Saja saya bersiar-siar di facebook page rasmi Jabatan Agama Islam Selangor, maka saya pun terjumpalah Forum Mahasiswa Islam Melestari Pembangunan Daie Yang Lebih Syumul.
Antara panel yang terlibat ialah:
1. EXCO Agama Islam – Yang Bahagia Tuan Dr. Mohamad Fahmi Bin Ngah.
2. Mufti Selangor – Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Prof Madya Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir.
3. Naib Canselor UIS – Yang Bahagia Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah.
Forum ini diadakan sempena Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023 di Amman, Jordan.
Jom kita hayati bersama nasihat Mufti Selangor kita.
Dakwah Adalah Kerja Yang Afdal
Untuk menjadi seorang yang cukup bersedia sebagai seorang dai, maka pertama sekali kita mesti memahami bahawa kerja dakwah ini adalah suatu kerja yang afdal.
Dalam Surah Fussilat, Allah subhanahu wa ta’ala berfirman,
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ
Siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding dengan orang yang menyeru manusia kepada Allah subhanahu wa ta’ala …
Dakwah sebagai kerja yang afdal ini perlu kita fahami betul-betul.
Dakwah bukannya satu jawatan ataupun kerjaya, ataupun apa-apa yang kita inginkan daripada harta dunia, tetapi dakwah adalah satu tugas yang dipikul oleh semua orang sama ada kita adalah seorang mufti, pensyarah universiti, EXCO, guru, imam, mahasiswa dan sebagainya.
Maka, tugas ini adalah tugas yang sangat mulia.
Dan perkataan yang dikeluarkan oleh seorang dai adalah perkataan yang paling baik berbanding dengan perkataan-perkataan yang lain.
- Jemput baca: 3 Ciri Pendakwah Al-Quran Yang Berkesan
Persiapan Yang Secukupnya
Kedua, untuk menjadi seorang dai, maka persiapan yang secukupnya perlu disiapkan sekarang.
Dr. Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitabnya Safahat min Sabr al-Ulama menyebut,
“Siapa yang tidak mempunyai permulaan yang menyakitkan, maka dia tidak mempunyai penghujung yang cemerlang dan gemilang”.
Memang kita penat menuntut ilmu, buat assignment, jawab exam dan penat ke sana ke sini, tetapi yakinlah pada suatu hari nanti, penat lelah kita ini akan diganti dengan sesuatu yang kita pun tidak pernah jangka ataupun diganti dengan sesuatu perkara yang lebih baik dan juga lebih afdal.
Sebab itu, berada di Universit al-Azhar – Mesir, bukan satu perkara yang penting, berada di Universiti Jordan, bukan satu perkara yang penting, berada di Universiti Morocco, bukan satu perkara yang penting kerana semua ini adalah tempat.
Kerana yang paling penting adalah masa yang Allah subhanahu wa ta’ala sedang berikan kepada kita.
Kata Imam Fakharudin Bin Ar-Razi yang meninggal pada tahun 606 hijrah, dalam tafsirnya Tafsir al-Kabir, ataupun Mafatih al-Ghaib berkaitan dengan ayat wal ‘asr, innalinsanalafi khusr sehinggalah akhir, sesungguhnya masa itu lebih afdal daripada tempat.
Sebab itu saya kata di awal tadi, tempat – mesir ataupun Jordan ataupun Morocco ataupun Malaysia bukan suatu yang sangat penting.
Kerana di antara dua – masa dan juga tempat, yang lebih afdal ialah masa.
Sebab itu kita berjumpa dengan ayat-ayat al-Quran dalam uslub al-Qasam (gaya bahasa sumpah).
Walfajri, itu adalah masa.
Walasri, itu adalah masa.
Wallaili, itu adalah masa.
Wadduha, itu juga adalah masa.
Dan seumpamanya.
Maka disimpulkan oleh Imam Fakharudin ar-Razi, masa itu adalah satu nikmat Allah ta’ala yang seratus peratus total adalah nikmat Allah ta’ala yang diberikan kepada manusia – tidak ada aib padanya.
Hanya yang rugi atau hanya ada aib (kecacatan) adalah manusia itu sendiri.
Contohnya empat tahun berada di Jordan, Mesir, ataupun Morocco, adakah kita boleh isi dengan sebanyak-banyaknya ilmu?
Itulah persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri kita.
Kerana ilmu adalah bekalan yang paling penting untuk menjadi seorang dai kepada Allah subhanahu wa ta’ala.
Pepatah ada menyebut, “Orang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan boleh memberikan sesuatu kepada orang lain”.
Kemudian yang terakhir yang ingin saya sebut adalah bagaimana pentingnya akhlak.
Kepentingan Akhlak
Pertama tadi ilmu, kemudian yang kedua adalah akhlak.
Akhlak ini terzahir daripada perkataan dan juga tindakan.
Akhlak ini berkaitan juga dengan ketegasan.
Akhlak ini berkaitan juga dengan prinsip yang perlu dipertahankan, walaupun kita mungkin akan dikutuk, ataupun mungkin orang lain akan benci kepada kita.
Contohnya orang yang datang ke Pejabat Mufti Negeri Selangor ini bukan sedikit, ramai.
Pergi dalam keadaan gembira, balik dalam keadaan dia marah.
Sebab dia tanya hukum, dengan harapan hukumnya harus.
Sekali kita kata hukumnya haram, sebab itulah dia marah.
Jadi kita akan tetap kata hukum.
Hukum ini dia buta warna, sama ada kumpulan A, ataupun kumpulan B, hukum tetap hukum, maka kita akan sebut walaupun di luar sana, ada orang yang tidak suka kepada kita.
Begitu juga dengan pengalaman Datuk Farid tadi, macam mana dapat kerja ataupun seumpamanya, ini juga berdasarkan akhlak.
Kalau sekiranya kita ingin memohon jawatan ataupun seumpamanya, carilah dengan niat mencari rezeki.
Niatkan untuk mencari nafaqah yang halal, tetapi belum tentu bidang yang kita belajar ini, itu jugaklah kerjaya kita.
Tetapi yang paling penting adalah bagaimana akhlak kita.
Akhlak kita ini akan terzahir ketika temuduga, di Facebook ataupun seumpamanya.
Yakinlah bahawa apa yang ditunjukkan oleh Nabi salla Allah alaih wa sallam itu adalah daripada akhlaknya dan boleh memberikan kesan dalam dakwah Nabi salla allah alaih wa sallam.
Berbanding dengan mungkin kalau kita bercakap banyak, tapi kita tidak tunjukkan apa-apa pun contoh teladan yang baik.
Sebab itu Allah subhanahu wa ta’ala suruh kita jadikan Nabi salla Allah a’laih wa sallam sebagai suri teladan yang baik, qudwatul hasanah, ataupun uswatun hasanah.
Kesimpulannya, walau di mana sahaja kita berada, berperananlah sebagai seorang dai, kalau kita menjadi seorang yang menjana syarikat, maka kita tahu apa yang kita nak buat.
Kalau kita berada di sekolah, kita juga adalah guru yang berdakwah.
Kalau kita jadi seorang pensyarah di universiti, kita adalah pensyarah yang berdakwah.
Sebenarnya banyak peluang untuk kita menyampaikan mesej Islam dan juga dakwah.
Sehingga kita sangat cemburu dengan mereka yang boleh mengajak orang untuk mendapat hidayat.
Inilah fadilat yang Nabi kata lebih baik daripada unta merah.
Berapakan nilai unta merah?
1.2 juta.
Fadilat yang begitu luar biasa, jadi kenapa kita nak tinggalkan medan ini?
Nota: Artikel ini adalah hasil transkrip video daripada Forum Mahasiswa Islam Melestari Pembangunan Daie Yang Lebih Syumul ketika slot Mufti Selangor dengan sedikit olahan daripada saya.
Bangun, berilah peringatan!