Saya tertarik membeli buku Minda Masa Depan Strategik; Katalis Reformasi Intelektual ini setelah dicadangkan oleh sahabat Facebook dan senior saya di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Batu 38 iaitu Tuan Ahmad Naim Jaafar.
Seorang penulis buku juga.
Jadi saya fikir, kalau buku yang dicadangkan oleh Tuan Naim, mesti buku yang bagus, berkualiti dan mampu menaik taraf kemampuan otak saya berfikir.
Menambah tarikan lagi saya membeli buku ini adalah perkataan “Minda” yang ada pada tajuk buku.
Saya pun tak tahu bagaimana nak beritahu kenapa bila jumpa perkataan minda ini saya jadi teruja, berkobar-kobar dan nak tahu lebih lanjut.
Contoh buku sebelum ini yang ada di rak buku saya ialah Personaliti Kejayaan, karangan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
Dalam buku ini ada satu bab tentang minda kejayaan – ciri-ciri minda kejayaan, minda yang berkembang, minda berfakta dan berdata, minda mencari-cari, minda keyakinan diri dan minda berinspirasi.
Jadi saya sangat suka membaca tentangnya.
Walaupun saya lihat secara keseluruhannya, topik yang dibincangkan dalam buku Minda Masa Depan Strategik; Katalis Reformasi Intelektual ini bukanlah di ruang lingkup pembacaan atau pemikiran saya sebelum ini melainkan bab 15 yang membincangkan tentang – Transformasi Masjid Bervisi Masa Depan.
Memandangkan kini saya juga salah seorang ahli jawatankuasa di masjid kampung saya, jadi saya nak lihatlah juga apa perubahan yang boleh dilakukan mengikut kemampuan yang saya ada.
- Jemput baca: Disiplin Kejayaan
Tentang Buku
Zulkifli Hasan. 2023. Minda Masa Depan Strategik Katalis Reformasi Intelektual. Ilham Books. 233 muka surat.
Buku ini membincangkan tentang minda masa depan.
Kata penulis, membina minda masa depan adalah satu perkara yang sangat penting demi membentuk masyarakat yang dinamik dan progresif.
Saya tak nak pergi kepada perkara yang terlalu rumit dengan mendefinisikan perkataan dinamik dan progresif.
Tetapi secara umumnya membawa maksud kita nak rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup dalam suasana yang harmoni, bebas, makmur dan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan politik, ekonomi, sosial dan globalisasi.
Menurut penulis lagi, setakat ini belum ada lagi buku secara khusus mengenai minda masa depan dalam bahasa Melayu.
Malah, ilmu tentang kajian masa depan pun masih baru di kalangan rakyat Malaysia.
Jadi buku ini cuba memberi pendedahan dan awalan kepada ilmu kajian masa depan dan mengupas beberapa topik berkaitan.
Saya pun baru tahu bahawa buku ini adalah kesinambungan daripada siri yang pertama iaitu Revolusi Intelektual.
Saya dah pegang juga buku ini untuk dibeli masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 baru-baru ini, tapi saya fikir dua tiga kali.
Sebab saya tengok tajuk memang agak berat.
Jadi takut-takut saya ada rasa semangat nak beli sahaja, bila nak baca, semangat hilang ke laut dalam.
Maka saya pun ubah fikiran, saya baca buku yang ini terlebih dahulu.
Kalau okey, barulah saya akan beli buku yang pertama.
Dan alhamdulillah buku ini okey, saya boleh telan dan hadam, cuma ada satu bahagian yang saya baca sepintas lalu sahaja contohnya bab naratif baharu kewangan Islam.
Dan kalau kita lihat sedikit latar belakang penulis, beliau memang orang yang ahli dalam membincangkan isu ini kerana beliau mempunyai pengalaman dan terlibat dengan future studies dan merupakan ahli The World Future Studies Federation, ahli pasukan UNESCO Chair of Future Studies, USIM dan nara sumber The IIUM UNESCO Chair of Future Studies-Anticipation for Sustainability and Wellbeing.
Bukang calang-calang ya!
Perubahan Bermula Dengan Minda
Penulis membawa satu ayat al-Quran untuk kita renungkan bersama.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
[Surah ar-Ra’d 13: 11]
Ayat yang kerap digunakan ini sebenarnya menjelaskan bahawa perubahan itu perlu from within atau bermula dari dalam diri sendiri.
Dalam diri sendiri itu merujuk kepada perubahan dalaman merangkumi perubahan jiwa dan minda.
Perubahan minda kepada minda yang dinamik dan progresif memikirkan keadaan masa kini dan akan datang adalah sangat penting.
Dalam erti kata lain, mempersiapkan generasi hari ini dengan minda masa depan merupakan satu keperluan bagi memastikan kebangkitan dan perubahan yang didambakan dapat dirancang dan direalisasikan dengan berkesan.
Tak cukup dengan ayat al-Quran, penulis memberikan hadis pula untuk kita renungkan lagi iaitu maksudnya:
Sesungguhnya Allah akan mengutus pada umat ini setiap awal 100 tahun seorang mujaddid yang membaharui urusan agamanya.
[Abu Dawud, 1998: 647]
Kata penulis, hadis ini selalu disalahertikan dengan mengatakan menunggu mujaddid muncul dalam masyarakat.
Namun sebenarnya, apa yang Nabi nak sampaikan ialah perlunya kita umat Islam melakukan persediaan merangka strategi untuk melahirkan mujaddid.
Bagi melahirkan mujaddid, kita memerlukan perancangan dan program yang menyeluruh samada secara jangka masa pendek dan panjang.
Hadis ini memberi makna bahawa Islam menuntut kepada keperluan membina minda masa depan menerusi perancangan dan gerak kerja serta visi untuk merealisasikan kebangkitan.
Kesan Jika Kita Tidak Ada Minda Masa Depan
Dunia hari ini penuh dengan cabaran yang serba hebat.
Dalam era abad ke-21 ini dengan cabaran dalaman dan luaran, sangat signifikan bagi umat Islam untuk membuat perancangan dan persiapan dengan berhikmah.
Sekiranya masih tidak bersedia, alpa dan tidur lena dan tiada perancangan serta usaha-usaha untuk mendepani cabaran dan realiti ini, dikhuatiri kita akan terus ketinggalan dan dianggap tidak relevan di masa depan.
Sesuai dengan ciri Islam bersifat sejagat (universal) dan rahmat (mercy) kepada sekalian alam, maka sudah semestinya setiap perancangan dan strategi sekarang dan masa depan menerusi metodologi yang tepat dan berkesan adalah sesuatu yang perlu dikaji dan diwacanakan secara serius dan menyeluruh.
Ia pastinya akan memberikan sumbangan yang amat bernilai ke arah mewujudkan model dan pendekatan kebangkitan Islam yang benar-benar mengangkat dan memperlihatkan ciri-ciri kerahmatan Islam itu sendiri.
Dan ini semua semestinya bermula dengan penguasaan ilmu oleh setiap umat Islam menerusi pemerkasaan pendidikan seperti nukilan Paolo Freire, “Education does not change the world, education changes people and people change the world”.
Fuh, bila baca buku Prof Madya Dr. Zulkifli Hasan ini baru rasa sikit otak berjalan dan bergerak ke hadapan.
Walaupun isu yang dibawa dalam buku ini agak besar, tapi insha-Allah sepertimana kata penulis minda masa depan boleh digunakan dalam tetapan individu, organisasi, negara dan dunia.
Masa depan perlu digunakan untuk mengubah hari ini.
Bangun, berilah peringatan!