Sebab apa?
Sebab dengan adanya media sosial.
Pada Zaman Dahulu
Kalau 20 tahun dahulu, dunia kita kecil sahaja.
Hanya dalam lingkungan orang yang kita jumpa seperti kawan sekolah, adik beradik dan jiran tetangga.
Ketika di sekolah rendah, kita tidak nampak ibu bapa lain melainkan ibu bapa kita sahaja.
Jadi kalau emak ayah kita garang, kita hanya menerima seadanya kerana mereka sahajalah ibu bapa yang kita kenal.
Ya, mungkin kenal beberapa orang ibu bapa yang dekat dengan kita seperti emak ayah saudara, emak ayah jiran ataupun emak ayah kawan karib kita.
Tetapi apabila kita masuk ke alam sekolah menengah, kita pergi dan tidur rumah kawan, kita ternampak bagaimana ibu bapanya berkomunikasi dengan kawan kita itu.
Pada masa itulah baru kita perasan,
“Eh emak kita garanglah. Kalaulah emak kita ini lembut macam emak kawan kita itu, peluk-peluk sebelum tidur, kan sweet?”
Di usia inilah, kita mula membanding-bandingkan ibu bapa kita dengan ibu bapa kawan-kawan kita.
Ini zaman dahulu.
Pada Zaman Sekarang
Tapi pada tahun 2022 ini, kita akan membandingkan diri kita dengan orang di seluruh dunia.
Kerana kita hidup di zaman ada media sosial, internet, twitter, snapchat, instagram, tik tok dan sebagainya.
Kita boleh melihat kehidupan orang lain dengan hanya menggunakan hujung jari.
Contohnya di dalam Instagram.
Instagram akan menunjukkan perkara-perkara yang cantik seperti pakaian, makanan, rumah atau saat-saat yang indah seperti pergi melancong dan sebagainya.
Jadi di dalam Instagram, kita hanya nampak perkara-perkara yang cantik dan manis sahaja.
Namun, hakikat kehidupan yang sebenar kita tidak tahu.
Kita pun mula rasa,
“Haish seronoknyalah dia itu, melancong ke sana ke mari. Bestnya. Bawak satu keluarga pulak itu. Semua pakai baju sama, so sweet”.
Kita pun mula buat andaian,
“Seronok betul ada keluarga macam itu. Tak macam keluarga aku, daripada emak, ayah, abang, kakak semua nak gaduh. Kenapalah keluarga aku tak macam keluarga dia itu”.
Kita mula rasa sedikit tekanan dan tidak gembira dengan apa yang kita ada.
- Jemput baca: Mencari Kesusahan Dalam Kebahagiaan
Mencari Bahagia Di Zaman Media Sosial
Habis, macam mana kita nak hadapi hidup yang macam ini?
Saya suka nak kongsikan apa yang dikatakan oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil iaitulah membina rasa syukur di dalam diri.
Rasa syukur tidak akan datang secara tiba-tiba, tetapi ia perlu dibina, digilap atau diasah supaya terus hidup, subur dan mekar.
Kata ustaz, perkataan syukur iaitu (sya, ka, ra) adalah keterbalikan kepada perkataan (ka, sya, ra) yang bermaksud (maftuh) – terbuka.
Syukur itu maksudnya terbuka – kita ada kemampuan untuk melihat apa yang kita ada.
Mudah kata, syukur ini maksudnya kita fokus pada apa yang kita ada dan bukannya sentiasa fikir benda yang kita tidak ada.
Sebaliknya, perkataan kufur (ka, fa, ra) kalau kita tinjau maknanya yang mendalam bermaksud (mahjub) – tidak nampak.
Jadi kalau kita beryukur, kita nampak apa yang kita ada.
Tetapi hati-hati, kalau kita tidak nampak apa yang kita ada, kita sedang kufur.
Bukan kufur yang tahap keluar Islam itu, tetapi kufur nikmat.
Contohnya kita nampak kawan pejabat kita beli kereta baru, “Wow hebatnya kereta dia! Kenapa aku tak ada kereta macam itu?”
Kita terlupa yang kita pun ada kereta, tetapi tidaklah hebat sangat.
Kita mula membandingkan hidup kita dengan orang lain satu persatu.
Inilah punca mengapa kita rasa susah untuk bahagia pada hari ini.
Hakikatnya kita kena faham bahawa kebahagiaan, kesempurnaan, ketenangan, kegembiraan yang sebenar hanya ada di tempat yang sempurna iaitu syurga.
Tidak Rasa Nak Masuk Syurga
Zaman dahulu, mudah sikit nak cerita pasal syurga.
Sebab orang-orang dahulu hidup susah.
Tapi sekarang, hidup kita serba lengkap.
Anak kita mintak basikal, dapat.
Mintak kereta, dapat.
Mintak Iphone 13, dapat.
Apa yang anak kita nak, semua dapat.
Betul-betul seperti di syurga.
Jadi, dengan hidup yang lengkap ini kenapa anak kita perlu pergi ke syurga yang lain lagi?
Logiknya begitulah.
Tetapi sebagai orang yang beriman, walaupun kita ada duit dan segala macam benda yang kita boleh dapat di dunia ini, ada sesuatu yang kita tidak akan dapat, kalau Allah tidak bagi.
Itulah kebahagiaan yang kekal abadi.
Sebab itulah kita akan rasa bahawa hidup di dunia ini susah dan tidak adil.
Jadi berdamailah dengan rasa kurang gembira yang sedang kita rasai kerana ia adalah rasa kekurangan yang Allah jadikan supaya kita boleh teruskan perjalanan untuk mencapai bahagia yang paling bahagia sekali iaitulah di syurga nanti.
Bangun, berilah peringatan!