Mengumpat memang mengasyikkan, tapi tidak setimpal dengan hukuman yang bakal kita dapat.
Tolonglah jangan mengumpat, sebab azab Allah sangat dahsyat.
Tolonglah jangan mencela, sebab bila azab Allah sampai, nak lari pun tidak ada tempat.
Tolonglah dengar baik-baik, bila Allah berikan nasihat.
Tapi kalau kita degil juga, persiapkanlah diri cepat.
Kerana Allah akan campakkan kita di suatu tempat.
Allah nak campak kita ke mana?
Allah akan campakkan kita ke Hutamah.
Hutamah?
Tempat apa itu, tidak pernah dengar pun?
Mari baca, Allah cerita dalam Surah al-Humazah bermula ayat empat.
Menurut Ustaz Abd Muein, neraka ni mempunyai banyak nama dan setiap nama itu mempunyai maknanya.
Dalam bahasa Arab, maksud Hutamah ialah dipatah-patahkan dan dipecah-pecahkan.
Jadi secara tidak langsung, pada permulaan ini kita dapat belajar bahawa salah satu sifat neraka ialah mematahkan-matahkan batang tubuh manusia dan menghancurkan manusia.
Jemput baca:

Bila masuk sahaja ke dalam neraka, umpama kita dimasukkan ke dalam mesin pengisar.
Kita akan dikisar yang menyebabkan tulang patah dan daging hancur.
Nauzubillahi min zalik.
Jadi, apa itu Hutamah?
نَارُ ٱللَّهِ ٱلْمُوقَدَةُ
(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya).
[Surah al-Humazah 104: 6]
Okey, apa yang Allah nak beritahu daripada 3 perkataan ini (ٱلْمُوقَدَة) – (ٱللَّهِ) – (نَارُ) ?
Allah nak beritahu bahawa Hutamah itu ialah api.
Api siapa ini?
Api Allah.
Maksudnya api ini berbeza dengan api yang kita jumpa di dunia.
Pertama, api neraka 69 kali ganda lebih panas daripada api di dunia.
Kedua, Allah nak beritahu bahawa yang menyalakan api ini bukan manusia, tetapi Allah subhanahu wa ta’ala.
Sudah pasti api Allah begitu hebat.
Ketiga, Allah nak beritahu bahawa api itu menyala dan sentiasa menyala.
Maksudnya, kalau api di dunia boleh terpadam sama ada terpadam sendiri atau dipadamkan.
Tetapi api di akhirat tidak akan pernah padam.
Cuba bayangkan api yang menyala begitu lama, sepanjang masa, dan tidak pernah padam menyentuh kulit kita?
Huh, tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran.
Hukuman Orang Yang Mengumpat Sangat Dahsyat
Kalau api dunia, terbakar tangan kita pun boleh menyebabkan kematian.
Inikan pula api neraka.
Terbakar, mati, hidup lagi dan begitulah seterusnya.
Ini merupakan ancaman dan peringatan supaya kita ambil perhatian.
Api di akhirat lagi dahsyat.

Apinya terlalu panas dan membakar sehingga ke dalam hati yang dalam.
ٱلَّتِى تَطَّلِعُ عَلَى ٱلْأَفْـِٔدَةِ
Yang naik menjulang ke hati.
[Surah al-Humazah 104: 7]
Mengapa Allah sebut api panas sehingga ke hati?
Kerana Allah nak sebut bahawa betapa lama dan sakitnya terkena api neraka.
Hati adalah organ yang paling dalam dan banyak lapisan.
Jadi, akan mengambil masa yang lama untuk sampai ke hati.
Bila api akhirat membakar kaki kita, hidup lagi, bakar hingga ke pinggang, hidup lagi.
Kemudian membakar daripada sebelah atas pula, sampai ke kepala, habis kepala terbakar, hidup lagi, sampai di dada pun, masih hidup lagi dan akhirnya barulah sampai ke hati.
Ya Allah… bila dah sampai hati, tidak mati-mati lagi, Allah tukar pula badan yang baru.
Sungguh mengerikan.
Sebenarnya Allah nak menakutkan kita, Allah nak kita betul-betul rasa takut, sehingga tahap kita berhenti mengumpat.
Bukan hari ini sahaja takut, lepas itu esok, mengumpat balik.
Bukan.
Sehingga tahap, bila kita nak mengumpat, kita akan teringat keadaan neraka yang begitu dahsyat.
Nak mengumpat ingat Hutamah, nak mencela pun ingat Hutamah.
Nescaya tidak jadi nak mencela dan mengumpat.
Kalau mengumpat juga, bacalah, fahamilah, tadabburlah berulang kali sehingga kita berhenti.
Mudah-mudahan, faham sahaja surah ini, terus kita berhenti mencela dan mengumpat.
Bangun, berilah peringatan!