Mohonlah kepada Allah.
Apa yang Allah suruh kita buat dengan nama-nama-Nya?
Teruskan membaca untuk dapatkan jawapan yang saya kutip daripada kuliah Ustaz Abdul Muein.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu….”
[Surah al-A’raaf 7: 180]
Asmaul Husna maksudnya nama-nama bagi Allah yang ada sifat kesempurnaan.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu anh, disebutkan bahawa Rasulullah salla Allah ‘alaih wa sallam pernah bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعًا وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا، مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ، وَهُوَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, iaitu, seratus kurang satu. Barangsiapa yang dapat menghafalnya, masuk syurga. Dia Maha Esa dan mencintai yang esa.
[Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya di dalam kitab Sahih-nya. Masing-masing melalui hadis Sufyan ibnu Uyaynah, dari Abuz Zanad dari Al-A’raj dengan lafaz yang sama]
Allah sahaja yang memiliki nama yang husna yang mempunyai sifat boleh menyempurnakan hajat.
Setelah Allah beritahu Dia ada nama-nama yang baik, Dia beritahu kepada kita apa yang kita perlu buat dengan nama-nama-Nya.
Adakah Allah suruh kita hafal seperti kita hafal masa sekolah rendah dahulu? Tidak.
Atau suruh kita tampal di dinding untuk ambik berkat? Tidak.
Tetapi Allah kata فَٱدْعُوهُ بِهَا – maka berdoalah, memintalah, memohonlah kepada Allah dengan menggunakan nama-nama-Nya.
Jadi nama Allah salah satu tujuannya adalah untuk berdoa.
Tidak ada selain Allah yang boleh menyempurnakan hajat dan permintaan kita.
Kalau kita belajar Surah al-A’raaf ini, banyak ayat yang menyebut tentang kelalaian.
Jadi, dalam ayat ini diberi jalan penyelesaian kepada masalah kelalaian itu.
Gunakan nama-nama Allah itu dalam doa kita.
Fahamilah nama-nama sifat Allah itu dan serulah Allah dengan menggunakan nama-nama itu.
Allah telah menyebut nama-namaNya yang mulia dalam Qur’an dan dalam hadis Nabi yang sahih.
Belajarlah bagaimana cara doa Nabi yang menggunakan nama-nama itu.
Kalau kita belajar hadis, kita boleh lihat bagaimana sebelum Nabi meminta doa, Nabi akan mulakan dengan menyebut nama-nama Allah.
Antara nama yang banyak kali diulang-ulang dalam al-Quran adalah namaNya berkenaan ilmu dan qudrat.
Hanya Allah sahaja yang mempunyai ilmu yang sempurna dan qudrat yang sempurna.
Maksudnya, hanya Allah sahaja yang tahu segala masalah kita dan hanya Dia sahaja yang ada qudrat untuk menyelesaikan masalah kita.
Jadi minta kepada Dia sahaja. Kerana selain Allah, mereka tidak tahu apa masalah kita, dan tidak ada kuasa untuk memakbulkan permintaan kita.
Jadi kalau minta kepada selain Allah, sia-sia sahaja.
Contoh Mohonlah Kepada Allah Dengan Menggunakan Nama-Nama-Nya
Contohnya kita ambik nama ar-Razzaq. Ya Razzaq.
Kalau Ya Razzaq maknanya Dia yang Maha Pemberi Rezeki, maka serulah nama Allah – Ya Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, kurniakanlah rezeki kepada kami.
Kita memohon kepada Allah mengikut nama atau sifat yang sesuai dengan Allah.
Kalau Ya Rahman, apa makna ar-Rahman? Tuhan yang Maha Penyayang.
Jadi, kita pun seru – Ya Allah Yang Maha Penyayang, kasihanilah kami, rahmatilah kami.
Sebab itulah pentingnya kita kenal dan faham nama-nama Allah.
Kita kena upgrade diri kita daripada menyanyikan lagu nasyid asmaul husna kepada belajar satu persatu nama-nama Allah.
Bila dah belajar dan kenal, barulah layak untuk kita minta apa sahaja yang kita nak daripada Tuhan yang kita kenal.
Macam mana kita nak minta pada Allah dengan penuh perasaan jika kita tidak kenal pada-Nya?
Kita boleh bayangkan sendiri apabila kita nak minta pada seseorang yang kita tidak kenal, kita tidak tahu orang itu kaya atau miskin, baik atau jahat.
Orang yang diminta pun tertanya-tanya, “Eh dia ini siapa?”
Atau paling jauh pun, kita akan kata cubalah. Kalau dapat dapatlah. Kalau tidak dapat, tidak mengapa. Tidak ada rezeki katanya.
Maksudnya kita faham di sini bahawa kalau kita kenal dengan orang itu, dan orang itu pun kenal dengan kita, maka potensi untuk kita dapat permintaan kita itu tinggi.
Begitulah logiknya. Lebih lebih lagi kita minta pada Allah yang tidak ada logiknya sebab Allah berikan kepada kita walaupun kita tidak minta.
Jadi, berdasarkan ayat ini, sebenarnya nama Allah bukan diguna untuk berzikir.
Jemput baca:
Ada sebahagian orang, dia guna nama Allah untuk berzikir, contohnya – Ya Latif 10 kali. Ya Razzaq 100 kali. Ya Rahman 1000 kali.
Sebenarnya tidak ada dalil.
Pertama, Allah suruh kita berdoa dengan menggunakan nama Allah. Allah tidak kata berzikirlah dengan menggunakan nama Allah.
Yang kedua, tidak ada satu pun hadis sahih daripada Nabi mahupun perbuatan para sahabat, yang melakukan zikir menggunakan nama Allah.
Yang ada hadis ialah bila kita zikir subhanallah, walhamdulillah, walailaha illah wallahu akbar dan yang lain lainnya.
Dengan kata lain, kita jadikan nama Allah sebagai wasilah – perantara ataupun tawassul.
Ada orang berikan saya tip untuk buat personal branding dengan mengamalkan Ya Wahhab sebanyak 1000 kali.
Saya mohon izin berbeza pandangan tentang perkara ini.