Kalau ada orang yang tidak mahu beriman, Nabi rasa sedih sangat.
Tapi ada lagi perkara yang menyedihkan Nabi iaitu terputusnya wahyu daripada Allah subhanahu wa ta’ala.
Kenapa?
Kerana turunnya wahyu dan berjumpa dengan Malaikat Jibril merupakan satu nikmat atau satu anugerah yang paling besar bagi Nabi.
Bayangkan ketika Nabi menghadapi tentangan, dihina, dimaki dan para sahabat ramai yang diseksa dan dibunuh menyebabkan kadang-kadang Nabi merasa lemah semangat.
Oleh itu, Nabi memerlukan kekuatan dan kekuatan Nabi ialah wahyu.
Tiba-tiba Nabi tidak mendapat kekuatan tersebut – wahyu terputus.
Menurut Ustaz Abd Muein, kisah wahyu terputus ini berlaku sebanyak dua kali.
Pertama, wahyu terputus selepas turunnya wahyu yang pertama iaitu iqra.
Ulama berbeza pendapat, ada yang kata terputus selama tiga tahun, dua tahun, dua tahun setengah, 40 hari, 15 hari, dan ada pendapat yang kata 12 hari.
Setelah itu, barulah turun ayat (يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ) ataupun (يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ).
Setelah turun beberapa surah lagi, ada pendapat yang kata lapan surah dan 10 surah, kemudian terputus lagi wahyu.
Berapa hari?
Menurut ustaz, ada yang kata tiga hari dan ada yang kata dua hari.
Lepas itu, barulah turunnya Surah adh-Dhuha.
Jadi, bila wahyu terputus kali kedua ini, Nabi merasa sangat sedih.
Bahkan ada riwayat yang mengatakan sehingga Nabi tidak boleh bangun malam selama beberapa hari.
Ada riwayat lain mengatakan sehingga Nabi jatuh sakit.
Kenapa sampai jadi macam ini?
Sebab tidak ada wahyu.
Jadi, apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa ini?
Jemput baca:
Berapa ramai di antara kita yang telah terputus hubungan dengan al-Quran, tetapi tidak merasa apa-apa?
Kadang-kadang seminggu tidak baca al-Quran, malah ada yang berpuluh-puluh tahun tidak baca al-Quran, rasa gembira sahaja.
Ya Allah … jauhnya hubungan kita dengan al-Quran.
Macam mana kita yang mengaku sebagai hamba Allah, tiba-tiba tidak membaca al-Quran dan tidak merasa apa-apa?
Ini maknanya hati kita ada masalah.
Hati kita dah mati seperti orang sakit.
Bila kita makan sedap macam mana pun, tidak rasa apa-apa.
Itu pengajaran yang pertama.
Pengajaran yang kedua ialah bila orang kafir perasan Nabi terputus wahyu, mereka merasa seronok dan gembira yang teramat sangat sehingga mereka mengejek-ngejek Nabi.
Kenapa?
Sebab mereka tahu kekuatan Nabi untuk membawa agama, untuk berdepan dengan serangan orang musyrikin dan untuk terus menyebarkan dakwah, kekuatannya terletak pada al-Quran.
Bila al-Quran dah terputus, Nabi tidak boleh sampaikan dakwah dan mereka berharap pegangan ataupun ajaran mereka akan terus berpasak di atas muka bumi ini.
Cuba lihat fahaman orang kafir.
Mereka tidak takut kalau Nabi membina ekonomi atau apa-apa sahaja perubahan.
Tetapi mereka cukup takut kalau Nabi ada wahyu iaitu al-Quran.
Seperti yang disebutkan di dalam Surah Fussilat 41: 26,
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”
Kenapa orang kafir cukup takut manusia mendengar al-Quran?
Sebab mereka sedar bahawa semua manusia yang berubah seperti Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman disebabkan mendengar al-Quran.
Al-Quran lah yang telah mengubah para sahabat.
Bila mereka dengar dan faham, bukan setakat mereka sahaja yang berubah, tetapi mereka mengubah orang lain pula.
Maka Islam akan tersebar dan itulah yang mengancam kedudukan orang kafir.
Oleh itu, strategi orang kafir paling besar atau paling dahsyat bukan menghantar wabak covid-19, tapi memastikan orang Islam jauh daripada al-Quran.
Matlamat mereka ialah memastikan orang Islam kalau baca pun, tidak faham apa apa.
Kalau hafal pun, tidak menghayati dan tidak mengubah apa apa.
Kalau lihat keadaan kita pada hari ini, rasanya mereka sudah berjaya menjadikan orang Islam jauh daripada isi kandungan al-Quran.
Mereka berjaya menjadikan akhlaq orang Islam bukan akhlaq al-Quran.
Mulut baca al-Quran, tetapi akhlaq import daripada barat.
Bila berjaya menjauhkan umat Islam dengan al-Quran, barulah mereka boleh menang dan terus memerintah dunia.
Jadi, kita sedang memikul tugas yang berat iaitu belajar al-Quran dan sampaikan kepada ahli keluarga dan juga orang terdekat.
Fokus dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha ini.
Mudah-mudahan kita berjaya.