Ada sebuah kisah menarik yang begitu terkesan di dalam hati sanubari saya.
Sebuah kisah yang insha-Allah mampu mengubati kesedihan di atas setiap musibah yang menimpa kita.
Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang hidup dalam kemewahan.
Suatu hari, dia minta nasihat daripada salah seorang menterinya.
“Boleh tak kamu berikan nasihat yang bila beta sedih, beta ingat nasihat kamu dan beta gembira. Dan bila beta gembira, ingat nasihat kamu, beta sedih.”
Maka menteri itu pun menjawab, “Setiap keadaan pasti akan berakhir.”
Maka raja itu pun mengamalkan nasihat tersebut dan akhirnya dia benar-benar merasa sangat bahagia.
Walaupun kisah ini pendek, tetapi membawa maksud yang sangat mendalam.
Kisah ini nak beritahu kepada kita bahawa kalau kita berada dalam kesenangan, jangan seronok sangat, sebab ia akan berakhir.
Dan jika kita berada dalam kesusahan, penderitaan atau sakit, jangan sedih sangat, kenapa?
Sebab ia tetap akan berakhir.
Percayalah … musibah yang sedang kita lalui ini akan berakhir.
Jom kita tadabbur pula ayat-ayat Allah ini.
Mudah-mudahan dapat memberikan ketenangan kepada kita.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِى كِتَٰبٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا۟ بِمَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[Surah al-Hadiid 57: 22-23]
Kata Ustaz Abd Muein, dalam ayat ini Allah menyebut musibah secara umum iaitu apa sahaja jenis musibah sama ada besar ataupun kecil, sama ada yang menimpa diri ataupun keluarga kita, sama ada menimpa orang lain hatta musibah yang menimpa negara kita sekalipun melainkan semuanya telah tertulis di dalam Kitab Lohmahfuz.
Jemput baca di sini:
Segala musibah yang berlaku dalam hidup kita, telah dicatat oleh Allah subhanahu wa ta’ala.
Agak-agak bila Allah catat segala musibah yang berlaku?
Allah kata,
مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ
Daripada sebelum kami menciptakan manusia.
Bahkan ada pendapat mengatakan semenjak sebelum Allah ciptakan langit dan bumi lagi.
Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah sangat mudah.
Sangat mudah bagi Allah menurunkan hujan sehingga tempat itu menjadi banjir besar, menghilangkan rumah sekelip mata dan juga mematikan orang yang kita sayang.
Dan mengapa Allah beritahu kepada kita tentang perkara ini?
Setiap musibah yang berlaku sama ada yang besar atau kecil telah tercatat di dalam Kitab Lohmahfuz.
Untuk apa?
Allah beritahu sebabnya iaitu,
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ
Supaya kamu tidak merasa sedih dan tidak merasa dukacita di atas apa yang telah terlepas dan hilang daripada kamu.
Kamu sedih ataupun tidak, ia tetap akan berlaku.
Allah sambung lagi,
وَلَا تَفْرَحُوا۟ بِمَآ ءَاتَىٰكُمْ
Supaya kamu jangan sombong kerana yang kamu dapat itu memang telah dicatat oleh Allah, sama ada kamu suka atau tidak suka ia tetap akan berlaku.
وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong atau orang yang memiliki sesuatu dan akhirnya dia sombong dengan apa yang dimiliki.
Jadi sebenarnya musibah ini adalah ubat untuk kita.
Contoh, bila doktor nak bagi ubat kepada kita, kita marah tak pada doktor?
Mestilah tidak sebab kita tahu doktor bagi ubat untuk kebaikan kita.
Itu pertama.
Kedua, kalau namanya ubat, rasanya mestilah pahit.
Betul tak?
Ada tak doktor bagi kita coklat bila kita sakit?
Manis dan sedap sahaja rasanya.
Mana ada.
Jadi, semua ubat adalah pahit.
Tidak ada ubat yang manis.
Hatta kalau kita kena penyakit kencing manis pun, bila doktor kata kaki kita kena potong, kita marah tak pada doktor? Tidak.
Bukan setakat tidak marah, malah kita cepat-cepat minta sain surat dan kita bayar mahal lagi demi meneruskan kehidupan kita.
Subhanallah!
Sebab itulah Allah beri musibah kepada kita, supaya kita dapat kehidupan yang kekal abadi di syurga.
Maka kita kena reda dan sabar.
Ambilah pelajaran di atas musibah yang sedang kita lalui ini.