fbpx

Minda Beku Vs Minda Dinamik

Dalam hidup ini, kita akan menemui pelbagai ragam manusia.

Ada yang mahu berubah, ada yang masih mahu ditakuk lama dan ada yang mahu berubah, tapi takut nak berubah.

Apa-apa hal pun, kita sebagai manusia yang seimbang, kita perlu meraikan semua orang.

Sebab setiap jenis perangai tadi mereka mempunyai sebab, sejarah atau pengalaman sendiri yang membentuk pemikiran mereka.

Oleh sebab itu, dalam artikel kali ini, saya mahu mengajak anda semua sama-sama berfikir, merenung ataupun tadabbur tentang topik yang saya akan ketengahkan iaitu Minda Beku dan Minda Dinamik.

Kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, minda merupakan kekuatan yang Allah berikan kepada kita sebagai manusia.

Ketika mana Allah menjadikan manusia, Allah menyediakan segala DNA yang kita perlukan untuk kita berjaya dalam hidup dan pada masa yang sama beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Dan rahsia untuk kita berjaya dalam hidup ini terletak pada kebolehan berfikir dan kemampuan kita menggunakan akal yang Allah berikan ini.

Ia wujud, tetapi tidak dapat disentuh dan rasa.

Allah telah memberikan kekuatan yang luar biasa kepada manusia iaitu minda.

Dua Bentuk Minda Manusia

hakimdarno - minda beku vs minda dinamik 2

Tetapi malangnya, kita dapati manusia mempunyai dua bentuk minda.

Pertama, minda yang tetap ataupun minda yang tidak boleh berubah.

Walaupun umur, pengalaman dan keadaan sekeliling kita berubah, tetapi minda kita masih tidak boleh berubah.

Kedua, minda yang berkembang. 

Minda yang boleh menyerap atau bertindak balas terhadap pemerhatian dan pendengaran di sekelilingnya.

Jom kita lihat perbandingan antara minda yang tetap dan minda yang berkembang.

1. Fikiran Negatif & Positif

Kata Tan Sri Dr, orang yang berminda tetap ini selalu berfikir bahawa kita sentiasa dalam keadaan malang.

Langsung tidak boleh melihat kesusahan.

Sedangkan cubaan, ujian, kegagalan ataupun kekurangan harta itu bukanlah satu perkara yang negatif.

Maka timbul lah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya dilafazkan, apatah lagi kita adalah orang yang beriman.

Contohnya,

“Tak ada makna lagi saya hidup”.

“Habislah … hidup saya dah hancur”.

“Langit tidak sentiasa cerah”.

“Langit tidak bersama saya”. 

“Allah ta’ala tidak memandang saya”.

“Allah ta’ala dan para malaikat tidak pernah mendoakan saya”

“Hidup ini tidak adil”.

“Do nothing”.

 “Stay in bad”. 

Ataupun kalau yang agak agresif “Break something”.

Tidak cukup dengan itu, kita timbulkan permusuhan, isu dan juga kekacauan bagi menutup kemarahan kita.

Sebaliknya minda orang-orang yang berkembang, yang boleh berubah,  fleksibel, cerdik dan pandai akan sentiasa positif sepanjang masa.

Tidak kira sama ada dalam keadaan susah, mood tidak baik, tidak mendapat apa yang kita hajati, dirundung malang dan sebagainya.

Susah?

Ya betul, nak sebut minda positif ini memang mudah, tetapi nak melaksanakannya memakan masa.

Tidak mudah untuk kita bersikap positif, tapi tidak mustahil juga.

Dan insha-Allah dengan minda yang berkembang dan fleksibel ini, kita boleh menukar perkara yang negatif kepada perkara yang positif. 

Disebut dalam hadis yang sahih maksudnya:

Pelik dan ajaib kepada urusan orang mukmin ini kerana apa sahaja hidupnya, perihal laku hidupnya, semuanya baik.  Apabila ditimpa dengan kejahatan, keburukan, kemalangan dia bersabar.  Dan itulah kebaikan untuknya.  Dan kalau dia diberikan kenikmatan, kekayaan, penghormatan dan sebagainya dia juga bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala.  Itu adalah kebaikan kepadanya.

[Hadis Riwayat Muslim]

Dan agama juga mengajar kita, bila kita ditimpa musibah, sebutlah la hawla wala quwwatailla billah hil’aliyyila’zhim iaitu tidak ada jalan keluar dan tidak ada kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah subhanahu wa ta’ala yang amat kuat.

Dan perkara yang selalu kita amalkan bila ditimpa musibah, kemalangan, berita tidak baik, kematian dan sebagainya, kita menyebut inna lillahi wa inna ilaihirajiun supaya minda kita sentiasa positif walaupun dalam keadaan yang paling teruk dalam hidup kita.

Tidak lupa, agama juga mengajar kita supaya bertaubat, muhasabah, berazam dan kemuncaknya tawakal kepada Allah.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ

Berazamlah dan kemudian baru bertawakal kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

[Surah Al ‘Imran 3: 159]

Dalam pepatah orang putih disebutkan rome was not built in a day – Kota Rom tidak dibina dalam masa satu hari. 

Memerlukan perjuangan, masa yang panjang dan usaha yang kuat untuk membinanya.

Jemput baca: Menulis Adalah Satu Hiburan ~ Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar

2. Self Validation

Kedua, menjadikan diri kita sebagai tanda aras ataupun pengukur kejayaan sesuatu perkara. 

Minda yang tetap adalah minda yang menjadikan diri kita adalah segala-galanya. 

Hitam kita, putih pun kita. 

Setiap perkara yang kita lakukan semata-mata untuk membuktikan kitalah yang terbaik ataupun disebut sebagai self validation dalam setiap penjuru kehidupan.

Berbeza dengan orang yang mempunyai pemikiran yang berkembang, berubah, fleksibel, cerdik dan smart, mereka adalah orang yang sentiasa memecahkan rekod diri mereka sendiri. 

Mereka sentiasa melakukan regangan dan lakukan yang terbaik daripada hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan. 

Tidak ada satu tanda aras. 

Tanda aras hanyalah satu perjalanan mencari kesempurnaan di sisi Allah dan menempah tempat di syurga Allah subhanahu wa ta’ala

Itulah kesempurnaan ataupun tanda aras yang ingin dicapai. 

Malah kalau boleh, kita nak minta syurga yang paling tinggi iaitu Jannatul Firdaus.

3. Minda Yang Beku

hakimdarno - minda beku vs minda dinamik 3

Ketiga, minda yang beku ataupun minda yang tidak boleh berubah.

Walaupun data-data, keadaan persekitaran, ilmu, tamadun, cara kerja dan strategi sudah berubah, kita masih lagi melakukan naratif yang sama, skrip yang sama, cara membuat kajian yang sama dan kenyataan yang sama. 

Sebab itulah kita ditelan zaman dan keadaan.

Adapun mereka yang insya-allah ada pemikiran atau minda yang smart ini sentiasa mencari, memburu, mencipta cara dan juga strategi baru untuk memberikan jawapan atau solusi yang baru mengikut keadaan semasa.

Agama ini adalah agama yang memberikan panduan yang umum tapi diberikan akal fikiran untuk kita berubah dan bertindak berdasarkan keadaan semasa. 

Malah disebut dalam kitab-kitab Fiqah, orang yang faqih itu adalah orang yang ulung, hebat dan handal kerana mereka memahami teks dan juga konteks. 

Ataupun memahami nusus dan juga waqi’

Itulah satu gabungan yang menarik dalam agama kita.

4. Tidak Boleh Menerima Perbezaan

Ciri yang keempat kepada minda yang tetap ataupun fix mindset adalah tidak boleh menerima perbezaan, pandangan, amalan, cara melihat, cara tindakan dan sebagainya. 

Malah orang yang mempunyai pemikiran yang sebaliknya, pemikiran yang baik, yang boleh berubah, mereka melihat perbezaan pandangan, perbezaan pendekatan adalah perkara normal.

Manusia dijadikan oleh Allah mempunyai akal dan pasti mempunyai perbezaan-perbezaan fokus, perbezaan cara pandang, melihat perkara-perkara yang tertentu dalam keadaan yang tertentu. 

Lihatlah perbezaan yang berlaku di kalangan para sahabat.

Ibnu Umar mengatakan, beliau akan bersungguh-sungguh melakukan usaha yang paling kuat untuk cium hajar al-aswad  walaupun mungkin akan berlaku kecederaan. 

Itulah cara beliau bagi memastikan beliau boleh mengikut apa yang Nabi buat.

Tapi kalau pendapat Ibnu Abbas pula, beliau mengatakan jika tidak ada peluang dan ramai orang yang berebut-rebut, beliau tidak akan mencium hajar al-aswad. 

Jadi sahabat pun ada pendekatan yang tertentu dalam melihat isu-isu agama dan sebagainya. 

Para sahabat boleh menerima pendekatan Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud dan para sahabat yang lain.

Inilah minda yang sepatutnya kita ada lebih-lebih lagi di zaman informasi.

Manusia dijadikan oleh Allah dengan berbagai kekuatan minda, pemikiran, pengajian, latar belakang dan juga mungkin kecenderungan diri sendiri. 

Maka kita raikan perbezaan selagi mana perbezaan itu tidak menjejaskan dan perkara-perkara qat’i , ataupun perkara-perkara yang memang jelas hitam dan putihnya dalam agama. 

5. Kurang Percaya Pada Apa-apa Sahaja

Dan yang terakhir, orang yang mempunyai minda yang tetap atau fix mindset adalah orang yang kurang sangat kepercayaan kepada apa sahaja. 

Kurang percaya pada janji Allah, hukum alam, hukum kejayaan dan mereka mempunyai kepercayaan mereka sendiri.

Mereka tidak percaya pada kuasa ghaib, kuasa yang lebih tinggi atau ada campur tangan daripada Allah dalam sesuatu kejadian.

Sebab itulah mereka menjadi orang-orang yang cepat lemah semangat, tidak ada kepercayaan ataupun kekuatan dan sentiasa dalam ketakutan.

Dan orang yang mempunyai pemikiran yang smart dan yang bijaksana adalah mereka yang sentiasa mempunyai kepercayaan yang tinggi dalam apa sahaja keadaan. 

Apabila mereka membaca, melihat dan mentadabbur ayat-ayat Allah, iman mereka akan bertambah.

Bacalah ayat apa sahaja, ayat tentang azab, ujian atau galakan dalam al-Quranul pasti mereka dapat menangkap mesej yang disampaikan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Mereka menjadi seorang muslim yang lebih peka dengan keesaan Allah.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala,  

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدْ جَمَعُوا۟ لَكُمْ فَٱخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَٰنًا وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ


(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.

[Surah Al ‘Imran 3: 173]

Bila ada orang yang mahu mengancam orang-orang yang mempunyai minda yang bijaksana ini bahawa seluruh manusia di dunia akan menyerangnya, sepatutnya dia takut, tetapi dia tenang sahaja.

Malah, iman mereka semakin bertambah.

Dan mereka mengatakan (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ) – cukup kepada kami untuk mengharap kepada Allah subhanahu wa ta’ala dan sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik tempat kami bergantung dan mengharapkan. 

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk melihat cara fikir, bertindak, melakukan unjuran dan juga tindak tanduk minda kita sebelum tindak tanduk anggota badan kita.

Kita nak pastikan adakah kita termasuk dalam mereka yang mempunyai pemikiran yang cenderung kepada pemikiran yang tetap, kaku, sukar berubah, mempunyai stereotaip sendiri ataupun pemikiran yang boleh berubah apabila melihat keadaan, data dan sebagainya.

Penutup

Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua.

Kita tidak tahu kapasiti atau minda yang Allah berikan kepada kita ini, sebab itu adalah rahsia Allah subhanahu wa ta’ala.

Dan kita juga tidak tahu bagaimana Allah dah sediakan DNA, algorithm atau coding dalam minda kita bagaimana kita boleh berinteraksi dengan segala apa saja dalam kehidupan ini. 

Jadi jangan pandang rendah dengan minda kita. 

Semoga Allah memberikan kita ketakwaan, kekuatan minda dan kebijaksanaan dalam menguruskan kehidupan. 

Terima kasih Tan Sri Dr di atas ilmunya.

Semoga bermanfaat kepada diri saya dan juga anda semua.

Bangun, berilah peringatan!

Leave a Comment